Pelawak, Tauke Jambu, 46, didakwa atas pertuduhan memiliki dadah jenis ketamin

Dia yang dituduh bersama empat rakannya mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Aina Azahra Arifin di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur pada Selasa, 12 April 2022. 

Selain Tauke atau nama sebenarnya Zamatul Amri Zakaria, empat rakannya ialah Muhamad Azman Johar, 28; Brandon Cheong Kai Szern, 25; serta dua wanita, Salimah Nasuha Gusti Hassan, 29; dan Lee Kim Yoon, 44.

Mereka didakwa bersama-sama memiliki dadah berbahaya jenis ketamin dengan berat bersih 0.37 gram, di 15-01 Menara Up, Jalan Puchong, Kuala Lumpur pada 2.40 pagi, 10 April lalu.



Menurut Bernama, pendakwaan mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 12 (3) akta sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan denda maksimum RM100,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Tauke yang tidak diwakili peguam merayu jaminan rendah atas alasan pendapatannya terjejas dan ia adalah kesalahan pertamanya. Empat tertuduh lain turut merayu jaminan rendah.

Mahkamah membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM3,700 dengan seorang penjamin dan menetapkan 9 Jun 2022 depan untuk sebutan semula kes.

Pada Ogos 2021, Tauke pernah ditahan kerana disyaki terlibat dalam pemerdagangan manusia untuk tujuan eksplotasi seks. - KitaReporters


14
11
0
17
0

Copy Link: