"SELEPAS kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 18 Mac 2020, saya terus berhenti memasarkan kelapa matag dan limau kasturi yang diusahakan lebih tiga tahun lalu. Saya tidak berani menanggung risiko selain mematuhi arahan kerajaan bagi membanteras penularan wabak Covid-19 yang belum selesai hingga sekarang,” kata pekebun kecil Azadi Mohd Diah. : KitaReporters

Azadi Mohd Diah bersama setandang kelapa matag yang baru dipetik untuk dijual kepada peniaga kedai runcit sebelum PKP dilaksanakan.



Beliau yang dihubungi di Melaka, berkata walaupun menanggung banyak kerugian selain hilang punca pendapatan, namun wang simpanan yang ada cukup untuk perbelanjaannya sekeluarga sepanjang tempoh PKP ini.

Azadi merupakan seorang pesara swasta menanam 60 pokok kelapa matag dan 40 pokok limau kasturi atau limau sambal di atas tanah lebih 0.4 hektar dan kini dalam proses menambahkan lagi dua pokok itu di kampungnya, Bukit Punggur Alai.

Azadi kini dalam proses menambahkan lagi  dua pokok itu berikutan permintaan yang semakin tinggi.


Tahun lalu, beliau mula memasarkan hasil tanaman itu ke beberapa kedai runcit yang menjual barangan basah, pasar dan juga gerai makanan dan minuman air kelapa muda termasuk di sekitar Medan Ikan Bakar Sungai Punggur, Alai, Melaka.

Menurutnya, kelapa matag memang menjadi rebutan kedai yang menjual santan dan minuman air kelapa kerana isinya tebal, manakala limau kasturi mendapat permintaan tinggi restoran dan gerai ikan bakar serta kedai runcit.

Banyak gerai di Medan Ikan Bakar Sungai Punggur, Alai belum memulakan perniagaan. 


Katanya, walaupun Fasa 4 PKP dan kini Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ada kelonggaran diberikan, tetapi dia masih tidak berani untuk memasarkan tanaman itu secara terbuka kerana bimbang wabak Covid-19 yang boleh merebak semula.

Beberapa kedai runcit sekitar kampung tempat tinggal saya, restoran dan gerai di medan ikan bakar itu belum dibuka, mereka juga masih tidak dapat menjalankan perniagaan.

Sepanjang tempuh PKP Azadi melakukan kerja pembersihan kebun, menabur baju, menanam benih baharu pokok kelapa matag dan limau kasturi.


“Bagi mengisi masa sepanjang PKP ini, saya lebih menumpukan kepada  kerja pembersihan kebun, menabur baja, menanam benih baharu dua tanaman itu serta menguatkan pagar bagi mengelak diceroboh oleh binatang liar terutama babi,” katanya.

Azadi berkata, ada sesetengah pemilik kedai runcit dan peniaga di pasar terpaksa datang sendiri ke kebunnya bagi mendapatkan bekalan kelapa matag dan limau kasturi kerana sudah mula berniaga seminggu lalu.

Seorang peniaga sedang mengasingkan kelapa matag daripada tandangnya.


Menurutnya, dia mencadangkan kepada mereka supaya mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) PKP seperti memakai topeng muka dan hanya dua orang sahaja boleh datang untuk memunggah tanaman itu.

“Setakat ini, mereka yang merupakan pelanggan tetap mematuhi syarat serta memberi kerjasama sepenuhnya dan langkah itu bukan untuk menyusahkan mereka sebaliknya mematuhi arahan kerajaan.

“Peniaga terbabit mendakwa dalam bulan puasa sekarang ini permintaan air dan santan kelapa matag tetap tinggi daripada pelanggan begitu juga limau kasturi dan saya menjualnya dengan harga murah bagi membantu mereka,” katanya. - KitaReporters

Limau kasturi atau limau sambal yang ditanam di kebun Azadi turut mendapat sambutan dalam bulan Ramadan.

23
3
0
0
1

Copy Link: