SELEPAS tiga bulan kerajaan membekukan aktiviti meronda oleh anggota Skim Rondaan Sukarela (SRS) Kawasan Rukun Tetangga seluruh negara akibat penularan wabak COVID-19 akhirnya bermula jam 10 malam pada Sabtu, 20 Jun 2020 lalu semua SRS yang berada di zon hijau dibenarkan beroperasi mengikut SOP yang ditetapkan oleh kerajaan. : KitaReporters

Pemeriksaan suhu badan terhadap semua petugas SRS bagi memastikan mereka berada dalam keadaan sihat


Pengumuman kerajaan melalui Kementerian Perpaduan Negara disambut baik oleh anggota peronda seluruh negara kerana sekian lama aktiviti berkenaan terhenti menyebabkan suasana di kawasan kediaman komuniti terasa kehilangan sukarelawan yang menjaga keselamatan mereka. 

Ketua peronda SRS Kawasan Rukun Tetangga Bandar Jertih, Muhamad Hanif Mustafa memberi taklimat sebelum keluar meronda


Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Bandar Jertih, Terengganu adalah antara 37 SRS yang dibenarkan menjalankan aktiviti meronda di Terengganu dengan memulakan rondaan sukarela pada malam hari Sabtu 20 Jun 2020 lalu.

Muhamad Hanif Mustafa


Setiausaha KRT Bandar Jertih, Muhamad Hanif Mustafa berkata, pihaknya gembira dan menyambut seruan Kementerian Perpaduan Negara bagi menjalankan aktiviti meronda selepas tiga bulan tidak beroperasi. 

Katanya, ahli peronda menggunakan peluang yang diberikan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk turun ke lapangan bagi membuat rondaan awam dalam tempoh PKPP dengan mematuhi SOP yang diluluskan pihak MKN. 

Beliau berkata, masa meronda yang diluluskan oleh MKN bermula jam 9 malam hingga 5 pagi dan menetapkan kumpulan peronda tidak melebihi lima orang.

 

Anggota peronda SRS KRT Bandar Jertih ketika meronda di tempat awam


“Kami juga sentiasa memakai penutup hidung sepanjang membuat rondaan di lokasi yang ditetapkan,” katanya. 

Muhamad Hanif berkata, sepanjang tugasan meronda Pegawai Perpaduan Daerah Besut, Nor Almizan Mahmud turut membuat pemantauan dan  menyertai aktiviti meronda. 

“Insya-Allah kami akan meneruskan aktiviti meronda berikutan kebenaran yang diberikan oleh kerajaan bagi membantu pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam mencegah jenayah dan masalah sosial,” katanya. 

Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional Terengganu, Burhanuddin Daud 


Sementara itu, Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional Terengganu, Burhanuddin Daud berkata, fasa pertama sebanyak 37 SRS di Terengganu memulakan rondaan sukarela pada malam  20 Jun 2020.

Menurut kenyataan media Kementerian Perpaduan Negara sebanyak 1,079 SRS dalam kawasan zon hijau dengan 68,410 anggota peronda layak menyertai aktiviti meronda dalam tempoh PKPP.

 

Kenyataan Media Kementerian Perpaduan Negara mengenai kelulusan tugas meronda oleh anggota SRS


Katanya, daripada jumlah itu 13 SRS dari daerah Dungun, Setiu (10), Kuala Nerus (4), Kuala Terengganu dan Besut masing-masing tiga,Kemaman (2) manakala Marang dan Hulu Terengganu masing-masing satu.

Kenyataan Media KPN mengenai kelulusan meronda


Beliau  menghargai semangat sukarela yang ditunjukkan oleh anggota SRS negeri ini kerana sanggup mengorbankan masa dan tenaga untuk menjalankan kerja sukarela dengan menyertai aktiviti meronda.

“Saya mengucapkan selamat bertugas kepada semua anggota SRS yang memberikan sumbangan besar demi kebaikan masyarakat setempat,” katanya. - KitaReporters

 

3
2
0
0
0

Copy Link: