PEMAIN JDT DERMA GAJI, PEMAIN LAIN TANYA GAJI
Published byKETIKA kebanyakan pasukan dan pemain mulai merungut dengan pendapatan mereka terjejas kerana Liga Malaysia (Liga M) 2020 ditangguhkan akibat Covid-19, para pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) mengambil langkah ke hadapan dengan merelakan sebahagian gaji mereka didermakan. : KitaReporters
JDT menderma sebahagian gaji pemain bagi membantu rakyat yang terjejas akibat Covid-19 menerusi Tabung Bencana Negeri Johor. - Foto MFL
Atas sikap keprihatinan dan kemanusiaan, sumbangan skuad Harimau Selatan itu diberikan kepada Tabung Bencana Negeri Johor supaya mampu meringankan beban rakyat mereka untuk mengharungi masa-masa getir ekoran penularan wabak maut Koronavirus itu.
Kapten JDT, Harris Harun berkata
dalam laman Facebook Johor Southern Tigers, “penularan wabak Covid-19 telah
mencabar setiap daripada kita dan masyarakat perlu berganding bahu menghadapi
waktu yang mencabar ini.
“Saya berharap sumbangan kami
dapat membantu banyak pihak dan saya menyeru agar ramai lagi yang tampil dan menghulurkan apa juga bentuk sumbangan bagi
membantu kita semua mengharungi episod gelap ini,” kata dalam entri pada Jumaat, 27 Mac
2020.
Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)
dari 18 Mac hingga 14 April 2020 ini oleh kerajaan Malaysia turut mengakibatkan
semua perlawanan Liga M dan segala pertandingan anjuran Persatuan Bola Sepak
Malaysia (FAM) ditangguhkan.
Selain Liga Super, pertandingan
yang turut dikendalikan bersama Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) ialah Liga
Perdana, Piala FA, Piala Malaysia dan Piala Cabaran, manakala yang dikelolakan FAM termasuk Piala Presiden, Piala Belia dan Liga
Futsal Perdana Malaysia.
Turut ditangguhkan ke tarikh yang
akan diumumkan semula ialah Liga M3 dan M4 yang di bawah anjuran Liga Bola
Sepak Amatur (AFL), sementara Piala Malaysia musim 2020 yang biasanya berjalan
selepas hampir kesemuanya, kini menghadapi kemungkinan dibatalkan.
STUART Ramalingam (kanan) dan Ab. Ghani Hassan (kiri) menasihatkan pasukan-pasukan Liga M mencapai keputusan menang-menang dengan pemain-pemain mereka. - Foto FAM
Sementara itu, FAM dan MFL dalam siaran medianya pada Khamis, 26 Mac 2020, menasihati dan menggalakkan semua pasukan dan pegawai terlibat mengadakan perbincangan terbuka dengan para pemain berhubung kesan Covid-19 dan penangguhan Liga M kepada pendapatan mereka.
Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam berkata, bagi Fasa Pertama ini iaitu berkaitan penangguhan pertandingan, perbincangan itu diharap mampu mencapai satu penyelesaian atau persetujuan bersama dalam tempoh yang sukar ini.
"Daripada hanya buat kenyataan
atau komen dalam media yang tambah
menyulitkan keadaan, lebih baik pasukan
berhubung terus dan berbincang dengan para pemain dan pegawai mereka berkaitan isu
gaji, kontrak, kebajikan dan sebagainya.
"Dalam keadaan sekarang, gunakanlah
budi bicara dan bertolak ansur demi kepentingan bersama, sekali gus mencapai
satu keputusan menang-menang untuk kebaikan semua.
"Semua pihak mempunyai
kepentingan masing-masing untuk dijaga namun dalam situasi (Covid-19) ini,
semua pihak perlu berkorban juga demi kepentingan industri bola sepak kita,”
katanya.
AKSI Liga Super antara Melaka (hitam) dan Pahang di Stadium Hang Jebat pada 14 Mac 2020 yang berlangsung tanpa penonton akibat Covid-19. - Kredit foto MFL
FAM dan MFL juga jelasnya, akan sentiasa terbuka untuk berbincang atau memberikan pandangan dan nasihat kepada mana-mana pihak yang memerlukan malah sedia dihubungi terus mereka.
Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Ab. Ghani Hassan pula berkata, perbincangan yang disarankan itu bukan bermaksud semua pemain perlu akur dengan pemotongan gaji sepanjang tempoh penangguhan Liga M sebaliknya satu jalan untuk cuba mencapai keputusan yang adil buat semua.
"Apa yang berlaku ketika ini bukan salah MFL atau pasukan yang kehilangan sumber pendapatan (tiada kutipan tiket stadium sepanjang penangguhan liga).
"Ini situasi berbeza yang belum pernah kami alami dan semua pihak diharap memahaminya,” katanya.
FAM
dan MFL juga katanya, akan memantau dari sehari ke sehari keadaan Covid-19 ini
serta mengikut arahan semasa daripada kerajaan sebelum mengeluarkan jadual
baharu Liga M 2020. - KitaReporters
AKSI Liga Super antara Kedah (hijau) dan Selangor berlangsung sunyi dan janggal tanpa penonton di Stadium Darul Aman, Alor Setar pada 15 Mac 2020.