Video| Mula-mula Zombi Kampung Pisang! Selepas tu KL Zombi, KL 24: Zombies! Kini Zombitopia!
Published byKISAH zombi mungkin satu makhluk fiksyen yang sering dijadikan tarikan pengisian filem-filem sejak tahun 1932 lagi apabila filem zombi pertama keluaran Amerika, ’White Zombie’ atau ‘Zombi Putih’ diterbitkan.
Di Malaysia, Mamat Khalid merupakan pengarah yang memperkenalkan ‘zombi’ istilah yang digunakan bagi menggambarkan mayat hidup, melalui filem komedi seramnya, ‘Zombi Kampung Pisang’.
Sambutan hangat terhadap filem tersebut yang berjaya meraih kutipan pecah panggung sebanyak RM2.37 juta pada tahun 2007 membuktikan cerita zombi mampu menarik perhatian penonton.
Susulan itu beberapa buah lagi filem berkisar zombi seperti ‘KL Zombi’ arahan Woo Ming Jun, mahu pun filem pendek untuk YouTube berjudul ‘KL 24: Zombies’ pada tahun 2013 diterbitkan.
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan filem
Selepas tiga tahun menyepi, fenomena zombie bangkit semula apabila filem genre seram sepenuhnya dari Korea Selatan, ‘Train To Busan’ mendapat sambutan hangat sehingga mencapai kutipan global sebanyak AS$98.5 juta.
Dan pada tahun sama, pengarah Woo Ming Jun sekali lagi mengambil langkah sama dengan menghasilkan filem berjudul ‘Zombitopia’ lakonan Shaheizy Sam, Elvina Mohamad, Bront Palarae, Sharifah Amani dan ramai lagi.
Namun filem berkenaan yang sepatutnya menemui penonton di pawagam seluruh Malaysia pada 13 Februari 2020 terpaksa ditangguhkan tayangannya akibat negara dilanda virus sebenarnya, iaitu koronovirus COVID-19.
Nasib filem zombi tempatan terbantut, tidak seperti filem sekuel kepada ‘Train To Busan’ iaitu ‘Train To Busan Presents: Peninsula’ yang tetap meraih pungutan global sebanyak AS$42.7 juta pada tahun 2020.
Terbaharu, dengan pelancaran saluran penstriman Disney + Hotstar, ‘Zombitopia’ yang telah menjalani penggambaran pada tahun 2016, akhirnya sudah boleh menemui penonton pada 2 Julai 2021.
Ironinya, virus zombi dan koronovirus yang dihadapi sekarang boleh diibaratkan sama tetapi tidak serupa.
“Cuma apa yang kita hadapi sekarang lebih menakutkan berbanding zombi yang kita jelas nampak dan boleh lari,” ujar pelakon utamanya, Shaheizy Sam kala membayangkan situasi yang dihadapi ketika penggambaran ‘Zombitopia’.
Salah satu babak filem 'Zombitopia' lakonan Sam.
Bercakap lanjut pada sidang media virtual pada 29 Jun 2021 lalu, Shaheizy atau lebih mesra disapa Sam menyifatkan tayangan ‘Zombitopia’ melalui saluran Disney+ Hotstar menepati situasi semasa sekarang,
‘“Iya lah, sekarang pun ramai yang rasa takut nak keluar, sebab penularan COVID-19 apatah lagi virus itu kita tak nampak,” ulas Sam.
Turut hadir pada sidang virtual mempromosikan filem ‘Zombitopia’ adalah pengarahnya, MJ Woo serta barisan pelakon Datin Elvina Mohamad, Bront Palarae dan Sharifah Amani.
Seperti Sam, rata-rata barisan pelakon melahirkan perasaan hampir sama berhubung tayangan filem tersebut pada kala negara berdepan virus COVID-19.
Lebih-lebih lagi bagi Datin Elvina Mohamad, 26, yang tidak sabar menonton filem sulong pertamanya mendukung watak utama itu.
“Tentu saya rasa teruja dan berdebar untuk melihat lakonan sendiri memandangkan pada waktu itu saya masih lagi baharu dalam bidang seni namun diberi peuang berganding dengan pelakon hebat seperti Sam, Bront dan Amani yang banyak membantu sepanjang penggambaran.
Elvina Mohamad memegang dua karakter dalam 'Zombitopia'.
Menurut pemilik nama sebenar Norzalina Mohamad ini, wataknya yang memegang karakter seorang gadis separuh manusia dan separuh zombi dirasakan amat mencabar.
“Harapan saya dan tentu juga harapan pengarah dan barisan pelakon lain, filem ini dapat menghiburkan penonton pada ketika kita berdepan dengan PKP dan perlu sentiasa berada di rumah.” ujar Elvina.
Bayangkan jika zombi benar-benar wujud, tak ke gamat jadinya sedangkan COViD-19 ini pun dah meragut jutaan nyawa seluruh dunia. - KitaReporters