GEROBOK makanan Danau Kota masih terus memberi sumbangan kepada yang memerlukan.


GEROBOK Makanan Taman Danau Kota, Setapak, Kuala Lumpur yang beroperasi sejak 19 Jun 2021 lalu dan kisahnya pernah tersiar dalam KitaReporters sebelum ini, bukan sahaja terus bertahan memberi sumbangan kepada yang memerlukan tetapi terus menerima pelbagai sumbangan

Suasana bertambah meriah kerana di samping menyampaikan sumbangan, aktiviti menjual buah-buahan seperti durian dan rambutan juga diadakan di pusat gerobok tersebut yang terletak di kabin taman permainan kanak-kanak Taman Danau Kota. Bagaimanapun jualan buah-buahan ini direhatkan untuk waktu ini.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan Danau Kota


Gerobok yang diwujudkan untuk membantu penduduk dan orang ramai yang memerlukan bantuan akibat terkesan dengan pandemik Covid-19 menyediakan keperluan asas makanan harian seperti beras, tepung, gula, biskut, minyak masak, sardin, telur dan bihun.

Penduduk taman dan orang ramai yang mampu dan kagum dengan operasi gerobok makanan ini terus menghulurkan bantuan untuk sama-sama diagihkan. 

Kerana sumbangan yang berterusan ini serta pemantauan terhadap penerima agar tidak ada yang mengambil kesempatan, gerobok ini mampu terus menghulurkan sumbangan. 

Sehingga ini sebanyak 492 kampit beras lima kilogram setiap satu telah diterima daripada penyumbang. Sehingga kini sejumlah 455 kampit telah diedarkan.  


SUMBANGAN barangan penjagaan diri daripada Watson diagihkan melalui Gerobok Makanan Taman Danau Kota.


Selain itu Watsons yang memiliki rangkaian kedai farmasi juga memberi sumbangan barangan penjagaan kesihatan yang sangat perlu perlu pada masa pendemik Covid-19. Ini termasuk sanitizer, pelitup muka, sabun, pencukur janggut, tisu basah, berus gigi, ubat gigi dan lain-lain.

Sumbangan berjumlah lebih 200 kotak barangan daripada Watson ini cukup untuk diagihkan kepada setiap isi rumah penduduk yang namanya tersenarai dalam daftar Persatuan Penduduk Jalan 2/23B, Taman Danau Kota.

Selain itu Lost Food Association (LFA) tampil memberi sumbangan sayuran-sayuran setiap hari Sabtu untuk  diagihkan melalui gerobok makanan ini. 

Bekalan dihantar pada sebelah petang Sabtu. Agihan pada 17 Julai 2021 lalu adalah untuk kali kedua.


SEBAHAGIAN sayur yang disumbangkan oleh Lost Food Association (LFA).


Pelbagai jenis sayuran dihantar termasuk sawi, kangkong, peria, lobak putih, salad, terung, kalian, daun sup, daun bawang. Juga disumbangkan buah-buahan seperti epal dan jambu batu. Selain itu limau kasturi juga diagihkan.

Para petugas di gerobok makanan menyaring sayur yang dihantar dan dimasukkan dalam pek yang mengandungi campuran pelbagai jenis sayur. Para penduduk kemudian diminta datang sendiri untuk mengambil pek sayur berkenaan.

Untuk menyerikan suasana di kabin gerobok makanan itu pula, beberapa ahli persatuan mengambil inisiatif menjual durian dan rambutan, terbuka kepada penduduk taman dan orang luar. Untuk sementara ini aktiviti ini berehat dahulu.  

Antara durian yang pernah dijual ialah IOI, udang merah dan juga durian kampung dengan harga berpatutan. Buahnya segar dan isinya elok. Ada yang putih ada yang kuning, ada rasa biasa ada pahit-pahit. Pendek kata memenuhi citarasa pembeli.  


ULASNYA kuning dan sedap. Durian yang pernah dijual di Gerobok Makanan Taman Danau Kota di Setapak, Kuala Lumpur. 


Dengan aktiviti ini semua, kabin gerobok makanan menjadi meriah. Suasana sentiasa hidup dan sibuk.

Namun begitu prosedur operasi standard (SOP) tetap dipatuhi. Mereka yang datang mesti memakai pelitup muka dan mendafar melalui aplikasi MySejahtera. Penjarakan sosial juga tetap dipatuhi. Hanya beberapa orang dibenarkan berada dalam kawasan kabin pada sesuatu waktu tertentu.

Gerobok Makanan Taman Danau Kota berjaya mencapai matlamatnya memberi bantuan kepada yang memerlukan dan pada masa sama memeriahkan pusat aktiviti penduduk di kabin berkenaan. 

Tenyata penduduk sepakat membawa berkat. - KitaReporters


BUAH epal antara yang disumbangkan oleh FAMA kepada gerobok makanan Danau Kota.

6
0
0
0
0

Copy Link: