Bayar parkir, sejam baru 65 sen! Kenapa pilih RM30, RM300??
Published byBAYARAN parkir (tempat meletak) kenderaan perlulah dijelaskan mengikut kadar yang ditetapkan oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT). Gagal mempamerkan kupon di kawasan parkir boleh menyebabkan orang ramai didenda dan sejumlah kompaun dikeluarkan. PBT bukan zalim dan sesuka hati keluarkan kompaun. Patuhilah peraturan dan undang-undang yang ditetapkan. : KitaReporters
Kredit foto-foto: Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP)
Sejak seminggu lalu tular di laman Facebook mengenai kemarahan dan perasaan tidak puas hati orang ramai yang mempertikaikan tindakan Majlis Perbandaran Kuantan (MPK), Pahang menaikkan kadar bayaran kompaun antara RM30 hingga maksimum RM300 atas kesalahan tidak membuat bayaran parkir ketika meletakkan kenderaan di petak parkir yang disediakan pihaknya.
Kami nak mendidik bukan mendera!!
Orang ramai turut mempertikaikan bayaran kompaun yang telah dinaikkan ketika negara dilanda wabak pandemik COVID-19 yang secara tidak langsung menyebabkan ramai yang terputus mata pencarian terutama mereka yang bergantung kepada pendapatan harian.
Kerja tak de...kena saman pulak.. Salah siapa nie??
Yang Dipertua MPK, Datuk Hamdan Hussin
Yang Dipertua MPK, Datuk Hamdan Hussin berkata, seperti kelaziman, mereka yang gagal menjelaskan bayaran parkir kenderaan pasti akan dikenakan kompaun sebagaimana yang telah ditetapkan.
Bagaimanapun, di atas sikap remeh dan mengambil mudah terhadap kompaun yang dikenakan itu, MPK bertindak lebih tegas apabila melaksanakan kadar bayaran kompaun baharu bermula 1 Jun 2020.
Kenapa susah sangat nak bayar parking tu. Sejam baru 65 sen!
“Jika sebelum ini, jumlahnya lebih kecil seperti RM10 dan RM15 bagi tempoh 7 hari dan 14 hari.
"Tetapi kini MPK menetapkan bayaran kompaun adalah RM30 dalam tempoh 30 hari sebelum digandakan kepada RM300 selepas 30 hari dari tarikh dikompaun.
“Bagi mereka yang masih gagal melangsaikan bayaran tersebut tindakan mahkamah akan dikenakan,” katanya.
Menurutnya, jumlah tersebut dilaksanakan bagi memastikan orang ramai terutama penduduk Kuantan memandang lebih serius terhadap tindakan tegas yang dikenakan oleh MPK sekiranya mereka gagal mematuhi undang-undang ditetapkan.
Beliau turut menjelaskan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), MPK tidak mengenakan sebarang kompaun parkir kepada pengguna, sebaliknya mereka mula menjalankan tugas sebaik sahaja Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dilaksanakan kerana sektor awam dan beberapa premis perniagaan sudah mula beroperasi.
Bayar parking habis cerita!!
Pelbagai komen diberikan apabila MPK bertindak menaikkan kadar bayaran kompaun itu.
Kebanyakannya tidak berpuas hati dan menganggap seolah-olah MPK mengambil kesempatan mencari 'income' lebih dengan mengenakan kompaun yang tinggi.
Ibarat menangguk di air keruh!
Bagaimanapun, ada juga yang menyokong tindakan diambil MPK kerana bagi mereka tidak susah manapun untuk menggores kupon dan letak di atas dashboard kereta masing-masing.
Tak nak bayar saman, letaklah kupon. Susah sangat ke? Takkan asyik terlupa je!!!
Hamdan juga berkata, kadar tersebut hanya dikenakan kepada mereka yang gagal membuat bayaran parkir, namun tidak mendatangkan kesan langsung kepada mereka yang patuh terhadap undang-undang.
Bila dah kene saman tau pulak bising. Marah-marah.. aduhai
Menurutnya, orang ramai juga tidak perlu beralasan untuk tidak membuat bayaran parkir kerana MPK telah menyediakan dua kaedah bayaran iaitu dengan menggunakan kad gores yang dijual menerusi 503 ejen di seluruh Kuantan atau menggunakan aplikasi PahangGo yang diperkenalkan sejak Disember 2019 lagi.
“Saya berharap orang ramai tidak mudah melatah dengan tindakan tersebut kerana ia bertujuan mendidik masyarakat supaya tidak memandang remeh terhadap tindakan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dalam memastikan kelestarian bandar Kuantan,” katanya.
Hamdan berkata, MPK masih mengekalkan kadar bayaran parkir sejak dinaikkan dari 45 sen kepada 65 sen sejak 10 tahun lalu.
Jelasnya, kadar tersebut adalah antara terendah berbanding beberapa negeri lain namun masih terdapat segelintir orang ramai yang gagal berbuat demikian.
“Jika dihitung jumlah bayaran tertunggak parkir kenderaan MPK kini mencecah RM10.3 juta.
"Jumlah ini termasuklah seorang pengguna yang gagal melunaskan bayaran selama tempoh 10 tahun dengan 468 kompaun sebanyak RM14,040,” katanya.
Kalau tak nak kena saman, sediakan siap-siapkan kupon parking atau guna sahaja aplikasi PahangGo.
Kemudahan sudah di depan mata. Jangan bazirkan wang untuk bayar saman. : KitaReporters