SEMUA anak Sarawak termasuk belia dan pelajar pusat pengajian tinggi yang terkandas di Semenanjung kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat wabak Covid-19 diminta menghubungi segera Sukarelawan Sarawak untuk memudahkan urusan memberi bantuan dapat disegerakan. : KitaReporters.com

Kredit foto: FB Fadillah Yusof


MENTERI Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusoff, berkata semua sukarelawan negeri itu sudah digerakkan untuk bertindak membantu pelajar dan semua rakyat Sarawak yang mempunyai masalah terutama mendapatkan bekalan makanan untuk memastikan kebajikan mereka terbela. 


Sebagai Ahli Parlimen Petra Jaya dan anak watan negeri itu, Datuk Fadillah berkata beliau sangat tersentuh dengan pegawai usaha Institut Latihan Tinggi Belia Negara (IKTBN) Alor Gajah dan di Bachok serta keprihatinan Persatuan Alumni Institut Latihan Kemahiran Belia dan Sukan (ILKBS) dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) yang bertindak pantas membantu belia Sarawak yang terkandas di Kelantan.

Kami selamat...  Belia Sarawak yang terkandas di Kelantan sudah pindah ke rumah tamu IKTBN Bachok.


Fadillah memberitahu dia telah menghubungi belia-belia itu untuk bertanya khabar lebih lanjut dan menyalurkan sumbangan derma segera.

Beliau juga gembira menerima berita yang mereka kini dipindahkan ke asrama IKTBN Bachok dan tidak perlu lagi membebankan keluarga yang ditumpangi yang kebetulan adalah ibu tunggal.

Beliau berkata demikian mengulas usaha semua pihak terbabit itu yang berjaya menempatkan empat belia yang terkandas di Kelantan sebulan lalu selepas mereka mengikuti kawan sekolej bercuti pada awal PKP dilaksanakan.

Mereka memilih untuk memenuhi undangan kawan sekolej bercuti di Bachok kerana cuti semester dan tidak mampu bayar tiket untuk pulang ke Sarawak. 

Namun memandangkan tempoh PKP pula telah dilanjut sehingga 12 Mei 2020, yakni bakal berpanjangan selama hampir dua bulan, menyebabkan duit saku mereka hampir habis.

SEBELUM NI..... Ini masa mereka tinggal menumpang di rumah kawan.


Pelajar terbabit Siti Noraziera Ramlee, Bettu Bulan Amrose, Lika Doris Guang masing-masing berusia 23 tahun dan Dally Angkang Joseph, 25 berasa sangat lega kerana mereka dipindahkan ke rumah tamu di IKTBN Bachok, pada Ahad, 19 April lalu. 

Sebelum itu mereka menumpang di rumah ibu kawan mereka, Siti Afifah Aina, 23. Kebetulan ibu Afifah pula seorang ibu tunggal dengan menyara mereka dengan wang pencen yang tidak seberapa.

Sementara itu, jurucakap Sukarela Sarawak yang mewakili anak bumi Kenyalang  berterima kasih kepada semua pihak yang mencari tempat berteduh dan menyediakan segala peralatan dapur untuk memudahkan belia terbabit.

"Kami sangat berterima kasih. 

"Thank you for you tuan yang telah menjaga mereka berempat, semoga Tuhan memberkati," katanya dalam WhatApp kepada Alumni ILKBS.

Pastikan mereka selamat... Belia-belia Sarawak terkandas dikunjungi Ahli Parlimen Bachok, Nik Abduh Nik Abdul Aziz.


Alhamdulillah.. Difahamkan derma dan sumbangan barangan keperluan daripada orang ramai melimpah ruah ke rumah tamu berkenaan selepas salah seorang itu memberitahu mereka hanya mempunyai RM100 saja dan wang itu pemberian pengarah dan kakitangan IKTBN Alor Gajah sudah semakin susut kerana digunakan untuk belanja makan minum itu.

Selepas laporan berita itu disiarkan termasuk di KitaReporters, seluruh negara bertali arus menghubungi Alumni ILKBS sehingga ada yang membuat panggilan sehingga jam 5 pagi untuk mendapatkan nombor bank akaun mereka untuk menyalurkan wang.  

Cukup makan ibu ayah...sumbangan datang mencurah.


Prihatin...terima sumbangan lagi.


Selain bantuan kewangan yang sehingga kini difahamkan sudah hampir menjangkau lebih RM5,000.

Sumbangan derma ini mendorong Alumni ILKBS menubuhkan satu Tabung Covid-19 berdasarkan kes empat belia itu supaya semua derma orang ramai dapat diberikan kepada belia-belia lain yang berdepan dengan masalah sama sepanjang PKP ini.

Selain itu, rakyat Malaysia terutama yang berdekatan Bachok turut menghantar ikan dan barangan keperluan dapur untuk meringankan beban mereka. 

Ada juga yang menghubungi terus belia untuk mengetahui kisah mereka. 

Belia itu bersyukur rakyat negara ini sangat membantu dan penyayang.

Alhamdulillah....rezeki orang terkandas di rantau orang.


Kemuncaknya mereka menerima kunjungan daripada Nik Abduh Nik Abdul Aziz, Ahli Parlimen Bachok yang juga anak bekas Menteri Besar Kelantan, Nik Aziz Nik Mat untuk melihat keadaan mereka, penginapan serta menghantar bekalan makanan. 

Lama mereka berbual bertanya khabar.

Sebelah petangnya, belia-belia terkandas itu kemudian dikunjungi pula kumpulan Puteri Umno, juga untuk melihat keadaan mereka sambil menghantar bantuan makanan dan derma mengisi tabung untuk membiayai saraan harian sepanjang PKP itu.

Alumni ILKBS juga difahamkan sedang berusaha untuk membawa mereka pulang ke Kuala Lumpur dan mungkin jika kelonggaran diperolehi dan belia ini dapat tajaan penerbangan untuk pulang berhari raya  di kampung mereka di Sarawak.

Sedap...Ikan sotong memang mudah di kampung nelayan Bachok.



Sementara itu, Presiden Alumni ILKBS, Samsuddin Oli Mohamed ketika dihubungi KitaReporters.com sangat terharu dengan sikap prihatin rakyat negara ini yang serta merta menghulur bantuan kewangan dan barang makanan untuk meringankan beban belia berkenaan.

Beliau mengucapkan terima kasih kepada semua pihak khususnya Kerajaan Sarawak, Fadillah Yusof, Sukarelawan Sarawak, KBS serta IKTBN Alor Gajah yang mengambil insiatif membantu mereka dan menempatkan belia berkenaan di rumah tamu yang sangat selesa dan mempunyai kelengkapan memasak. 

Ini kerana pada masa ini semua kolej IKTBN bercuti semester dan semua pelajar sudah pulang ke rumah. - KitaReporters

6
0
0
0
0

Copy Link: