Life: Magnified - The Main Show! Pameran Raaquu, jenama seni seramik tersohor! Raku karya Adil Ghani!

Published by
KitaReporters


Raaquu, jenama seni seramik tersohor di Malaysia di bawah pimpinan artis seramik inovatif dan berkemahiran tinggi, Adil Abdul Ghani secara rasmi melancarkan pameran solo pertamanya bertajuk Life: Magnified - The Main Show di Zhan Art | Space, Petaling Jaya sejak 13 Januari 2024 lalu.

Pameran tersebut dijadualkan berlangsung sehingga 8 Februari 2024 dan terbuka kepada umum.

Pada pameran tersebut para hadirin bagaikan dibawa ke alam lain tatkala khusyuk menjiwai hasil karya skulptural seramik yang dikurasi teliti oleh pihak galeri. 

Setiap satu hasil karya skulptural yang dipamerkan adalah inspirasi dan dari kajian serta imaginasi Adil Ghani, yang telah membuktikan dirinya sebagai salah seorang artis skulptural paling prolifik di negara ini. 



Menurut Adil Ghani, “Ia telah menjadi impian saya untuk menganjurkan pameran solo Raaquu yang pertama justeru membuktikan bahawa jenama ini bukan hanya tertumpu kepada pembuatan produk seramik dekoratif dan hiasan rumah. 

"Tema utama pameran Life: Magnified memaparkan fasa kehidupan makhluk ‘microlife’ seperti ‘diatomes’ dan ‘microbial bacterium’ – terutama elemen formasi semulajadi dan imaginasi saya sendiri.

"Bagaikan teknik pembakaran Raku yang dikenali menghasilkan ciri-ciri unik dan kebarangkalian yang di luar dugaan, makhluk microlife telah melalui siri evolusi beribu-ribu tahun menjadikannya agak mustahil bagi manusia menentukan saiz serta bentuknya. 

"Saya ada membaca bahawa manusia lebih mengetahui tentang ruang angkasa daripada alam lautan. Ia bagaikan dunia lain di dalam dunia, dan saya dihantui dengan persoalan ini, ‘bagaimana jika organisma mikroskopik ini hadir dalam saiz makhluk lain yang ada di dalam dunia ini?’. 

"Pameran ini bagaikan reaksi saya kepada persoalan tersebut yang seterusnya menjadi naratif dan idea utama pameran Life: Magnified." 

Jelas Adil lagi, “Proses penghasilan pameran ini mengambil masa 6 bulan untuk disiapkan, dari proses pengembangan idea sehinggalah pembuatan yang terbahagi kepada beberapa peringkat. 

"Walaupun pelbagai cabaran saya hadapi, ia memberikan saya peluang untuk memahami teknik Raku dengan lebih mendalam, dan pelbagai keindahannya yang sebelum ini tidak saya sedari. 

"Dari segi peribadi, ia amat mematangkan dari pelbagai segi dan saya amat berterima kasih kepada keluarga saya terutama. Mereka amat sabar dengan saya, justeru memberikan saya motivasi dan perangsang untuk mencapai impian saya ini." 



Desmond Tong, pengasas dan kurator Zhan Art | Space pula memberikan komen, “Kami begitu berbangga dapat menganjurkan pameran ini bagi pihak Raaquu dan ia juga melakar sejarah buat Zhan Art l Space sebagai pameran skulptural rasmi pertama bagi galeri ini. 

"Kami percaya kemahiran Adil tentang teknik pembakaran Raku berkaitan seramik adalah bertaraf dunia, dan sepatutnya diberi perhatian oleh industri seni Malaysia. 

"Kami juga berharap agar pameran ini akan menyangkal perspektif tidak benar tentang cabang-cabang seni dan membuktikan bahawa seni terbahagi kepada pelbagai pecahan termasuk arca atau skulptur seramik."



Bersesuaian dengan slogan jenama Raaquu iaitu ‘Painted By Fire’ atau ‘Diwarnakan Oleh Api’, teknik pembakaran skulptur seramik dilakukan di dalam sebuah dapur dengan tahap kepanasan maksimum dan dialihkan ketika seramik tersebut masih hangat membara atau ‘molten’. 

Ia kemudiannya diletakkan di dalam sebuah ruang khas pengurangan suhu yang diisi penuh dengan habuk kayu dan kertas. 

Kepanasan maksimum dari seramik tersebut akan menggalakkan pembakaran sederhana bahan-bahan mudah terbakar di dalam ruang khas tersebut. Ruang mampat itu kemudiannya ditutup ketat buat sementara waktu. 

Pertembungan suhu serta tahap kepanasan berlawanan di dalam ruang khas itulah yang memberikan corak serta warna-warna yang unik pada skulptur seramik dan yang paling menarik sekali, apabila teknik Raku tersebut menghasilkan rona-rona yang jarang dapat dilihat.

Pameran tersebut juga menyaksikan previu siri aksesori Raaquu yang mempromosikan ‘wearable art’ atau seni yang boleh dipakai. 

Selain itu, terdapat juga produk-produk perhiasan serta dekorasi kediaman terutamanya pasu seramik dalam pelbagai saiz dan bentuk. 

Kesemua karya skulptural yang diilhamkan serta dihasilkan oleh Adil Ghani, serta item seramik Raaquu adalah dibuka untuk pembelian di Zhan Art | Space yang terletak di The School, Jaya One, Petaling Jaya dengan harga yang ditetapkan bagi setiap hasil karya. 

Pameran dibuka dari Selasa hingga Ahad, 10am hingga 5pm. - KitaReporters/Kenyataan Media


13
7
0
12
0

Copy Link: