APIT kanan Singapura, Youri Adli Fathullah Ahmadi (merah) melakukan rejaman gunting sambil diadang tinggi pemain Filipina dalam perlawanan Kumpulan C antara regu Piala Dunia Istaf 2024 di Stadium Titiwangsa, Kuala Lumpur. Berjersi No. 12, tekong Danish Irfan Faiz. - Kredit foto: Istaf


SINGAPURA akan menjadi negara terbaharu sekali gus menggenapkan pasukan ke-14 yang menyertai Divisyen Perdana Kejohanan Sepak Takraw Dunia Istaf Piala Raja Thailand Ke-37 atau dikenali sebagai King’s Cup di Korat dari 1 hingga 8 September 2024.

Negara itu mendapat kebenaran khas penganjur, Persatuan Sepak Takraw Thailand (TAT) dan sokongan Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (Istaf) yang diundang menerusi Majlis Olimpik Kebangsaan Singapura (SNOC) pada 8 Julai 2024.

SNOC menjadi badan sementara untuk menguruskan penghantaran pasukan tersebut setelah Persekutuan Sepak Takraw Singapura (Perses) ditamatkan status ahli gabungan Istaf dan Persekutuan Sepak Takraw Asia (Astaf) pada 4 November 2023.


PIALA Raja Thailand atau King's Cup mula dipertanding oleh TAT di Bangkok pada 1984. - Kredit foto: TAT



Konfederasi Sepak Takraw Singapura (CSS) pula masih memerlukan sedikit masa untuk bergabung dengan SNOC sekali gus menjadi badan induk baharu yang mentadbir sukan itu setelah didaftarkan secara rasmi dengan Pendafar Pertubuhan Singapura pada 14 Jun 2024 lalu.

Presiden TAT, Thana Chaiprasit telah mengutus surat undangan rasmi ke King’s Cup dengan penyerahan bilangan pemain dan pegawai semua negara peserta termasuk Divisyen Satu dan Dua, dibuka sehingga 14 Julai 2024 manakala penyerahan senarai nama mereka akan ditutup pada 10 Ogos 2024.  


THANA Chaiprasit (kiri) dan Pemangku Presiden Istaf, Boonchai Lorhpipat. - Kredit foto: TAT 


Setiausaha Agung Istaf, Abdul Halim Kader berkata, “isu Perses adalah disebabkan tindak-tanduk para pegawainya (Presiden dan Setiausaha Agung Perses, Nasri Haron dan Zahid Abdul Aziz) tetapi para pemain Singapura tidak bersalah dan tiada kena-mengena dengannya.

“Istaf juga dalam mesyuarat Jawatankuasa Eksekutifnya pada 8 Julai 2024, bersetuju untuk menyokong TAT dalam mengundang pasukan sepak takraw Singapura ke King’s Cup 2024.

“Alasan ini diperkuat dengan kejayaan Singapura layak ke suku akhir acara antara regu Piala Dunia Istaf 2024 di Kuala Lumpur dengan menumpaskan Korea Selatan 10-15, 15-11, 15-12 dalam saingan Kumpulan C malah hampir mengejutkan beregu Thailand dalam set penentuan, sekali gus membuktikan merit dan daya saing mereka pada tahap tertinggi,” katanya yang juga Presiden Astaf.

Pada Piala Dunia Istaf di Stadium Titiwangsa itu, Singapura yang dikendalikan legenda perejam era 80-an, Salleh Nanang diundang menyertainya menerusi Jawatankuasa Persiapan Temasya Sukan Utama (MGPC) yang dilantik oleh SNOC dan dibentuk pada Januari 2023.


ABDUL Halim Kader (kanan) dan di sebelahnya, Salleh Nanang, bersalaman dengan penolong jurulatih Singapura, Noor Hisham Adam di samping regu utama mereka ketika Piala Dunia Istaf 2024. - Kredit foto: Istaf


ERISKANDAR Ada melakukan libasan kalih kidal dalam acara beregu Piala Dunia Istaf  yang hampir menjinakkan Thailand dalam tiga set di Kuala Lumpur pada Mei 2024. - Kredit foto: Istaf


Selain Thailand, negara-negara peserta Divisyen Perdana King’s Cup 2024 terdiri daripada Malaysia, Indonesia, Korea Selatan, India, Myanmar, Brunei, China, Jepun, Filipina, Vietnam, Laos dan Kemboja yang kebanyakannya juga beraksi pada Piala Dunia Istaf.

Acara regu berpasukan diwajibkan bagi divisyen ini dan dua lagi perlu dipilih dalam Kumpulan A (antara regu atau kuadran) dan B (antara regu campuran atau kuadran campuran) serta pilihan C (gelung).

Istaf telah memberikan status dan pengiktirafan Kejohanan Dunia kepada King’s Cup sejak 1992.

Kejohanan ini juga kerap menjadi kayu pengukur utama kebanyakan majlis Olimpik negara Asia dalam menyaring pemain-pemain mereka ke Sukan SEA atau Sukan Asia. - KitaReporters


SALLEH Nanang (berdiri, kiri) memimpin pasukan Singapura pada Piala Dunia Istaf 2024 dari 18 hingga 26 Mei 2024 lalu dengan pencapaian terbaik mereka mara ke suku akhir antara regu sekali gus pasti diamanahkan ke King's Cup, sebuah kejohanan antarabangsa yang tertua di dunia. - Kredit foto: PL


KONFEDERASI Sepak Takraw Singapura (CSS) diketuai Salim Ebrahim Marican (enam dari kiri) bersama-sama Jawatankuasa Induk mereka termasuk antaranya Haron Kosnan, Shamsul Kahar Lob (kiri dan dua dari kiri), Salleh Nanang dan Radhi Che Mei (dua dan tiga dari kanan) bergambar di depan tapak lama Istana Kampong Gelam, Singapura. - Kredit foto CSS 

11
17
0
12
0

Copy Link: