Hebat anak muda! Pertandingan dikir barat dapat perhatian! Sinar Baru (Kelantan) muncul juara zon!
Published by
PERSEMBAHAN dikir barat masih relevan dan diminati ramai termasuk golongan muda yang sering memenuhi setiap acara tersebut terutama di negeri Pantai Timur.
Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negeri (JKKN) yang berperanan memulihara warisan budaya bangsa menerusi penganjuran pertandingan bagi mengekalkan minat masyarakat terhadap kesenian tersebut.
Pertandingan Dikir Barat Peringkat Zon Timur 2024 yang berlangsung di pusat peranginan Pulau Perhentian, Besut, Terengganu, membuktikan usaha jabatan berkenaan yang prihatin terhadap menjaga khazanah budaya agar terus segar dan subur dalam kalangan penduduk masyarakat moden ini.
Pasukan Dikir Barat Sinar Baru dari Chicha, Kelantan muncul juara Dikir Barat Zon Timur
Pemilihan Pulau Perhentian sebagai lokasi pertandingan amat tepat dan sesuai dalam usaha memperkenal persembahan tersebut kepada pelancong asing yang berkunjung ke destinasi tersohor itu.
Sebanyak enam pasukan dikir barat mewakili Kelantan, Pahang dan Terengganu menyertai pertandingan yang turut disaksikan oleh ramai pelancong yang sedang berkunjung di pulau tersebut.
Antara pasukan yang menyertai pertandingan itu termasuklah kumpulan dikir Adi Jagat (Kelantan), Tamalian (Pahang), Sinar Baru (Kampung Chicha Kelantan), Seri Andika Raja (Besut, Terengganu), Sri Damak (Pahang) dan Pulau Perhentian (Terengganu) selaku tuan rumah.
Pertandingan anjuran Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negeri Terengganu (JKKNT) dengan Kerjasama Persatuan Penduduk Pulau Perhentian dirasmikan oleh Timbalan Ketua Setiusaha (Kebudayaan), Kementerian Pelancongan Seni Dan Budaya Malaysia (MOTAC), Mohd Yusri Mohd Yusof.
Pertandingan tersebut juga menarik perhatian apabila pasukan dikir berkenaan disertai ramai anak muda dari negeri Pantai Timur.
Penganjuran pertandingan dikir barat tersebut dilihat mampu mendidik generasi kini untuk lebih menghargai dan mencintai seni tersebut. Lebih penting kebanyakan mereka adalah dari generasi muda dan seni warisan ini selalunya dilihat kurang mendapat perhatian daripada golongan muda.
Penganjur memilih Tema “Malaysia Madani”
sebagai teras bagi menggalakkan pasukan dikir menghyati konsep Malaysia Madani
dan memberi kefahaman melalui dikir kepada penonton.
Pada pertandingan itu, Pasukan Sinar
Baru dari Kampung Chicha, Kelantan muncul juara, Tempat kedua ialah pasukan Adi Jagat dari Kelantan dan ketiga pasukan Sri Damak dari Pahang. - KitaReporters