Berakhirlah sudah kisah Akhir Sebuah Impian! Pemergian Emilia ibarat padamnya bintang di langit seni!
Published by
EMILIA CONTESSA, penyanyi dan pelakon popular Indonesia meninggal dunia di Banyuwangi, Jawa Timur pada 27 Januari 2025 dalam usia 67 tahun akibat serangan jantung ekoran komplikasi kencing manis.
Filem ‘Akhir Sebuah Impian’ lakonan Allahyarham Emilia Contessa mencetus fenomena pada tahun 70-an dan merupakan filem box-office di Indonesia dan Malaysia. Pada era tersebut, filem-filem Indonesia serta lagu-lagu penyanyi negara seberang itu membanjiri Malaysia.
Filem dari negara itu memenuhi pawagam, lagu-lagu berkumandang di corong radio. Kumpulan Favourite's Group merupakan antara kumpulan muzik yang popular di Malaysia selain D’ Loyd dan The Mercy’s.
Akhir Sebuah Impian’ dihiasi 11 lagu nyanyian Emilia dan Broery serta Favourite's Group. Semuanya menjadi lagu popular.
Antaranya termasuk ‘Biarkan Bunga Berkembang’ (Broery), ‘Malam Minggu Yang Mesra’ (Broery), ‘Angin Malam’ (Broery).
Selain itu, ‘Cari Kawan Lain’ (Favourite's Group), ‘Kasih Sayang (Favourite's Group), ‘Nasib Pengembara (Emilia) ‘Mimpi Sedih (Emillia), ‘Lagu Penghibur’ (Emilia dan Benjamin S) serta ‘Layu Sebelum Berkembang’ (Emilia).
Emilia juga mempunyai ikatan baik dengan artis Malaysia. Allahyarham pernah merakamkan lagu bersama penyayi Liza Aziz berjudul ‘Dari Jauh’ sekitar tahun 1990-an.
Emilia Contessa dan Broery Marantika dalam 'Akhir Sebuah Impian' filem yang mencetus fenomena dan menjulang nama Emilia di persada seni.
Kini berakhirlah kisah Akhir Sebuah Impian itu. Pemergian Emilia Contessa menyahut seruan Ilahi satu kehilangan yang bukan sahaja dirasai oleh rakyat Indonesia, tetapi juga rakyat di negara ini yang menjadi peminat tegar penyanyi juga pelakon tersebut.
Emilia,
atau nama sebenar Nur Indah Cintra Sukma Munsyi, meninggal dunia hari Isnin 27 Januari
2025 di Hospital Wilayah Blambangan, Banyuwangi, Jawa Timur pada usia 67 tahun kerana
serangan jantung akibat komplikasi kencing manis dan hypertension.
Allahyarham meninggal di hadapan suami, anak-anak dan ahli keluarga sejam selepas dimasukkan ke hospital.
Kejelitaan Emilia Contessa terserlah ketika usia remaja, diiringi kerjaya seninya yang cemerlang sebagai penyanyi dan pelakon.
Emilia lahir pada 27 September 1857 di Banyuwangi. Ibunya, Anna Suriani seorang Jawa, manakala bapanya, Hasan Ali, berketurunan Pakistan-Madura.
Emilia berkahwin tiga kali. Pertama dengan Rio Tambunan (kahwin 1976, cerai 1983). Kemudian dengan Abdullah Sidik Sukarty (kahwin 1988, cerai 1992). Dan terakhir dengan Ussama Muhammad Al-Hadari yang dikahwini pada 1994 sehingg akhir hayat.
Emilia Contessa bersama sebahagian ahli keluarganya merakamkan kenangan indah bersama.
Emilia mula menyanyi pada usia lima tahun dengan ibunya sendiri menjadi pengurus. Allahyarham adalah antara anak seni terbaik pernah dilahirkan oleh Indonesia. Namanya mekar di negaranya dan menjadi pujaan peminatnya di Malaysia pada era 70-an.
Sebagai
penyanyi, popularitinya sebaris dengan penyanyi hebat ketika itu seperti Titiek
Puspa, Tetty Kadi, Elly Kassim, Alfian, Ernie Djohan, Wirdaningsih, Benjamin S,
Lilis Suryani dan lain-lain.
Nama Emilia
menyerlah apabila muncul pelakon utama dalam filem ‘Akhir Sebuah Impian’
(keluaran 1973) arahan Turino Junaidy, bergandingan dengan penyanyi juga pelakon
terkenal, Broery Pesolima, lebih dikenali dengan nama Boery Marantika. Bintang
lain termasuk Farouk Afero dan Benjamin S serta kumpulan muzik Favourite's Group.
Broery memang tidak asing dalam kalangan peminat di Malaysia. Mendiang yang meninggal pada 7 April 2000 pernah berlakon bersama Allahyarham Sharifah Aini dalam filem ‘Hapuslah Air Mata’ (1976).
Kumpulan muzik Favourite's Group turut menyerikan penampilan dalam 'Akhir Sebuah Impian'.
Selain lagu dalam filem 'Akhir Sebuah Impian', lagu-lagu popular Emilia yang lain ialah ‘Penasaran’, ‘Sudah Ku Coba’, ‘Burung Sangkar’, ‘Katakanlah’, ‘Yatim Piatu’, ‘Burung Sangkar’, ‘Hitam Manis’, ‘Untuk Apa’ dan banyak lagi.
Filem lain
lakonannya pula ialah ‘Brandal-Brandal Metropolitan’, ‘Tanah Gersang’, ‘Dalam Sinar
Matanya’, ‘Perkahwinan’, ‘Takkan Ku Lepaskan’, ‘Dosa Atas Dosa’, ‘Perempuan’, ‘Aku
Mahu Hidup’, 'Pilih Menantu’, ‘Tetesan Air Mata Ibu’ dan lain-lain.
Memulakan
karier seni pada usia kanak-kanak, Emilia Contessa mengambil langkah berani berhijrah
dari kampung halamannya di Banyuwangi ke Jakarta pada tahun 70-an. Ternyata
penghijrahannya membawa rahmat. Ia mengubah nasibnya dalam bidang seni hingga namanya
jadi pujaan.
Untuk
meluaskan karier, Allahyarham pernah berhijrah ke Singapura dan menetap setahun
di negara itu. Vokal yang dimiliki dianggap unik sehingga mendapat perhatian
media antarabangsa.
Majalah ‘Asia
Week’ pada 1975 pernah memberi gelaran ‘Singa Panggung Asia’ kepada Allahyarham.
Selain itu ‘New York Times’ pernah menyenarai Allahyarham seorang
daripada lima artis popular dunia.
Kerana kehebatan itu, Emilia pernah ditawar biasiswa belajar vokal di Amerika Syarikat tetapi terpaksa menolak. Ini kerana Allahyarham terikat kontrak nyanyian di Jakarta.
Namun begitu Allahyarham, yang juga pernah bergiat dalam politik, berpeluang melebarkan kerjaya seni ke Eropah dan Amerika.
Sesungguhnya pemergian Emilia adalah kehilangan besar, ibarat padamnya sebutir bintang di langit seni. Semoga Allah mencucuri rahmat dan mengampuni dosanya. - KitaReporters
Salah seorang anak Emilia Contessa, Denada, berdoa di pusara ibunya selepas pengkebumian di Banyuwangi, Jawa Timur.