BERNAMA A bergembira meraikan kejayaan bergelar juara Kejohanan Bola Sepak 9 Sebelah Antara Media Hawana 2024 selepas menumpaskan Media Perak menerusi penentuan sepakan penalti 3-2 di Taman Melawati, Kuala Lumpur. - Kredit foto: Media sosial


IBARATKAN sebuah pertembungan buku dengan ruas sehingga hanya penentuan sepakan penalti yang mampu memisahkan siapa juara dan naib juaranya.

Kesudahan perlawanan akhir Kejohanan Bola Sepak 9 Sebelah Antara Media sempena Sukan Hari Wartawan Nasional (Hawana) 2024 pada 27 Oktober 2024 ini menjadi milik Bernama A apabila menumpaskan Media Perak 3-2 setelah mereka terikat tanpa jaringan.

Selain menjulang piala kejohanan, sang juara tersenyum lebar kerana membawa pulang hadiah wang tunai RM3,000 manakala si naib juara tetap pulang dengan RM2,000.

Pemenang tempat ketiga ialah Finas FC dengan RM1,000 dan tempat keempat menjadi milik Kelab Bola Sepak Fahmi Fadzil dengan sagu hati RM800.


MEDIA Perak tetap berpuas hati selaku naib juara dengan habuan RM2,000. - Kredit foto: FB NI 


Sebanyak 13 pasukan lagi yang mengambil bahagian kejohanan di Sekolah Antarabangsa Brainy Bunch, Taman Melawati, Kuala Lumpur ini antaranya IKIM, Awani Rangers, Awani Rangers, Harian Metro, TV3, Media Elit Kedah, RTM dan Sinar FC serta Kejpa FC.

Format pertandingannya ialah sembilan sepasukan yang bertarung dalam 15 minit dalam peringkat liga dua kumpulan dan kalah singkir yang ditentukan menerusi sepakan penalti tiga kali.

Fahmi, Menteri Komunikasi turut hadir menyaksikan perlawanan akhir dan menyampaikan hadiah-hadiah kepada para pemenang.

Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional (Bernama), Nur-ul Afida Kamaludin merasmikan kejohanan ini.

Turut disekalikan ialah pertandingan bola jaring antara media membabitkan sembilan pasukan yang menawarkan hadiah wang tunai hampir RM4,000 yang juga dijuarai Bernama dengan menewaskan Karangkraf 7-4.


MEDIA Elit Kedah sanggup datang dari jauh untuk turut memeriahkan kejohanan biarpun gagal melepasi saingan peringkat kumpulan. - Kredit foto: MRR


“Sukan merupakan pelantar atau perantara yang mampu mengeratkan hubungan dan meningkatkan semangat kekitaan para pengamal media selain memperoleh kesihatan mental.

“Sekalipun sering bertugas sehingga lewat malam sampai makan pun lewat, sukan wajar menjadi amalan gaya hidup mereka yang tidak semestinya apabila mahu menghadapi pertandingan bahkan hari-hari biasa,” kata Nur-ul, dipetik daripada laman sosial Bernama.

Ulas Fahmi, “(kejohanan ini) peluang yang sangat baik untuk merapatkan silaturahim dan mengukuhkan ukhuwah terutama dalam kalangan para wartawan.”

Ketua Pengarang Bernama, D.R. Arul Rajoo juga beraksi pada kejohanan ini manakala Timbalan Ketua Pengarang (Perkhidmatan Berita), Nasriah Darus bagi kejohanan bola jaring. - KitaReporters


 

D.R. Arul Rajoo (kiri) menyaksikan Nur-ul Afida Kamaludin membuat gimik perasmian Sukan Hawana 2024 membabitkan Kejohanan Bola Sepak 9 Sebelah dan Bola Jaring Antara Media. - Kredit foto: Media sosial 

8
7
0
18
0

Copy Link: