STADIUM Merdeka di Kuala Lumpur turut sering menjadi tarikan pelancong asing kerana nilai sejarahnya yang tinggi kepada Malaysia selain berdekatan mercu tanda baharu dan termoden negara, Menara 118. - Kredft foto: NAS


SESUDAH lapan tahun berlalu, mercu tanda penuh bersejarah, Stadium Merdeka, Kuala Lumpur kembali dibuka kepada orang ramai pada 17 Ogos 2024 - dua minggu sebelum Malaysia meraikan Hari Kebangsaannya yang memasuki ulang tahun ke-67 juga di situ.

Stadium yang asalnya dimiliki Perbadanan Stadium Merdeka (PSM, kini Perbadanan Stadium Malaysia) telah berpindah tuan punya kepada PNB Merdeka Ventures Sdn. Bhd., anak syarikat Permodalan Nasional Berhad (PNB).

Inilah tempat yang merakamkan pengisytiharan kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu (atau Malaya dan kemudiannya Malaysia) pada 31 Ogos 1957 oleh Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman Putra berserta laungan keramatnya sebanyak tujuh kali, “Merdeka!” yang disambut ribuan hadirin.


KERJA-KERJA pengubahsuaian dan pembinaan semula Stadium Merdeka yang akan dibuka semula pada 17 Ogos 2024 dilaporkan menelan kos sehingga RM2 juta. - Kredit foto: AC 


Dalam mengharungi peredaran masa, Stadium Merdeka walau bagaimanapun tidak terlepas daripada menjalani pengubahsuaian termasuk tempat duduknya yang pernah mampu menampung 45,000 orang, kepada kini hanya 20,000 orang.

Kini stadium tersebut turut mempunyai latar baharu, Menara 118 yang terletak kira-kira 600 meter darinya - sebuah pencakar langit setinggi 678.9 meter iaitu yang kedua tertinggi di dunia (setakat tahun 2024 ini).

Dalam laporan Bernama pada 1 Ogos 2024, Ketua Komunikasi PNB Merdeka Ventures, Liza Karim berkata, pembukaan semula stadium ini bertujuan menghidupkannya semula dengan acara-acara sukan, aktiviti komuniti dan budaya serta memberi pengalaman yang bermakna kepada semua rakyat Malaysia. 

Stadium Merdeka telah didaftarkan sebagai Warisan Kebangsaan pada 2009 oleh Jabatan Warisan Negara (JWN), Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) di bawah Akta Warisan Kebangsaan 2005. 

Sebanyak RM2 juta telah dibelanjakan sebagai membaik pulih Stadium Merdeka kepada rupa bentuk asal seperti 1957 yang membabitkan tempat duduk, papan paparan dan pemulihan jubin lantai pintu masuk utama.



Perlawanan bola sepak Piala Sultan Selangor (PSS) yang menemukan Pilihan Selangor dan Pilihan Singapura mendapat penghormatan untuk dilangsungkan di Stadium Merdeka pada hari pembukaannya semula pukul 9 malam.

Sejam sebelumnya, akan diadakan perlawanan Veteran Selangor dengan Veteran Singapura yang kedua-duanya bakal mengembalikan nostalgia perseteruan kedua-dua pasukan dalam saingan Piala Malaysia di stadium tersebut khususnya ketika era 70-an dan 80-an.

Sebelum munculnya Stadium Shah Alam pada 1994, Stadium Merdekalah gelanggang sendiri Gergasi Merah sepanjang musim Piala Malaysia malah kemudiannya berkongsi dengan Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur).

PSS mula dipertanding pada 2001 di Stadium Shah Alam dan pernah empat kali berpindah ke Stadium Nasional, Singapura namun inilah kali pertama Stadium Merdeka dipilih sebagai gelanggangnya. - KitaReporters


REUNION yang penuh nostalgia dua kapten legenda Selangor/Malaysia dan Singapura, Datuk Soh Chin Aun (kiri) dan Samad Allapitchay sempena perlawanan Veteran Selangor-Veteran Singapura Piala Sultan Selangor beberapa tahun lalu. 


JUARA-JUARA PIALA SULTAN SELANGOR:

2001 Shah Alam: Pilihan Selangor 0 Pilihan Singapura 0 (penalti 4-2)

2003 Shah Alam: Pilihan Selangor 4 Pilihan Singapura 1

2004 Singapura: Pilihan Selangor 2 Pilihan Singapura 2 (juara bersama)

2005 Shah Alam: Pilihan Selangor 3 Pilihan Singapura 1

2006 Singapura: Pilihan Singapura 3 Pilihan Selangor 0

2007 Shah Alam: Pilihan Singapura 3 Pilihan Selangor 1

2008 Shah Alam: Pilihan Selangor 2 Pilihan Singapura 2 (penalti 4-3)

2009 Singapura: Pilihan Singapura 3 Pilihan Selangor 0  

2010 Shah Alam: Pilihan Singapura 6 Pilihan Selangor 0

2011 Shah Alam: Pilihan Singapura 1 Pilihan Selangor 0

2012 Shah Alam: Pilihan Selangor 3 Pilihan Singapura 1

2013 Shah Alam: Pilihan Selangor 3 Pilihan Singapura 2

2014 Shah Alam: Pilihan Selangor 2 Pilihan Singapura 1

2015: -Dibatalkan kerana jerebu-

2016 Shah Alam: Pilihan Singapura 1 Pilihan Selangor 1 (penalti 4-3)

2017 Singapura: Pilihan Singapura 3 Pilihan Selangor 2

2018 Shah Alam: Pilihan Selangor 1 Pilihan Singapura 1 (penalti 5-3)

2019 Shah Alam: Pilihan Selangor 1 Pilihan Singapura 0

2020, 2021, 2022 & 2023: - Tiada pertandingan kerana Covid-19


AMRI Yahyah menjulang Piala Sultan Selangor 2019 selepas Pilihan Selangor menumpaskan Pilihan Singapura 1-0 di Stadium Shah Alam, Selangor.  


PERTEMUAN FINAL PIALA MALAYA/MALAYSIA SELANGOR-SINGAPURA DI STADIUM MERDEKA:

1965: Singapura 3 Selangor 1

1975: Selangor 1 Singapura 0

1976: Selangor 3 Singapura 0

1978: Selangor 4 Singapura 2

1979: Selangor 2 Singapura 0

1980: Singapura 2 Selangor 1

1981: Selangor 4 Singapura 0


MOKHTAR Dahari selaku kapten Selangor memegang Piala Malaysia selepas menewaskan Singapura 2-0 dalam final 1979. 


MALAYSIA (jersi putih) merangkul pingat emas Sukan SEA Kuala Lumpur pada 31 Ogos 1989 selepas menewaskan Singapura 3-1. Dollah Salleh (9) turut menyumbat satu gol final di Stadium Merdeka itu selain gol sendiri Borhan Abu Samah dan Lim Teong Kim. 


ACARA SUKAN TERMASYHUR DI STADIUM MERDEKA SELAIN PIALA MALAYA/MALAYSIA

1957 hingga 2001 (kecuali 1974): Pestabola Merdeka (bola sepak)

1965 dan 1971: Sukan SEAP Kuala Lumpur 

14 & 15 Mac 1975: Hoki Piala Dunia Ketiga (separuh akhir - Malaysia lawan India, penentuan tempat ketiga - Malaysia lawan Jerman Barat)

11 Mei 1975: Perlawanan persahabatan bola sepak Malaysia menentang Arsenal

30 Jun 1975: Pertarungan tinju heavyweight dunia Muhammad Ali menentang Joe Bugner 

1977 dan 1989: Sukan SEA 

30 Mei 1978: Perlawanan persahabatan bola sepak Malaysia menentang England B

6 April 1980: Malaysia juara bola sepak Kelayakan Olimpik Kumpulan 2 Asia menewaskan Korea Selatan 2-1 untuk layak ke Sukan Olimpik Moscow 1980 

17 April 1981: 3 September 1983 & 12 Ogos 1984: Piala Ovaltine (bola sepak) - Malaysia lawan Singapura

12 Jun 1991: Perlawanan persahabatan bola sepak Malaysia menentang England.


SKUAD negara kendalian Karl-Heinz Weigang (berdiri, dua dari kanan) yang layak ke Sukan Olimpik Moscow 1980 selepas menewaskan Korea Selatan 2-1 di Stadium Merdeka. 


BEKAS juara tinju heavyweight dunia tiga kali, Muhammad Ali (kiri) mengelak tumbukan balas Joe Bugner dalam pertarungan di Stadium Merdeka pada 30 Jun 1975 yang disiarkan secara langsung ke seluruh dunia. - Kredit foto: EL 

14
3
0
15
0

Copy Link: