Walaupun beberapa insan seni tanah air pernah menjalani hukuman atas kesalahan dadah, namun penyanyi dan komposer Muhammad Yasin Sulaiman lebih dikenali sebagai Yasin Sulaiman, 49, menjadi insan seni tempatan pertama menjalani hukuman penjara seumur hidup dan sebatan atas kesalahan menanam dan memiliki dadah.

Yasin dijatuhi hukuman penjara seumur hidup dan 16 sebatan oleh Mahkamah Tinggi, Shah Alam pada pagi Khamis, 22 Ogos 2024.

Hukuman tersebut dijatuhi Hakim Datuk Norsharidah Awang selepas mendapati Yasin bersalah atas tiga pertuduhan dadah dihadapinya termasuk menanam 17 pokok pada 29 November 2023.

Yasin dibawa keluar dari mahkamah setelah dijatuhi hukuman di Mahkmah Tinggi Shah Alam. - Kredit foto: Bernama


Keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam itu mengetepikan hukuman Mahkamah Sesyen Petaling Jaya. 

Mahkamah Sesyen Petaling Jaya pada 29 November 2023, melepas dan membebaskan Yasin atas tiga kes dadah, namun mengarahkan dia ditempatkan di bawah jagaan Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak, selama tempoh perkenan Sultan Selangor.

Yasin ketika ditemui media selepas prosiding menganggap hari ini (Selasa, 22 Ogos 2024) adalah ‘hari gelap’ bagi dirinya.

Tambahnya, keputusan sangat pelik. Dia tidak boleh terima kenapa saksi pakar tidak langsung diambil keterangan dan tidak dipakai oleh Mahkamah Tinggi. 

Suasana menjadi hiba di galeri awam mahkamah setelah mendengar keputusan hakim.

Riak wajah pemenang Anugerah Juara Lagu TV3 2001 melalui lagu ‘Mimpi Laila’ ini kelihatan sugul sementara ahli keluarga termasuk anak perempuannya, Malaika yang kini berusia 16 tahun, pula menangis. 

Namun bagi Yasin, hukuman itu bukan satu pengakhiran. Melalui peguamnya Ariff Azami Hussein, Yasin akan memasukkan notis rayuan keputusan tersebut pada Sabtu, 24 Ogos 2024..



Yasin dikenali sebagai komposer berbakat dan telah menghasilkan sejumlah ciptaan dengan lagu ‘Mimpi Laila’ terpilih sebagai pemenang utama pertandingan Juara Lagu TV3 2001.

Yasin mula menyanyi sejak 1995 dan mula dikenali apabila menjadi sebahagian anggota kumpulan nasyid kontemporari Brothers pada 1996 dan mencipta lagu popular Brothers, ‘Teman Sejati’.

Setelah popular dengan Brothers, melalui dua album ‘i-We Are’ (1997) dan ‘Satu Perjuangan’ (1998) bersama syarikat rakaman Ambang Klasik, Yasin bergerak secara solo dengan memperjuang muzik dunia (world music). - KitaReporters

Polis merampas pokok ganja yang ditanam di apartmen Yasin

11
15
0
14
0

Copy Link: