Video| Nona Asiah: Padamnya sebutir bintang! Namun lagunya terus segar! Namanya tetap terpahat!
Published by
“Banyak rimbang tumbuh di atas tebing
"Hanya
serumpun sahaja yang tumbuh menghijau
"Banyak kumbang beredar berkeliling
"Hanya satu yang ku idam dan ku igau”
(Lagu ‘Nada Merindu’ nyanyian Nona Asiah, filem ‘Chuchu Datuk Merah’)
NONA Asiah anggun pada usia muda.
NONA Asiah, primadona lagu Melayu, sudah tiada. Allahyarham menemui Ilahi pada Selasa, 30 Julai 2024 di Hospital Changi, Singapura pada pukul 4.25 pagi. Allahyarham yang berusia 94 tahun meninggal akibat komplikasi pelbagai penyakit.
Pergi sudah seorang penyanyi bersuara gemersik merdu yang sukar ditandingi. Pada era kegemilangan filem Melayu tahun 50-an dan 60-an, berpuluh-puluh lagu nyanyiannya menghiasi filem-filem keluaran Shaw Malay Film Productions (MFP) dan Cathay Keris, Singapura.
Melodi dan lirik penuh puitis begitu berkesan di hati pendengar. Selain lagu solo, Nona Asiah berduet dengan nama hebat seperti P Ramlee, Abdullah Chik, Aziz Jaafar dan Jasni.
Sekadar contoh, antaranya lagu ‘Asmara Bergelora’ (P Ramlee), ‘Ingin Tahu’ Abdullah Chik), ‘Laju-Laju Bidukku Laju’ (Aziz Jaafar) dan ‘Salam Terakhir’ (Jasni).
Suami Nona Asiah, Ismail Kassim, yang meninggal pada 1994, adalah juga seorang penyanyi. Berkahwin pada 1955, Mereka mempunyai lima anak.
Dua daripadanya mewarisi bakat ibu bapa, iaitu Allahyarham Iskandar Mirza (meninggal 2014 pada usia 58 tahun) dan Indra Shahril, penyanyi dan penggiat seni di Singapura.
PASANGAN suami isteri Ismail Kassim dan Nona Asiah.
Baik solo atau duet, lagu Nona Asiah semuanya tetap segar sehingga kini khususnya dalam kalangan peminat lagu lama. Benarlah seperti kata pepatah ‘tak lekang dek panas tak lapuk dek hujan’.
Semua itu kini tinggal kenangan. Allahyarham yang nama sebenarnya Asiah
Aman, meninggal selepas dua bulan dirawat di Hospital Changi kerana pelbagai komplikasi
kesihatan. Memetik Indra Shahril, ibunya menghidap dimensia serta masalah jantung,
paru-paru dan buah pinggang.
Karier cemerlang Nona Asiah dalam seni bermula pada 1949 apabila ditawarkan merakam lagi ke piring hitam menyanyikan lagu ‘Ciumku Lagi’,
lagu saduran daripada lagu terkenal Mexico ‘Besame Mucho’ yang menjadi
lagu malar segar sehingga kini. Selain itu lagu saduran Jepun ‘Bunga Sakura’.
Selepas itu, Nona Asiah mendapat tawaran selaku penyanyi latar filem
keluaran MPF dan Cathay Keris. Antaranya filem ‘Chinta’, ‘Nasib’, ‘Nilam’, ‘Rachun
Dunia’, ‘Hujan Panas’, ‘Bujang Lapok’, ‘Chuchu Datuk Merah’, ‘Salah
Sangka’, ‘Badang’ dan banyak lagi.
Gandingan duetnya pula ialah P Ramlee, R Azmi, Ismail Kassim, Jasni, Abdullah Chik, Zainal Alam dan Aziz Jaafar. Suara Allahyarham sering digunakan oleh Latifah Omar, Roseyatimah, Siput Sarawak, Rosnani dan Zaiton.
Nona Asiah lahir dalam kalangan keluarga penggiat bangsawan. Sejak kecil ibunya, Hajar Rahmah, seorang seri panggung bangsawan, memperkenal Nona Asiah kepada seni. Ibunya meletakkan Nona Asiah yang masih kecil menghiburkan penonton sementara latar (backdrops) di atas pentas diubah.
Sewaktu pendudukan Jepun, Nona Asiah yang ketika itu berusia 12 tahun,
menyertai sandiwara panggung ibunya mengiburkan tentera Jepun di pangkalan tentera
di Seletar. Bayaran yang diterima oleh kru bangsawan termasuk rokok, beras
dan bahan makanan lain.
Selepas Jepun menyerah kalah pada 1946, Nona Asiah mendapat kerja
sebagai penyanyi serta penyampai lagu-lagu permintaan di Radio Malaya. Di sinilah
Allahyarham bertemu dengan Ismail Kassim, yang 16 tahun lebih tua. Mereka berkahwin
pada 1955.
Allahyarham juga mencipta nama di luar negara dan mengadakan persembahan di Brunei serta Sarawak bersama kumpulan orkestra. Antara lagu popular sering didendangkan
ialah lagu hitnya ‘Hasan dan Hasnah’ serta lagu ciptaan Zubir Osman, ‘Gelora
Chinta’ dan ‘Chempaka Biru’.
Sepanjang tempoh tersebut, Nona Asiah terus bekerja dengan Radio Malaya, menyanyi dengan orkestra radio serta merakam lagu ke piring hitam. Untuk megimbangi kerjaya dan keluarga, Nona Asiah mengupah tiga orang pembantu menjaga anak, selain dibantu oleh nenek dan ibunya.
Persembahan terakhir Nona Asiah di Radio TV Malaysia (RTM) ialah pada
1975 apabila RTM menjemput Allahyarham menyanyikan lagu-lagu P. Ramle dan komposer
lain di Kuala Lumpur. Allahyarham bersara sepenuhnya daripada bidang seni
selepas itu.
Nona Asiah juga mahir dalam bidang jahitan dan busana wanita. Gubahan
pakaiannya memang menarik dan pernah
digayakan oleh nama-nama besar dalam industri seperti Allahyarham Puan Seri
Saloma, Siput Sarawak, Kartina Dahari dan lain-lain.
Kini Nona Asiah sudah tiada. Pemergiannya ibarat padamnya sebutir bintang. Khazanah seni yang ditinggalkan akan terus segar, namanya tetap terpahat dalam lipatan sejarah. Harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama.
Semoga Allah cucuri rahmat dan ampuni dosa Allahyarham. - KitaReporters