AMARJIT Singh Gill menunjukkan papan notis senarai Presiden lama PKBM termasuk ayahnya, Darshan Singh Gill. - Kredit foto: FB Norazman Ab. Samah


KALAU si bapa borek, sudah tentu anaknya rintik. Bagaimana acuan, begitulah kuihnya. Buah tak jatuh jauh dari pohonnya. 

Dari 1986 hingga 1990, Tan Sri Darshan Singh Gill menerajui Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) setelah menewaskan Datuk Elyas Omar yang juga Datuk Bandar Kuala Lumpur ketika itu.  

Mesyuarat Agung Khas (Pemilihan Presiden) penggal 2023-2026 di sebuah hotel di Melaka pada 12 Oktober 2024 merealitikan satu lagi pepatah Melayu yang sinonim - ke mana lagi tumpahnya kuah, kalau bukan pada nasi?

Anaknya, Datuk Amarjit Singh Gill melengkapkan gandingan bapa-anak yang pertama mencipta sejarah tersendiri itu setelah memenangi pertandingan tiga penjuru jawatan Presiden tersebut. 

Ini barulah betul-betul anak bapak!

Tiga puluh lima undi meletakkannya di ‘kerusi panas’ itu berbanding pencabar terdekat, Yunus Ibrahim yang beroleh 23 undi, manakala Pemangku Presiden PKBM, Mazlan Ab. Jail gagal meraih sebarang undi.


AMARJIT Singh (tengah) sebelum ini juga pernah menjawat jawatan Naib Presiden dan Timbalan Presiden PKBM. - Kredit foto: FB Norazman Ab. Samah


Amarjit sebelum ini merupakan Timbalan Presiden PKBM selain menyandang jawatan Naib Presiden Konfederasi Berbasikal Asia (ACC) dan Ahli Lembaga Pengurusan Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI).

Namun laporan beberapa media arus perdana turut menyebut, dua undi disahkan rosak, manakala tiada perwakilan Persatuan Berbasikal Terengganu yang menghadiri mesyuarat itu.

Laman Facebook PKBM juga melaporkan, inilah julung kali jawatan Presiden dipertanding setelah hampir 33 tahun Datuk Abu Samah Wahab (Allahyarham) menerajuinya termasuk secara menang tanpa bertanding.

Amarjit mulanya mendapat dua pencalonan oleh ahli gabungan Putrajaya dan Perak dan disokong oleh Melaka dan Selangor, manakala Mazlan dicadangkan Terengganu dan disokong oleh Pahang sementara Yunus dicadangkan Kuala Lumpur dan disokong oleh Johor.

YUNUS IBRAHIM. - Kredit foto: FB PKBM


MAZLAN AB. JAIL. - Kredit foto: FB PKBM


Amarjit menyedari, majoriti 12 undi yang diperolehnya menuntutnya merapatkan semula saf kepemimpinan, Ahli Majlis dan semua ahli gabungan PKBM yang dikhuatiri berpecah ekoran pemilihan itu.

Selain itu, Persatuan Berbasikal Negeri Sabah (PBNS) yang sudah terbatal pendaftarannya, perlu dikembalikan statusnya sebagai ahli kerabat PKBM.

“Keharmonian akan menjadi keutamaan terbesar misi saya sebagai Presiden baharu PKBM. Juga sama pentingnya ialah kami memperkasakan hubungan dengan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Majlis Sukan Negara (MSN).

"Saya akan berhubung secara rasmi dengan kementerian selepas ini bagi memohon bantuan kewangan kepada PKBM diberikan semula khususnya bagi acara lebuh raya menjelang Sukan SEA Thailand 2025," katanya lagi. - KitaReporters


AMARJIT Singh (empat dari kiri); Naib Presiden PKBM, Norazman Abu Samah (tiga dari kiri); dan para perwakilan serta ahli Exco PKBM. - Kredit foto: FB Norazman Ab Samah

11
6
0
15
0

Copy Link: