Mahu fokus takraw akar umbi negara dulu! Sumali belum bercita-cita untuk bertanding Presiden Istaf!
Published byABDUL Halim Kader (depan, tengah) bersalaman dengan Mohd. Sumali Reduan (depan, lima dari kiri) selepas majlis ringkas penyampaian sijil Jasamu Dikenang kepada pegawai-pegawai teknikal antarabangsa dan PSM di Bangi.
MAHU fokus dulu kepada pembangunan sepak takraw Malaysia terutama peringkat akar umbi.
Keutamaan ini tersemat
jitu pada minda dan jiwa Mohd. Sumali Reduan, jauh lebih tinggi daripada
ura-ura pencalonannya sebagai Presiden baharu Persekutuan Sepak Takraw
Antarabangsa (Istaf).
“Saya belum pergi ke arah
itu lagi walaupun nama saya disebut-sebut dalam perbincangan peringkat pucuk pimpinan
Istaf. Bukan bermakna saya yang menawar diri dan saya sendiri tidak pernah
menyatakan hasrat itu.
“(Pencalonannya) datang daripada orang lain. Belum masanya (jadi Presiden Istaf),” kata Presiden Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) ini dalam sidang media perkembangan terkini Piala Asia Sepak Takraw Astaf Kuala Lumpur dari 9 hingga 18 Mei 2025 di sebuah hotel di Bangi, Selangor pada 17 November 2024.
Istaf yang diilhamkan
pada 1988 sebelum dirasmikan penubuhannya di Bangkok tanggal 5 Mac 1992, hanya
diterajui warga Thailand, Charouck Arirachakaran sehingga bekas pegawai kanan
tentera itu meninggal dunia pada 21 Ogos 2023.
Ketika ini ahli perniagaan peralatan sukan Thailand, Boonchai Lorhpipat yang sebelumnya Timbalan Presiden I Istaf, memangku kerusi Nombor 1 itu mulai 4 Oktober 2023 menerusi mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif sempena Sukan Asia Hangzhou, China.
PUCUK kepemimpinan Istaf 2022-2026 (dari kiri), Fariq Halim, Boonchai Lorhpipat, Abdul Halim Kader dan Mohd. Sumali Reduan. - Kredit foto: PSM
Charouck juga terdahulu menewaskan pencabarnya, Karen Claire Tanchanco Caballero dari Filipina, 32 berbalas empat undi pada pemilihan Presiden Istaf penggal 2022/2026 dalam Kongres Istaf di Bangkok tanggal 29 Julai 2022.
Sumali yang juga Naib Presiden Istaf menambah, “terima kasihlah sokongan terbuka Datuk Abdul Halim Kader (Setiausaha Agung Istaf) dan negara-negara ahli gabungan seperti India dan Iran. Saya amat menghargainya.
KEJAYAAN PSM pimpinan Mohd. Sumali Reduan (empat dari kiri) menganjurkan Piala Dunia Sepak Takraw Istaf 2024 pada 18 hingga 26 Mei 2024 lalu, mendorong Istaf menauliahkan hak tuan rumah Piala Asia Sepak Takraw Astaf 2025 pula dari 9 hingga 18 Mei 2025. - Kredit foto: Astaf
“Masih lama (Kongres pemilihan Istaf penggal baharu 2026) dan ada hampir dua tahun lagi. Saya pun tidak bincang perkara ini dengan mendalam.
"Fokus saya kepada sepak takraw Malaysia. Landskap sepak takraw yang berubah sejak (kejayaan skuad negara meraih dua gelaran) Piala Dunia Istaf di Kuala Lumpur (18 hingga 26 Mei 2024 lalu) telah menyuntik semangat saya.
“Jawatannya (Presiden Istaf) besar dan memerlukan komitmen dan fokus. Sudah pasti sebagai Presiden baharu, kena buat banyak benda yang baharu dan penambahbaikan supaya sepak takraw lebih maju dan membawa kelainan yang orang mahu tengok malah sehingga berjaya memasuki Sukan Olimpik,” katanya.
ABDUL Halim (depan, lima dari kanan) dan Mohd. Sumali Reduan (depan, lima dari kiri) dan para pegawai kanan PSM serta pegawai teknikal antarabangsa lain menayangkan sijil penghargaan Jasamu Dikenang Astaf selepas sidang media pengumuman terkini Piala Asia Sepak Takraw Astaf 2025 di Bangi.
Halim yang juga Presiden Persekutuan Sepak Takraw Asia (Astaf) sementara itu, menegaskan, Istaf mempunyai proses terbuka untuk sesiapa yang mahu bertanding jawatan utama itu namun calon-calonnya masih perlu mempunyai kriteria tertentu seperti jujur, minat, komitmen, disiplin, telus, telah disaring bebas jenayah dan rasuah.
“Jika Sumali layak,
Istaf tidak teragak-agak membenarkannya jadi calon dan mendapatkan sokongan
rakan-rakan gabungan kami. Istaf pun tercari-cari calon yang mampu membantu
saya melobi sepak takraw masuk Olimpik.
“Mesyuarat agung luar biasa Istaf (memilih Presiden baharu) boleh diadakan sebelum penggal berakhir 2026, dalam masa terdekat ini.
"Setakat kerjasama saya dengannya, Sumali calon yang terbaik,” kata Halim yang lebih 40 tahun menceburi kepemimpinan Istaf dan Astaf. - KitaReporters
MOHD. Sumali (tiga dari kiri) menyampaikan sijil penghargaan Jasamu Dikenang Istaf-PSM kepada bekas Bendahari PSM, Datuk Salim Bari selepas sidang media di Bangi.