Video| Si kudung takluki dunia bola sepak! Pemain OKU pertama menang Puskas! Tuah di sebalik tragedi!
Published byJARINGAN Marcin Oleksy yang melayakkan dia memenangi anugerah Puskas pada malam Anugerah Terbaik FIFA 2022.
MARCIN Oleksy, 35, tidak mampu membendung air mata apabila namanya diumumkan sebagai pemenang Anugerah Puskas 2022 pada malam Anugerah Terbaik Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) di Paris, 27 Februari, 2023 lalu.
Buat seketika, dia kehilangan kata-kata kerana anugerah sehebat itu yang diberikan kepada jaringan gol tercantik dunia tidak pernah dimimpikannya apatah lagi dengan statusnya sebagai orang kurang upaya (OKU).
Malah, dua belas tahun lalu, Oleksy menganggap impiannya untuk bergelar pemain bola sepak sudah berkubur selepas dia kehilangan kaki kirinya akibat kemalangan jalan raya.
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan Anugerah Puskas
OLEKSY mencipta sejarah sebagai pemain OKU pertama memenangi Anugerah Puskas.
Mengimbau tragedi pada 20 November, 2010 itu, Oleksy yang berusia 23 tahun ketika itu dan bekerja sebagai buruh, sedang pada peringkat akhir menyiapkan tugasan di sebatang jalan raya apabila sebuah kenderaan tiba-tiba terbabas dan merempuhnya.
“Pada ketika itu saya tidak berasa sakit, cuma takut sama ada saya akan terus hidup atau mati,” imbas Oleksy. “Saya masih sedar ketika ambulans tiba. Saya tidak sedarkan diri semasa dalam perjalanan ke hospital.
“Kemudian, saya tersedar selepas pembedahan. Ketika itulah saya tahu apa yang sudah berlaku, saya lihat kaki kiri saya sudah dipotong. Saya tidak sedih kerana apa yang lebih penting kepada saya adalah nyawa. Saya mahu terus hidup walaupun tanpa sebelah kaki.
“Keluarga saya yang datang menziarah, semua menangis. Tapi, saya mampu mengubah suasana sedih itu kepada ceria dengan membuat jenaka. Mereka mula ketawa dan saya fikir ia mampu membantu semua orang untuk menerima keadaan saya,” kata Oleksy.
WALAUPUN cacat, namun Oleksy mampu melakukan jaringan luar biasa.
Walau bagaimanapun, Oleksy mengakui bahawa kehidupan selepas keluar dari hospital sangat mencabar apatah lagi pasangannya, Ewelina, ketika itu sedang hamil anak sulung mereka.
“Bila keluar dari hospital, saya terpaksa menggunakan kerusi roda. Pada peringkat awal, ia benar-benar situasi yang sukar kerana semua tanggungjawab perlu ditanggung oleh Ewelina.
“Dia sedang mengandung dan saya rasa seperti seorang lagi bayi yang perlu diuruskannya. Dia tidak mempunyai masa untuk diri sendiri kerana menguruskan saya. Tapi, saya sangat bertuah kerana memiliki Ewelina dan sangat menghargai pengorbananya,” ujarnya.
Oleksy berkerusi roda selama dua tahun sebelum mula berjalan menggunakan tongkat tapi hanya pada 2019, kembali ke padang bola walaupun sedar impiannya untuk mengikut jejak penjaga gol idolanya, Iker Casillas sudah berakhir ekoran tragedi yang berlaku.
Sebelum kemalangan itu, Oleksy merupakan penjaga gol kelab Korona Kozuchow yang beraksi pada Divisyen 4, Liga Poland dan mempunyai prospek untuk beraksi di peringkat lebih tinggi.
“Sebelum kemalangan, saya sentiasa berangan-angan, bila saya ada anak, saya mahu bermain bola bersamanya. Kali pertama saya menyepak bola selepas kemalangan adalah bersama anak saya, Tomazs dan ia membuatkan saya benar-benar gembira.
“Ia juga merupakan satu titik perubahan apabila saya mula berlatih dan akhirnya membabitkan diri dengan pasukan bola sepak orang kudung,” katanya.
Oleksy menyertai kelab Warta Poznan, namun berubah posisi daripada penjaga gol kepada penyerang. Pengalaman serta prestasi luar biasanya menyaksikan dia dipilih menyertai skuad Poland ke Piala Dunia Orang Kudung 2022 dan pasukannya mara ke pusingan 16 terbaik sebelum disingkir oleh Brazil.
Pada 27 Februari, 2023, Oleksy mencipta sejarah sebagai pemain OKU pertama dinobatkan sebagai pemenang anugerah Puskas yang sebelum itu didominasi pemain normal dan bintang-bintang utama dunia. Malah, pada kali ini, dia disaingi oleh dua pemain terkemuka, Richarlison dari Brazil dan bintang Perancis, Dimitri Payet.
Walaupun beraksi hanya dengan sebelah kaki, namun kemampuan Oleksy melakukan jaringan akrobatik ketika Warta Poznan menentang Stal Rzeszow pada Liga Orang Kudung Poland, 6 November, 2022 lalu membawa pemain itu ke pentas FIFA di Paris untuk menerima anugerah itu.
Jaringan dilakukan Oleksy benar-benar luar biasa dan memang selayaknya memenangi anugerah itu. Ia turut menjadi tular serta mendapat pujian bintang-bintang bola sepak dunia seperti pemain antarabangsa Poland, Robert Lewandoski.
Apa yang mengagumkan adalah keupayaan Oleksy menjaringkan gol secara akrobatik. Ketika rakan sepasukannya, Dawid Novak membuat hantaran, Oleksy menahan tongkat di atas padang lalu melayangkan badan ke udara sambil melakukan sepakan yang menjunam ke penjuru gawang lawan.
“Saya harap dunia dapat lihat bahawa kami lakukan apa yang kami sukai. Saya sangat gembira untuk sukan ini. Saya rasa bukan saya sahaja yang menjaringkan gol tapi keseluruhan pemain kudung menjaringkan gol bersama-sama,” katanya.
Oleksy yang tinggal di sebuah pekan kecil di Lugi yang terletak antara bandar Poznan dan Wroclaw, tidak jauh dari kampung kelahirannya, Nowa Sol kini menjalani kehidupan bahagia bersama isteri, Ewelina serta dua anaknya, Tomazs, 12, dan Antonina, 5.
Dia masih bekerja dengan syarikat pembinaan, bangun pukul 5 pagi setiap hari untuk mencari rezeki, pulang pada pukul 3 petang dan berlatih bola sepak tiga kali seminggu. - KitaReporters
OLEKSY menerima saingan dua pemain terkemuka, Richarlison dari Brazil dan bintang Perancis, Dimitri Payet untuk Anugerah Puskas.