Video| Nadeera tampilkan Emas! Penjenamaan semula! Kelahiran semula! Lebih cantik! Lebih tersusun!
Published byKIRI: Wajah Nadeera sekarang, sementara di tengah penampilan Nadeera pada Big Stage ketika menitiskan air mata apabila wajahnya dikecam oleh netizen dan kanan sekali semasa diumumkan sebagai Juara Big Stage.
Penyanyi dalam angkatan baharu ini, Nadeera Zaini, 30, pernah dilabel netizen tidak mempunyai paras wajah yang cantik malah membandingkannya dengan rupa haiwan haram namun tidak dinafikan vokalnya yang mantap mengetepikan segala kritikan sehingga dinobatkan sebagai juara pada program nyanyian realiti, ‘Big Stage’ musim kelima.
Ketika itu, kata-kata semangat yang dilontarkan oleh juri profesional, Ajai, “saya rasa nak babab (pukul) siapa yang cakap awak tak cantik. Jangan sesekali merendahkan diri kita. Setiap yang diberi Allah itu ada kelebihannya’ membuatkan Nadeera menitiskan air mata.
Itu pada awal Julai 2023 dahulu, Terbaharu, setelah hampir dua bulan berlalu sejak memegang gelaran Juara Big Stage, Nadeera kembali dengan penjenamaan baharu bukan sahaja pada penampilannya malah pada kerjayanya sebagai penyanyi bagi mengukuhkan lagi perjalanan dalam bidang seni tempatan dan antarabangsa.
“Penjenamaan semula ini juga bersesuaian dengan kewujudan syarikat pengurusan yang mengatur perjalanan seni saya, Woodwind Records. Merupakan sebuah syarikat pengurusan baharu yang bakal tampil dengan pelbagai idea segar serta bakal mengelola kerjaya muzik bakat-bakat berpotensi, Woodwind Records mempunyai pelbagai perancangan untuk merencana perjalanan saya dalam bidang muzik,” katanya.
Kini, gadis yang berasal dari Johor ini tampil dengan naskhah baharu berjudul 'Emas', selari dengan perjalanan baharu yang dihadapi selepas memenangi pertandingan Big Stage.
Ia bercerita mengenai semangat dan kebangkitannya yang mahu dikenali dengan nama Nadeera sahaja dan bukan dikenali dengan nama Nadeera Zaini, Farah Nadeera mahu pun nama-nama lain seperti Nadeera Mentor Legend, Nadeera Lagu Cinta Kita atau Nadeera Big Stage.
Terdahulu, pemilik bernama penuh Farah Nadeera Zaini ini pernah bergelar Juara Lagu Cinta Kinta 2 (2021) dan Juara Mingguan All Together Now Malaysia 2 (2023) mahu pun sebagai Finalis Vokal Bukan Sekadar Rupa 2 (2012) dan Finalis Mentor Legend pada 2014.
“Setelah berbincang dengan pihak pengurusan serta bertanya pendapat dengan mereka yang profesional, saya kini hanya mahu dikenali dengan satu nama sahaja iaitu Nadeera,
"Saya juga mempunyai perancangan jangka masa panjang untuk melebarkan sayap sekitar Nusantara serta ke peringkat antarabangsa, jadi penjenamaan ini tepat sebagai ‘kelahiran’ semula Nadeera,” ujar beliau.
Mahu lari daripada kebiasaan single sebelum ini yang bertemakan cinta, Nadeera menampilkan tema kebangkitan dan semangat menerusi ‘Emas’ melalui khidmat Omar K, Iqie Hugh dan Firdaus Rahmat selaku komposer manakala liriknya juga merupakan nukilan mereka bertiga bersama penyanyi Datin Alyah.
“Saya akui, saya bagai ‘dilahirkan’ semula selepas menjuarai Big Stage. Sekali lagi, saya diberi peluang untuk menyerlahkan bakat dan kali ini, saya enggan sia-siakan perjalanan yang baharu sahaja bermula. Saya enggan leka dan tak mahu nama kembali ‘suam’, jadi saya mencari sesuatu seperti 'Emas' untuk diketengahkan,” tambah Nadeera.
Menurutnya, perjalanan single 'Emas' agak berliku dan tidak semudah yang disangka waima beliau mahu sesuatu yang berbeza agar dapat meninggalkan impak bermakna untuk peminat yang menantikannya.
“Emas menampilkan isi hati saya yang benar-benar berharap untuk bersinar dalam industri muzik selepas melalui fasa jatuh bangun sejak tahun 2012. Platform yang saya ada kali ini dianggap sebagai peluang berharga untuk saya menyerlahkan bakat,” sambungnya sambil berharap ia dapat diterima ramai," katanya lagi.
Bercerita mengenai pengalaman ketika merakamkan lagu Emas, Nadeera mengambil masa sembilan jam di studio rakaman untuk menyempurnakan karya tersebut. Kenapa lama sangat tu Nadeera?
“Memandangkan lagu ini mempunyai makna tersendiri dan sangat melekat dalam hati saya, saya mengambil masa sedikit untuk mendapatkan penjiwaan sebenar.
“Saya mahu benar-benar berpuas hati dan menceritakan maksud sebenar lagu ini ketika proses rakaman dijalankan. Saya dan pihak pengurusan mahu sampaikan roh dan jiwa pada lagu 'Emas' apatah lagi naskhah ini sangat dekat dengan diri saya,” akhirinya puas. - KitaReporters