Anugerah Panglima Setia Mahkota (PSM) membawa gelaran 'Tan Sri' adalah pencapaian yang diharap diterima oleh individu dalam bidang masing-masing bagi memperlihat jasa dalam bidang yang diceburi.

Alhamdulillah maestro muzik negara Ahmad Nawab menerima anuugerah Tan Sri  ketika hayat masih ada iaitu pada usia 91 tahun. Dia lahir pada 6 April 1932.


Ahmad Nawab ketika menerima menerima anugerah Tan Sri daripada Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada Isnin, 5 Jun 2023. - Kredit foto: BERNAMA

Ahmad Nawab atau nama sebenarnya Ahmad Khan Nawab Khan, menerima anugerah itu daripada Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada Isnin, 5 Jun 2023.

Sudah lama sepatutnya Ahmad Nawab menerima anugerah tingkat atasan negara itu. Dia merupakan insan seni kelima menerima anugerah Tan Sri selepas P Ramlee, Jins Shamsudin, Ahmad Othman Merican dan Michelle Yeoh.

Ahmad Nawab sepatutnya menjadi penerima keempat iaitu selepas P Ramlee (1990),  Ahmad Othman Merican (1998) dan Jins Shamsudin (2007) iaitu sebelum  Michelle Yeoh (2013).



Dia sudah menerima pelbagai anugerah bagi membolehkan menerima anugerah Tan Sri lebih awal iaitu sebelum tahun 2010.

Dia telah  menerima anugerah Datuk Seri dan Datuk. Pernah menerima anugerah doktor falsafah (PhD) dalam Penulisan Kehormat dari Universiti Putra Malaysia (UPM) pada 2000. 

Ahmad Nawab juga penerima Anugerah Seniman Negara ke-7 pada 2006.



Ada yang berpendapat Ahmad Nawab setaraf seniman agung P Ramlee untuk diberi anugerah Tan Sri. P Ramlee berjaya dalam dua bidang iaitu lakonan dan pemuzik. 

Namun Ahmad Nawab lebih menonjol dalam bidang muzik dengan berjaya mencipta dan membuat susunan muzik ratusan lagu dan melahirkan ramai artis rakaman.

Walaupun mempunyai tubuh tinggi lampai dan tampan seperti pelakon namun Ahmad Nawab kurang berminat dalam bidang lakonan.

Dia pernah ditawar berlakon dalam sebuah filem iaitu ‘Kisah Seorang Biduan' pada pertengahan 1980-an.

Ahmad Nawab juga pernah membuat album nyanyian solo berjudul ‘Gerimis Senja’ (1981) dan ‘Ku Sayang Padamu’  (1983). Dia juga pernah berduet dengan beberapa penyanyi seperti Zu Ghairi dan Noreen Noor. 

Namun Ahmad Nawab lebih bersinar sebagai komposer, penyusun muzik dan melahirkan penyanyi. 

Datuk Jamal Abdillah, Uji Rashid, Hail Amir dan Ramlah Ram adalah antara penyanyi bimbingannya. Datuk Sharifah Aini dan bintang Indonesia Broery Marantika juga pernah menyanyi lagu-lagu ciptaan dan gubahannya.



P Ramlee menerima gelaran Tan Sri pada 1990 iaitu sembilan tahun selepas kematiannya.

Ahmad Nawab dan P Ramlee sama-sama anak Pulau Pinang. Pernah bersekolah bersama tetapi di kelas berasingan di Penang Free School. Namun kedua-duanya tidak pernah bertemu ketika bersekolah.

Belajar muzik sejak berusia 16 tahun  dengan guru pertamanya ialah ayahnya sendiri. 

Mula mencipta lagu pada tahun 1950-an, Lagu pertama ciptaannya ‘Bintang Malam’ pertama kali dirakam oleh Zaharah Agus di Singapura dengan jodol ‘Keindahan Bintang Malam’. 



Ahmad Nawab mula terlibat dalam bidang muzik secara profesional apabila diterima menjadi anggota awal Orkes Radio Malayia (kini Orkestra RTM) pimpinan Alfonso Soliano. Dia menjadi pemain saksofon pada awal tahun 1960-an. Dia menjadi anggota Orkestra RTM kira-kira 17 tahun.

Dalam masa yang sama dia cuba mencari kesempatan bagi memperlihat kemampuannya mencipta lagu dan membuat skor muzik untuk beberapa filem tempatan terbitan Studio Merdeka Production (SMP) bermula dengan filem ‘Si Tora Harimau Jadian’  pada awal 1960-an.

Tuahnya bermula apabila beberapa lagu ciptaannya dimuatkan dalam beberapa filem arahan P Ramlee pada pertengahan 1960-an. Antaranya ‘Do Re Mi’, ‘Nasib Do Re Mi’ dan ‘Masam Masam Manis’.

Lagu ciptaan pertamanya ‘Bintang Malam’ dimuatkan dalam filem ‘Do Re Mi’ arahan P Ramlee dan dinyanyikan oleh Saloma.


Ahmad Nawab menjalin hubungan baik dengan P Ramlee

Nama Ahmad Nawab sebagai pencipta mula menonjol apabila mejadi pencipta lagu dan penerbit album bagi juara Bintang RTM 1979, Datuk Jamal Abdillah berjudul  ‘Perpisahan Tanpa Rela’ pada 1980-an dan terus menerbitkan album dan mencipta lagu bagi penyanyi-penyanyi di bawah syarikatnya Nawab Production dan beberapa artis di bawah EMI Music dan WEA. Antaranya Uji Rashid, Hail Amir dan Ramlah Ram.

Industri muzik tanah air kini menempuh alam baharu dengan kemunculan pelbagai rentak dan jenis muzik. Enggan bersaing dengan rentak dan jenis muzik moden membuat Ahmad Nawab enggan bersaing dan hanya menjadi pemerhati.

Ahmad Nawab mendakwa mempunyai sejumlah lagu ciptaannya dan hanya memberi kepada penyanyi yang sesuai.

Ketika hayat masih ada, tidak mustahil Ahmad Nawab akan kembali memberi lagu-lagu ciptaannya untuk penyanyi kesayangannya seperti Datuk Jamal Abdillah dan Ramlah Ram. - KitaReporters


15
21
0
8
0

Copy Link: