Gara-gara kemaruk cinta! Pemuda kena kikis! Jual peralatan perabot, atap rumah emak sendiri!
Published byGambar hiasan... Perkhidmatan ojek atau teksi motosikal popular di Indonesia. - Kredit foto: EkonomiBisnes.com
MENCINTAI seseorang sama ada gadis ataupun jejaka adalah lumrah kehidupan tetapi ia janganlah sampai keterlaluan sehingga sanggup berkorban apa saja serta menjualkan harta benda demi untuk meyakinkan hati insan yang dikasihi itu.
Dalam hal ini, ia terjadi kepada seorang pemandu ojek (teksi motosikal) online (ojol) berusia 24 tahun di Padukuhan Paten, Kalurahan Srihardono, Kapanewon Pundong, Kabupaten Bantul di Yogyakarta, Jawa baru-baru ini.
Gara-gara mabuk cinta terhadap seorang gadis, pemuda terbabit yang bernama DRS telah menyebabkan dia sanggup habis wang ringgit untuk gadis indaman hatinya yang hanya baru dikenali beberapa bulan lalu.
Malah pemuda tersebut sanggup pula menjual peralatan perabot termasuk kerusi meja, katil dan almari milik ibunya yang berada di rumahnya.
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan percintaan
SEBAHAGIAN atap rumah Paliyem di Paten, Srihardono telah dicabut oleh DRS untuk dijual tetapi tidak berhasil kerana Paliyem sempat balik ke rumahnya. - Kredit foto: Suara.com
Kesemua barangan tersebut bernilai Rp43 juta (kira-kira RM12,600) yang dibeli daripada hasil titik peluh ibu bapanya dan apa yang menyedihkan barangan berkenaan dijual dengan harga begitu murah supaya ia mudah dibeli oleh orang lain.
DRS yang sudah kematian bapanya pada tahun 2020 lalu mengaku dia terpaksa berbuat demikian untuk mendapatkan wang secara mudah bagi perbelanjaannya dan kekasihnya yang tinggal di Giwangan, Kota Yogyakarta.
Kisah cinta pemuda terbabit rela menghambakan dirinya disebabkan gadis kesayangannya dipetik dalam laporan Suara.com pada 19 November 2021 lalu menceritakan, DRS menjual barangan perabot itu kerana ibunya, Paliyem, tiada di rumah kerana bekerja sebagai pembantu rumah dan tinggal bersama majikannya di luar kawasan itu.
Bukan setakat itu sahaja, setelah habis semua barangan perabot dijual, DRS tergamak juga menjual genting atap rumah untuk perbelanjaan dirinya bersama kekasihnya.
PALIYEM (berbaju hitam) begitu sedih melihat atap rumahnya sebahagiannya sudah tiada kerana dicabut oleh anaknya DRS di rumahnya manakala seorang pegawai polis sedang menyiasat kes tersebut. - Kredit foto : SorotBantu
Namun hasrat jahatnya itu gagal dan tidak kesampaian kerana ibunya yang berumur 53 tahun sempat pulang ke rumahnya setelah diberitahu oleh jiran tetangga.
Jiran tetangganya menghubungi ibunya kerana tidak tahan dengan perangai DRS, anak tunggal Paliyem, yang sebelum ini asyik menjual peralatan perabot tanpa belas kasihan terhadap orang tuanya.
Sebaik Paliyem pulang ke rumahnya pada 7 November 2021 lalu, wanita itu amat terkejut kerana anak kesayangannya bukan sahaja menjual barangan perabot yang masih elok itu akibat kemarut dengan cintanya terhadap gadis pujaannya.
Tetapi DRS juga sanggup mencabut genting atap rumahnya yang dia sendiri tinggal di rumah itu untuk dijual dengan harga yang murah kepada seorang penduduk setempat.
Berikut dengan perbuatan DRS yang dianggap sudah keterlaluan kerana terjerat dengan cinta gadis itu, ibunya telah melaporkan kejadian tersebut kepada polis.
Ketua Polis Daerah Pundong, Ipda Heru Pracoyo berkata, pihaknya telah menangkap DRS dan perbuatan pelaku itu akan disabitkan dengan kesalahan Pasal 367 Kitab Undang-Undang Hukum Pidana (KUHP) Tentang Kecurian Dalam Keluarga.
Menurutnya, jika disabitkan dengan kesalahan tersebut DRS boleh dikenakan hukuman penjara lima tahun.
‘’Dalam kes ini, pelaku dilihat begitu kemaruk dengan cinta, kasih dan sayang terhadap gadis itu kerana dia bukan sahaja sanggup menjual harta benda orang tuanya secara satu persatu (tidak sekali gus) sejak Oktober 2021 lalu kepada beberapa warga di situ yang jumlah kesemuanya Rp24 juta (RM7,000.).
‘’Tetapi DRS sanggup lagi memberi sebuah motosikalnya yang diguna setiap hari kepada gadis itu,’’ katanya.
Hebatnya sang gadis itu memikat, menggoda dan memujuk hati DRS yang tidak berharta sehingga dia sanggup menghabiskan harta benda ibunya selain berdepan dengan hukuman penjara. - KitaReporters
KEADAAN rumah Paliyem yang atap rumahnya sudah dicabut oleh anaknya sendiri untuk dijual. - Kredit foto: SorotBantu