Gambar hiasan... Perlis benarkan solat jemaah di masjid seluruh negeri bermula 1 Julai 2021. - Kredit foto: FB Masjid Alwi, Kangar


PERLIS membenarkan aktiviti solat jemaah di masjid seluruh negeri berkenaan bermula 1 Julai 2021 ekoran penularan kes Covid-19 yang semakin menurun dan terkawal.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, aktiviti imarah masjid tersebut bagaimanapun tertakluk dengan kapasiti maksimum mengikut saiz sesebuah masjid.

"Kebenaran ini hanya terpakai di masjid seluruh Perlis sahaja manakala sebarang aktiviti di surau masih kekal ditangguhkan.

"Kehadiran jemaah di masjid dibolehkan dengan kapasiti maksimum mengikut saiz masjid bermula solat Subuh 1 Julai 2021 sehingga tempoh baharu arahan terkini yang mungkin dikeluarkan.

"Keputusan demikian selepas mendapat perkenan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail berdasarkan situasi semasa penularan Covid-19 di Perlis yang dilihat kian terkawal serta pematuhan prosedur operasi standard  sedia ada oleh masyarakat," titah baginda seperti dilaporkan Utusan Malaysia, 30 Jun 2021.

Baginda yang juga Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) bertitah, jemaah yang hadir hendaklah sentiasa patuhi SOP keselamatan dan kesihatan antaranya dengan memakai pelitup muka.

"Jemaah digalakkan memakai dua pelitup muka serta ditambah baik dengan pemakaian bersama pelindung muka (face shield). Penjarakan fizikal  sekurang-kurangnya dua meter pada setiap masa.

"Selain itu, jemaah juga perlu bawa sejadah sendiri bersaiz standard, ambil wuduk sebelum ke masjid dan tidak laksanakan sebarang kontak fizikal, perlu imbas suhu badan dan imbas aplikasi MySejahtera atau daftar pada buku disediakan,” titah baginda.

Titah baginda lagi, jemaah juga hendak terdiri dalam kalangan anak kariah yang berusia antara 12 hingga 59 tahun dan bagi individu berusia 60 tahun ke atas, adalah dibenarkan dengan syarat  telah lengkap dua dos suntikan vaksin Covid-19. - KitaReporters


Lagi berita-berita terkini dalam KitaReporter


0
0
0
0
0

Copy Link: