Jom kongsi! Mampu membaca seawal usia 4 tahun! Absha Atiah kongsi tip didik anak! Amad dan Hana!
Published byMuhammad 'Afif Rayyan dan adiknya, Nur Hana Afrina fasih membaca Al-Quran dan lancar membaca buku ketika masih kecil. - Kredit foto: Koleksi Peribadi Absha Atiah Abu Bakar
Melihat perkembangan luar biasa Muhammad ‘Afif Rayyan, 7, dan adiknya, Nur Hana Afrina, 4, anak seorang kenalan yang menetap di bumi Jubail, Arab Saudi, saya jadi sangat teruja.
Apa tidaknya, pada usia masih kecil mereka yang mesra dipanggil Amad dan Hana sudah fasih membaca buku dan menghafaz ayat-ayat suci Al-Quran selain aktif mengikuti pelbagai program online yang diadakan di Malaysia.
Malah, setiap kali status tentang aktiviti mereka berdua dimuat naik dalam laman Facebook ibu mereka, Absha Atiah Abu Bakar pasti ramai yang memberikan komen dan reaksi suka.
Lagi cerita-cerita menarik
Gelagat Amad dan Hana ketika menyertai program seni dan kraf secara online di Malaysia.
“Masya-Allah. Bijak dan comel sungguh Amad dan Hana."
“Sejuk mata, sejuk hati melihat mereka.”
“Moga membesar menjadi anak soleh dan solehah buat anakanda berdua.”
Itu antara komen yang diberikan oleh sahabat-sahabat di alam maya. Sungguh, anak-anak itu fitrahnya dilahirkan suci dan bersih daripada sebarang dosa. Ibu bapalah yang perlu memainkan peranan mendidik mereka.
Namun, bukan semua ibu bapa berjaya melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan Allah dengan sebaik-baiknya.
Bertanyakan hal itu kepada umi kepada anak-anak syurga tersebut, wanita kelahiran Temerloh, Pahang ini berkata, tiada pendekatan spesifik yang digunakan dalam mendidik anak-anaknya.
Perkembangan setiap anak-anak akan diabadikan Absha melalui lensa kamera sebagai kenangan buat mereka. Gambar menunjukkan Amad mengikuti kelas Al-Quran secara online.
“Cuma, sejak bergelar suri rumah sepenuh masa selepas permohonan cuti tanpa gaji saya diluluskan pada tahun 2019, saya melakukan beberapa rombakan dalam rutin harian keluarga, iaitu bermula dari sebelum subuh hingga waktu tidur.
“Saya cuba untuk praktikkan tip didik anak mengikut gaya Nabi SAW sebagaimana yang banyak dikongsikan dalam buku-buku keibubapaan (parenting). Jadi, banyak perkara yang saya ubah kepada back to sunnah, iaitu dengan menghidupkan bi’ah Islamiyyah di dalam rumah.
"Alhamdulillah, suami memberikan kerjasama dan anak-anak dapat menyesuaikan diri,” jelas Absha yang merupakan seorang guru merangkap penulis.
Tambahnya, dari sudut pembelajaran, beliau banyak lakukan aktiviti homeschool dengan anak-anak, lebih-lebih lagi mereka belum bersekolah.
“Jadi, 24 jam berada di dalam rumah, memang padat dengan pelbagai aktiviti fun learning bersama mereka. Ini termasuklah menyertai program Kaedah Membaca Ekpres-i Channel yang mula bersiaran dalam FB Page sejak lockdown diumumkan diMalaysia.
"Tambahan pula, anak-anak telah pun diperkenalkan dengan kaedah ini membuatkan mereka mudah untuk serasi,” ujarnya.
Amad dan Hana sentiasa bersemangat dalam menyiapkan apa juga tugasan dalam program yang mereka sertai.
Menurut Absha, beliau mula mengenali Bonda Nor selaku pengasas kaedah tersebut ketika menghadiri satu seminar penulisan pada tahun 2018.“Setahun selepas itu, ditakdirkan suami saya ditugaskan ke Arab Saudi dan ketika itu saya perlu bersedia untuk bercuti daripada bekerja.
"Maka, sebelum saya mengikut suami terbang ke bumi Anbia’, saya persiapkan diri untuk belajar mengajar anak membaca melalui personal coaching bersama salah seorang speaker Ekspres-i, iaitu Cikgu Haryati Hamim.
“Saya fikir, membaca adalah kemahiran asas yang perlu saya dahulukan dalam mengajar anak-anak di rumah selepas didikan Al-Quran kerana ketika itu anak sulung saya masih keliru bentuk dan sebutan huruf.
“Dengan izin Allah, saya dan anak-anak turut sempat mengikuti beberapa siri bengkel yang diadakan. Alhamdulillah, kaedah ini banyak membantu dan berhasil kepada anak-anak saya hingga hari ini,” kongsi beliau.
Hana sudah mampu membaca seawal usia empat tahun.
Dalam pada itu, Absha memberitahu, beliau turut mengamalkan beberapa doa wajib yang dibaca banyak kali dalam sehari termasuk selepas solat, ketika memasak mahupun sewaktu anak-anak sedang bermain sebagai usaha mendidik mereka.
“Antaranya ialah Surah Luqman, ayat 16-17; Surah al-A’raf (ayat 23), Surah Ibrahim (ayat 40), Surah Ali-Imran (ayat 31) dan Surah Toha (ayat 39).
"Semua ini adalah doa yang boleh diamalkan oleh ibu bapa di luar sana untuk melahirkan anak-anak soleh dan solehah yang mampu menjadi penyejuk hati mereka.
“Sebagai manusia, doa juga adalah ikhtiar kita selain usaha dalam mendidik anak-anak yang diamanahkan Allah,” tutur Absha lanjut.
Hampir tiga tahun menetap di perantauan, wanita ini mengakui berdepan cabaran apabila melibatkan emosi anak-anak.“Ada ketika mereka rindu pada ahli keluarga di tanah air terutama Tok Mak, Tok Abah, Nenek, Tok Ayah serta ibu dan bapa saudara mereka.
"Ada ketika pula, mereka rindu pada rumah kediaman kami di Malaysia, barang mainan dan buku-buku bacaan khususnya dalam bahasa Melayu yang tiada di sini.
“Pernah anak saya menangis menahan rindu sehingga demam. Sejak itu, kami berusaha untuk kerap video call. Syukur, ada teknologi sebagai penghubung,” ungkapnya.
Keluarga bahagia yang menetap di Jubail, Arab Saudi ini sentiasa berhubung dengan sanak saudara di Malaysia selain memuat naik status rutin harian mereka dalam media sosial.
Sebagai wanita bergelar ibu, Absha mengakui dia juga bukanlah ibu yang sempurna kerana masih dalam fasa memerhati dan terus belajar memperbaiki kelemahan diri.
“Memang ramai ibu bapa berdepan situasi anak-anak bermasalah seperti sukar mendengar kata, melawan dan sebagainya. Namun, saya gemar mengambil pendekatan menjadi ibu yang lebih sabar dan tenang berhadapan ragam dan kerenah anak-anak.
“Apa yang boleh saya katakan, setiap anak itu berbeza. Masing-masing ada kelebihan tersendiri. Kita sebagai ibu bapa teruslah mencari ilmu, baik dari segi agama, keibubapaan dan sebagainya. Baca buku-buku parenting, rajinkan diri hadir majlis ilmu kerana sekarang, banyak perkongsian keibubapaan yang mudah untuk kita akses.
Sebagai ibu bapa, kita perlu mengenali fitrah dan personaliti anak-anak dalam usaha mendidik mereka menjadi anak yang soleh dan solehah.
“Cuba kenali fitrah dan personaliti anak-anak dan paling penting, kita baiki diri kita dahulu sebaik-baiknya, kerana anak itu adalah cermin. Kita nak anak soleh, kita soleh dulu. Kita nak anak solehah, kita juga kena solehah dulu.
"Apa yang kita lihat pada mereka, itulah diri kita sebenarnya. They imitate every single thing from us.
“Setelah usaha, kita serahkan segalanya kepada Allah. La haula wa laquwwata illa billah. Insya-Allah, semoga Allah bantu dan pandu kehidupan kitake arah yang diredhai-Nya,” jelas Absha menutup bicara.
Allahu Akbar. Tahniah buat Absha kerana sanggup mengorbankan kerjaya demi mengikut suami dan mendidik anak-anak hidup di perantauan.
Semoga Allah merahmati keluarga ini yang mampu memberi inspirasi buat khalayak di luar sana. - KitaReportersa