Video| Amir Masdi mahu kekal imej berambut panjang! Esok untuk motivasi diri, pujuk hati semua!
Published byImejnya yang berambut sedikit panjang melepasi bahu dirasakan bersesuaian dengan muzik genre ‘modern rock’ yang dibawa oleh Amir Masdi, 25, atau nama sebenarnya Amir Syazwan Masdi.
Populariti pelantun lagu ‘Asmara’ ini terus menjadi perhatian ramai apabila berjaya meletakkan dirinya pada pentas Anugerah Juara Lagu ke-35 (AJL35) tahun 2020 lalu melalui lagu ‘Kau Sakiti’ walaupun pada pembabitan awalnya beliau bergelar Juara Akademi Fantasia 2016.
Pendek kata, tiga singlenya terdahulu yang dihasilkan setiap tahun kurang mendapat sambutan sehinggalah ‘Kau Sakiti’ mampu mengangkatnya sebaris penyanyi popular yang berjaya ke pentas akhir AJL35.
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan Amir Masdi
Selain itu, seterusnya lagu ‘Asmara’ yang dijadikan lagu tema drama ‘Pengantin Lelaki Untuk Cik Gadis’, ditayangkan dalam slot Drama Vaganza saluran Astro Ria, melonjakkan nama Amir apabila muzik videonya berjaya menarik jumlah tontonan lebih dari 1.2 juta dalam YouTube,
“Ada yang tegur kerana ada perubahan ketara dan nampak lebih rock, Tetapi saya rasa selesa dengan imej ini dan inilah imej yang akan kekal malah ramai juga yang bersetuju, Cuma pada masa akan datang, tak pasti lagi, ” komen Amir Masdi mengenai imej berambut panjangnya itu.
Tidak mahu lari daripada imej dan genre 'rock moden’ yang menepati citarasanya, Amir muncul dengan buah tangan terbaharu, iaitu lagu ‘Esok’ hasil ciptaan bersama Shazee Ishak, Audi Mok dan Amir sendiri.
Terbitan syarikat rakaman Nova Music, ‘Esok’ lahir daripada idea Amir sendiri apabila melihat suasana suram dialami semua orang akibat pandemik COVID-19 yang berpanjangan.
“Saya mahu sampaikan sesuatu yang boleh memotivasikan diri dan memberi semangat kepada semua orang yang terkesan. Saya nak pujuk hati dan menenangkan mereka,” ujar Amir, menyerahkan tugasan menulis lirik kepada Shazee yang memahami kehendaknya.
Mengakui tidak begitu mahir dalam penulisan lirik lagu menjadi penyebab kenapa tugasan itu diserahkan kepada Shazee yang faham apa yang cuba disampaikannya.
“Lagu 'Esok' sudah disiapkan sejak awal tahun ini. Kebetulan saya juga ada beberapa lagu lain untuk dilancarkan sebagai single terbaharu.
"Ikut perancangan asal nak keluarkan lagu yang muziknya lebih ‘up beat’. Tapi selepas berbincang dengan pasukan, semua sepakat untuk lancarkan lagu 'Esok' dulu,” tambahnya.
Bagi Amir, genre muzik yang diketengahkan itu sudah menjadi ‘trademark’ muzik yang dibawa oleh beliau selain ia juga sudah dekat di hati peminatnya.
"Genre muzik ini saya tetapkan sebab berasa hala tuju muzik saya orang sudah mula kenal dan terima. Peminat sudah tahu saya penyanyi genre ini. Dalam masa sama, saya memang meminati genre sebegini.
“Kalau lagu berentak perlahan pun macam ‘slow ballad’, saya tambah elemen bersesuaian untuk menjadikan ia lebih ke arah ‘modern rock’. Macam lagu 'Esok' ini, pada asalnya nak piano saja, tapi apabila fikir balik ia tak berapa kuat dan menarik. Jadi saya kembali ke perancangan asal,” katanya.
Amir juga mengakui, pembabitannya pada pentas AJL 35 berjaya menonjolkan bakat nyanyian dimiliki.
“Bagi saya AJL membuatkan saya dapat peminat baru. Sejak itu juga, orang sudah mula mahu lebih mengenali siapa itu Amir Masdi. Diakui sejak dari dulu lagi saya sentiasa bekerja keras dalam kerjaya. Saya tanam diri tekad untuk tidak berasa selesa dengan apa yang dicapai.
“Sebagai contoh, sekalipun dah berjaya memasuki AJL, tidak bermakna saya perlu berehat kerana sudah berada di pentas itu.
"Sebaliknya, saya perlu terus berusaha dan tingkatkan lagi pencapaian di masa hadapan.Kalau boleh selepas ini saya berazam nak menang pula,” luah Amir nekad sambil berharap dapat majukan diri dalam kerjayanya agar terus bertahan dalam industri. - KitaReporters