Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim terus menyantuni insan seni yang menghadapi masalah kesihatan dan kewangan. 

Insan seni terbaharu yang disantuni adalah bintang veteran, Datuk Sarimah Ahmad, 82, dan Dharma Harun Al-Rashid, 68.

Menyantuni insan seni menerusi program Ziarah Madani ini dimuatkan dalam Facebook @AnwarIbrahim pada Khamis, 15 Februari 2024 lalu.

Seperti biasa sumbangan disampaikan oleh melalui Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Ahmad Farhan Fauzi yang mengadakan kunjungan kedua-dua insan seni itu di Subang Jaya dan Wangsa Maju pada Khamis, 15 Februari 2024.


Sarimah Ahmad terharu terima santunan Perdana Menteri. - Kredit foto: FB AnwarIbrahim

Sarimah yang lahir pada  28 April 1942, mengalami kanser usus tahap tiga sejak 2022. Kini dia pulih daripada penyakit itu selepas menjalani pembedahan yang menelan belanja sekitar RM60,000 dengan menggunakan simpanannya. 

Namun dia perlukan kewangan yang mencukupi dalam  engamalkan pemakanan berkhasiat dan organik demi mengekalkan kesihatan diri.

Sebelum ini pada 2011, Sarimah menghidap kanser hidung, namun berjaya dipulihkan.



Sarimah adalah antara primadona filem Melayu yang mempunyai kecantikan luar biasa.

Sarimah mengamalkan petua kecantikan tradisional sejak remaja menyebabkan masih mempunyai paras menarik pada usia 70-an seperti baru berusia 50-an. 

Bermula dari filem ‘Ali Baba Bujang Lapok’ dengan membawa watak Marjina pada 1961 sehingga terakhir ‘Momok The Movie’ pada 2009, Sarimah sudah berlakon dalam 43 buah filem.

Kerana wajahnya yang menawan Sarimah menjadi rebutan untuk diberi peranan heroin oleh pengarah-pengarah Malay Film Production (MFP).

Pada tahun 1980-an Sarimah maju sebagai produser filem dengan menerbitkan beberapa filem seperti ‘Ranjau Sepanjang Jalan’, ‘Dia Ibuku’ ,‘Jejak Bertapak’,  ‘Warna Warna Hati’ dan ‘Sepi Itu Indah’.

Namun Sarimah lebih dikenali apabila membintangi filem arahan dan lakonan bersama P Ramlee. Antaranya ‘Ali Baba Bujang Lapok’, ‘Ibu Mertuaku’, ‘Madu Tiga’, ‘Tiga Abdul’, ‘Dr Rushdi’ dan ‘Gelora’.

Namun atas sebab-sebab tertentu penglibatan sebagai produser filem terpaksa dihentikan dan kemudian bergiat dalam perniagaan jamu.

Dia kini menghabiskan hari-hari tuanya dengan tinggal bersama salah seorang daripada empat anaknya dan cucu-cucunya di Subang Jaya, Selangor.


Dharma terharu terima sumbangan dan ditenangkan oleh Ahmad Farhan Fauzi.

Sementara itu, Dharma Harun Al-Rashid diperkenal sebagai pelakon melalui filem ‘Adik Manja’ arahan Othman Hafsham.

Kesihatan Dharma Harun yang lahir pada 25 Mac 1957, merosot sejak empat tahun lalu (2019) setelah diserang angin ahmar dan masih mengalami beberapa kesan sampingan seperti kesukaran bertutur dan mengingati sesuatu termasuk menghidap asma.

Ia menyebabkan Dharma terpaksa bersara daripada berlakon dan mengarah drama kerana dia juga menghadapi kesukaran berdiri lama dan pinggang juga sudah tidak kuat.

Katanya, produser seperti Datuk Yusof Haslam dan Richard Ung pernah memberi peluang berlakon namun terpaksa ditolak atas masalah kesihatan.

Dharma juga pernah menghasilkan 11 lagu dengan pernah berduet dengan Noreen Noor dan Rohana Jalil.

Dia kini tinggal di Wangsa Maju, Kuala Lumpur bersama dua anak, Siti Qurratu Aini, 36, dan Muhammad Al-Syafiq Mohamad Azman, 35, yang kini melanjutkan pengajian di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA). 

Dharma berlakon dalam 15 filem bermula dengan filem ‘Adik Manja’ (1980) terbitan Merdeka Film sehingga filem ‘Adik Manja: The Return (2012)  arahan dan terbitannya sendiri.



Kedua-dua insan seni veteran ini terharu dan mengucap terima kasih kepada Perdana Menteri atas keprihatinannya.

Perdana Menteri telah memberi santunan kepada beberapa insan seni sejak 2023. Antara insan seni yang telah disantuni ialah Sazali P Ramlee, Zaiton Sameon, Mak Jah, Ibnor Riza, Fauziah Samad, Jalil Hamid dan Shima.

Program Ziarah Madani untuk insan seni ini dirancang berterusan bagi membantu mereka yang sudah tidak aktif dalam bidang seni dan punya masalah kesihatan dan hilang punca rezeki. - KitaReporters


 
7
10
0
12
0

Copy Link: