Apabila disebut nama Mat Rasip Yahya, mungkin ramai yang tidak kenal siapa insan seni yang bakal berusia 90 tahun pada 16 Julai 2023 ini. 

Namun apabila nama Mat Sentol disebut, ramai peminat seni tanah air yang kenal insan seni yang lahir pada 16 Julai 1933 di Muar, Johor ini.

Terutama bagi mereka yang biasa menonton lakonan dan arahannya serta lagu-lagu nyanyian dan ciptaannya dalam filem baik dalam TV atau saluran YouTube.

Namun tidak kurang peminat seni yang menyangka insan seni unik ini sudah meninggal dunia.



Ini kerana insan seni super veteran ini sudah kurang diberi liputan media. 

Kali terakhir Mat Sentol menerima anugerah adalah pada Festival Filem Malaysia (FFM) 2022 sebagai Seniman Sepanjang Zaman. Namun insan seni yang sudah berkerusi roda itu hanya diwakili anaknya untuk menerima anugerah.

Memberi anugerah kepada insan seni berjasa eloklah diberi ketika dia masih hidup.


Terdapat sejumlah insan seni diberi anugerah ketika ajal sudah menjemput. Antaranya P Ramlee. 

Walaupun dia menerima pingat Ahli Mangku Negara (AMN) pada 1962. Namun dia menerima anugerah Tan Sri pada 6 Jun 1990 ketika sudah 11 tahun dijemput Ilahi.

Dalam keadaan Mat Sentol sudah semakin hampir dijemput Illahi amat wajar bagi persatuan-persatuan artis mencadangkan nama Mat Sentol kepada pihak jawatankuasa pemilihan setiap negeri untuk mencadangkan Mat Sentol diberi gelaran Datuk atau Datuk Seri.



Mat Sentol asalnya seorang pelukis dan mencuba bidang lakonan bermula dengan Malay Film Production (MFP)  dengan sebagai pelakon tambahan (penari Istana Pahang)) dalam filem ‘Hang Tuah’ pada 1956. 

Nama Mat Sentol mula dipakai apabila memegang watak Sentol dalam filem keduanya ‘Sumpah Pontianak’ pada 1958. 

Sentol diambil daripada nama pokok/buah Sentol dan nama itu melekat dan membuat dia popular. 

Ketika berlakon dalam filem-filem Malay Film Production (MFP) Mat Sentol kurang menonjol. Ini membuat dia berhijrah ke Cathay-Keris Film Production juga di Singapura. Dan ternyata dia berpeluang menonjolkan bakatnya sama ada sebagai pelakon/pelawak, pencipta lagu, penyanyi, pengarah dan pereka seni.




Di Cathay-Keris Mat Sentol berjaya berlakon dan mengarah dalam lebih 10 filem. 

Walaupun kebanyakan filemnya bercorak komedi, namun Mat Sentol juga pernah menghasilkan filem serius iaitu ‘Penagih Dadah’ pada 1979.

Filem terakhir arahannya ialah ‘Mama Mau Kahwin’  (1988) dan terakhir lakonannya ialah ‘Jibon’ pada 1998.

Selain itu Mat Sentol menubuhkan syarikat filem sendiri iaitu Maju Film dengan banyak terbabit dalam pembikinan iklan. Antara filem iklan yang dihasil sekitar 1980-an ialah untuk barangan kanak-kanak. Antara yang popular ialah iklan Tora.

Sebelum Pergerakan Kawalan Pergerakan (PKP), Mat Sentol sering berjalan kaki sekitar Johor Bahru untuk menjaga kesihatan tetapi ramai yang menganggap Mat Sentol ada gangguan jiwa. Namun Mat Sentol menafikan.



Dengan penglibatan sekitar 70 tahun dalam bidang seni dengan sejumlah karyanya, memang wajar Mart Sentol diberi anugerah sewajarnya. Selain itu bantuan kewangan sewajarnya turut diberi kepada Mat Sentol dan keluarga.

Mat Sentol menyimpan bahan-bahan filem termasuk gambar-gambarnya dan peralatan filem yang diguna dalam filem-filem arahan/lakonannya serta piring hitam yang pernah dihasilkan. 

Bermula dengan filem ‘Hang Tuah’ pada 1956 hingga terakhir ‘Jibon’ pada 1998, Mat Sentol terlibat dalam 29 filem baik sebagai pelakon dan pengarah. Dan sebanyak 9 filem menggunakan nama Mat bermula dari filem ‘Mat Bond’ (1967) hingga yang terakhir ‘Mat Spy’ (1985).

Alangkah baiknya pihak FINAS atau Muzium Negara mengambil alih pameran bahan-bahan kenangan Mat Sentol itu. - KitaReporters


 

10
12
0
6
0

Copy Link: