Bagi pelihara warisan budaya serta adat istiadat Perlis! Raja Muda lancar podcast Salasilah Perlis!
Published by
Podcast Salasilah Perlis anjuran MAIPs ini dikendalikan oleh Syed Mohd Hilmi Syed Mohd Nazree lepasan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) (kanan) bersama Timbalan Yang Dipertua MAIPs Dr Hazman Hassan (kiri).
Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) melalui Jawatankuasa Adat Istiadat Melayu Perlis telah melancarkan podcast Salasilah Perlis yang telah disempurnakan pelancarannya oleh Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail pada 2 Januari 2024.
Program Bual Bicara Dalam Talian Podcast (audio siar) Salasilah Perlis anjuran MAIPs ini adalah dengan kerjasama Pertubuhan Suara Sunnah Arau yang bertujuan untuk memelihara dan memperkukuh warisan budaya serta adat istiadat negeri Perlis.
![](https://media.wepg.online/public/images/user_15588/1739170537_1002251402553700000067a9a2e955101.jpg?x-oss-process=image)
Timbalan Yang Dipertua MAIPs Dr Hazman Hassan yang juga Pensyarah Kanan di Pusat Pengajian Bahasa, Tamadun dan Falsafah Universiti Utara Malaysia (UUM) berkata, inisiatif ini adalah sebahagian daripada usaha berterusan dalam memastikan identiti budaya negeri Perlis terus dipelihara dan diwarisi.
“Kami berharap podcast ini menjadi rujukan utama bagi masyarakat dalam memahami sejarah dan warisan negeri Perlis secara lebih mendalam.
"Dengan pendekatan yang interaktif dan santai, program pastinya dapat menarik minat pendengar, terutama generasi muda untuk mengenali akar budaya mereka,” ujar beliau lagi.
Tuanku Syed Faizuddin Putra semasa berangkat melancarkan Program Bual Bicara Dalam Talian “Podcast Salasilah Perlis”.
Dr Hazman yang memiliki kelulusan PhD dalam Pengajian Islam dari Universiti Malaya (UM) dan Sarjana Pengajian Islam dari Universiti Sains Malaysia (USM) yang aktif dalam penyelidikan berkaitan akidah, falsafah Islam dan sejarah ini juga merupakan pakar dalam sejarah dan budaya Melayu yang komited dalam melestarikan warisan Perlis menerusi pelbagai platform pendidikan dan penyelidikan.
Podcast Salasilah Perlis 09 ini dikendalikan oleh Syed Mohd Hilmi Syed Mohd Nazree, lepasan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), yang kini bertugas sebagai guru di Sekolah Menengah Kebangsaan Sanglang Perlis.
Moga program ilmiah yang membincangkan sejarah, institusi diraja serta perkembangan sosiobudaya negeri Perlis melalui sesi perbincangan bersama pakar sejarah, ahli akademik serta pemegang amanah adat dan warisan ini dapat memberi kefahaman mendalam kepada masyarakat khususnya generasi muda. - KitaReporters