.


Pada Disember tahun lalu (2024), Soma baharu bergelar penyanyi apabila berjaya melancarkan album sulongnya ‘Perjalanan’ walau pun impian itu terpendam selama 28 tahun sejak mula minat menyanyi kala berusia 13 tahun.

Sudah tentu pencapaian yang diraih itu ibarat ‘orang mengantuk disorongkan bantal’ waima dalam masa singkat pemilik bernama sebenar Rosmah S. Sengari @ Basar ini tidak mahu berehat lama tetapi terus aktif melahirkan lagu. 

Terbaharu sempena kedatangan bulan Syawal, Soma tidak mahu melepaskan peluang untuk  berkata, ’Aku Tetap Raya’ walaupun sedari ramai penyanyi-penyanyi muda kini melahirkan lagu raya.

Lagu ‘Aku Tetap Raya’ merupakan hasil ciptaan adik kepada Allahyarham Datuk S. Atan iaitu Belle Fattah bersama Adinda Amiro dan Soma sendiri. 

Sarat dengan mesej kegembiraan dan kehangatan Syawal, lagu tersebut menampilkan melodi yang ceria serta lirik yang mencerminkan kemeriahan dalam menyambut Aidilfitri tidak lama nanti.



“Saya berharap lagu ini dapat memberikan keceriaan dan menjadi lagu pilihan peminat sepanjang musim perayaan ini,” ujar Soma pada majlis berbuka puasa bersama media sempena pelancaran lagu dan muzik video ‘Aku Tetap Raya’ pada 6 Mac 2025 di Hotel Concorde Kuala Lumpur. 

Turut hadir artis idolanya, penyanyi legenda Datuk Khadijah Ibrahim; komposer Belle Fattah dan Adinda Amiro serta Baizura @ Wawa selaku Ketua Bahagian Pemasaran Digital & Pengurusan Media.

"Saya amat teruja dengan acara ini kerana ia bukan sekadar pelancaran lagu dan video muzik (MV) rasmi, tetapi juga peluang untuk saya berjumpa dan berbuka puasa bersama rakan-rakan media yang sentiasa memberi sokongan kepada perjalanan seni saya. 

“Saya ingin mengucapkan terima kasih di atas sokongan mereka, terutama selepas pelancaran album pertama saya, 'Perjalanan'. Saya harap lagu ini dapat memeriahkan lagi sambutan Aidilfitri pada tahun ini (2025)!" ujar Soma penuh ceria.


Soma bersama Khadijah Ibrahim.


Dari kiri: Baizura, Soma, Belle Fattah dan Adinda Amiro.


Menariknya lagi, muzik video ‘Aku Tetap Raya’ turut menampilkan Khadijah Ibrahim yang merupakan sumber inspirasinya dalam dunia nyanyian dan hiburan berserta kehadiran model terkenal, Zahnita Wilson yang kini kembali aktif dalam industri seni.

Semua maklum, nama Zahnita baru-baru ini ‘viral’ gara-gara kes keganasan rumah tangga yang dihadapinya apabila beliau memuat naik hantaran dalam Instagram (IG) yang memperlihat dua foto menampakkam matanya yang lebam.

Barangkali dengan membawa Zahnita bersama dalam MV ‘Aku Tetap Raya’ secara ironinya juga menepati mesej lagu bahawa dalam apa sekali masalah yang menimpa, si polan yang dimaksudkan akan tetap raya.


Dari kiri: Zahnita, Khadijah dan Soma.



Begitu juga dengan Soma yang dalam usia seangkatan Zahnita sebagai kakak dalam MV tersebut, kegagalan rumah tangga tidak akan menghalang mereka untuk ‘Aku Tetap Raya’ demi anak-anak.

Mengulas pandangan dan komen sesetengah yang mungkin beranggapan Soma sengaja mengambil Zahnita untuk menumpang populariti supermodel itu ini jawapan Soma, “Tak apalah, walau nampak macam menumpang, saya buat cara saya sendiri.”

Menurut Soma, Zahnita dipilih oleh  pihak pengurusan bahagian digitalnya iaitu Baizura memandangkan kisah hidupnya pun tengah hangat dan sesuai pula dengan judul lagu ‘Aku Tetap Raya’.

Nak tahu sepadankah Soma dan Zahnita dalam MV “Aku Tetap Raya’ bolehlah menantikan pelancarannya dalam laman YouTube pada 14 Mac nanti. - KitaReporters

15
13
0
8
0

Copy Link: