AHMAD Shapawi Ismail pada sidang media pertamanya sebagai Pengerusi Yakeb di pejabat Yakeb di Kompleks Sukan Bukit Kiara, Kuala Lumpur pada 10 Mac 2025 lalu. - Kredit foto: Yakeb


DATUK Ahmad Shapawi Ismail yang diumumkan sebagai Pengerusi baharu Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (Yakeb) pada 8 Mac 2025 lalu, memikul tugas dan amanah yang berat dan mencabar.

Mantan Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) itu menerajui Yakeb sebagai tokoh kedua yang bukan dalam kalangan bekas atlet kebangsaan selepas Datuk Seri Jamil Salleh yang juga mantan Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

Pengerusi Yakeb lalu yang juga bekas atlet negara termasuk Datuk Paduka Dr. Mumtaz Begum Abdul Jaffar (olahraga), Datuk Abdul Malek Md. Noor (bina badan), Mohd. Azlan Iskandar (skuasy - pemangku) dan Datuk Noorul Ariffin Abdul Majeed (olahraga).



Shapawi, 62, mengambil alih posisi Noorul yang memimpin Yakeb selama enam tahun dari 8 Mac 2019 iaitu paling lama dalam sejarah yayasan yang mula beroperasi pada Oktober 2008 selepas didaftarkan di Kuala Lumpur di bawah Akta Syarikat 1965 pada 25 Julai 2007.

Menziarahi pengebumian bekas ketua jurulatih olahraga negara, Allahyarham Harun Rasheed Othman di Tanah Perkuburan Sungai Kantan, Kajang, Selangor pada 4 Mac 2025 lalu merupakan aktiviti akhir kebajikan Noorul selaku Pengerusi Yakeb dengan para bekas atlet negara.

Harun yang menghembuskan nafas akhir pada usia 70 tahun juga ialah pemenang pingat emas 4x400 meter olahraga Sukan SEAP Singapura 1973 bersama-sama Peyadesa Singha (Datuk), S. Sabapathy dan Hassan Osman.

“Pencapaian (terbaik) peribadi (sebagai Pengerusi Yakeb) ialah pada 25 Februari 2025 lalu, bekas pemain skuasy negara, Kenneth Low mendapat pencen ilat RM1,100 setiap bulan.

“Yakeb juga (dapatkan) Suhaimi Yusof (pemenang pingat emas sepak takraw Sukan Asia Beijing 1990) dan R. Mogan (olahraga) pencen itu. Ini satu kejayaan besar saya dan Yakeb yang bukan senang,” kata Noorul, 60, bekas pelari 3,000 meter lari berhalangan negara pada Sukan SEA Kuala Lumpur 1989.

Bekas Naib Presiden Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) yang menganggotai Yakeb sejak 2008 lagi seterusnya dilantik sebagai Ahli Lembaganya pada 2016 ini mewakili negara dari 1983 hingga 1995 selain memenangi pingat emas Kejohanan Terbuka Antarabangsa Malaysia 1993.

Kenneth, bekas pemain nombor empat Asia dan ke-38 dunia, ketika bekerja sebagai petugas pembersihan, mengalami angin ahmar yang menyebabkan masalah koordinasi dan kemahiran motor serta kognitif dan gangguan ingatan jangka pendek.

Pencen ilat Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) merupakan bantuan berterusan kepada individu yang mengalami keilatan disebabkan kemalangan dan penyakit yang menyebabkan seseorang tidak mampu lagi untuk bekerja.


NOORUL Ariffin Abdul Majeed menerajui Yakeb dari 2019 hingga 2025. - Kredit foto: SOA


Noorul yang menahan sebak ketika mengulas kepada media mengenai kedudukannya, 25 Februari 2025 lalu: “Kita kena jaga bekas-bekas atlet (negara). Saya telah buat dengan jiwa raga saya dan sedaya upaya.

“Lebih kurang RM3 juta dalam tabung Yakeb (ketika ini). Semasa saya ambil alih kami berhutang dekat RM1 juta. Saya rasa siapa yang ganti mesti buat yang lebih baik daripada saya,” tujunya kepada Pengerusi baharu yayasan itu.

Noorul mengakui banyak urusan sebenarnya belum dapat diselesaikan ketika masih menerajui Yakeb seperti menjayakan kerjaya usahawan buat para bekas atlet negara dan meluaskan sumber kewangan yayasan supaya dapat terus menyantuni mereka.

“Sesiapa (bekas atlet negara) yang datang kepada Yakeb, kami tidak akan berkata tidak (sebaliknya) cuba sedaya upaya membantu dengan bidang kuasa yang kami ada,” katanya.  

Yang akhir cuba dibantunya ialah menerusi Kursus Transformasi Teknologi dan Pengurusan Tanaman Nanas Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) dan Kursus Personel Binaan (Kad Hijau) Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB)di Kompleks Sukan Bukit Kiara pada 25 Februari 2025 lalu.


KURSUS Transformasi Teknologi dan Pengurusan Tanaman Nanas dan Kursus Personel Binaan (Kad Hijau) antara aktiviti akhir Noorul Ariffin Abdul Majeed (duduk, dua dari kiri) bersama Yakeb. - Kredit foto: LPNM 


Kini tugas berkenaan terpikul pada bahu Shapawi yang cuba keluar dari alam persaraan sebagai penjawat awam sejak 28 September 2023 khususnya setelah 35 tahun menabur bakti buat MSN.

Beliau tewas 14-10 undi dalam perebutan jawatan Presiden Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) bagi penggal 2024-2028 dengan penyandangnya, Datuk Seri Megat Danish Shahriman Zaharudin dalam mesyuarat agung tahunan pemilihan 14 Disember 2024 lalu di Kuala Lumpur.

Terdapat 1,900 bekas atlet negara yang berusia 40 hingga 60 tahun dan 1,005 orang berusia dari 50 hingga 78 tahun yang pernah menikmati kegemilangan sukan dalam era 60-an, 70-an dan 80-an.

Mereka memerlukan perhatian lebih rapi Yakeb manakala jumlah keahlian di seluruh negara kini mencecah 3,161 orang. - KitaReporters


AHMAD Shapawi Ismail (depan) bersama-sama kakitangan tetap Yakeb termasuk Pengurus Besar, Zuhairi Abdul Manaf dan Pengurus Kanan Operasi, Aminuddin Mohd. Nasir (dua dan tiga dari kanan). - Kredit foto: Yakeb 


SENARAI PENGERUSI YAKEB:

2008: Datuk Paduka Dr. Mumtaz Begum Abdul Jaffar

2012: Datuk Seri Jamil Salleh

2015: Datuk Abdul Malek Md. Noor

2017: Mohd. Azlan Iskandar (pemangku)

2019: Datuk Noorul Ariffin Abdul Majeed

2025: Datuk Ahmad Shapawi Ismail


MUMTAZ BEGUM JAFFAR. - Kredit foto: MOM


ABDUL MALEK MD. NOOR. - Kredit foto: MSN


LEMBAGA PENGARAH YAKEB 2025-2027:

Pengerusi: Datuk Ahmad Shapawi Ismail

Ahli-ahli: Hafiz Mat Ramly (Ketua Penolong Setiausaha Kementerian Kewangan), Chan Hong  Jin  (Timbalan Ketua Setiausaha (Strategik) KBS, Dr. Ahmad  Munawwar Helmi Salim (Pengarah Institut Sukan Negara - ISN), Normala  Abdul Rashid  (bekas pemain bola sepak negara),  Sharon Wee Ee Li (bekas atlet skuasy negara/Naib Presiden 1 Persatuan Raket Skuasy Malaysia - SRAM), R. Sharmendran (bekas atlet karate negara/ketua  jurulatih sementara kebangsaan), Soo Beng  Kiang (bekas anggota skuad pemenang badminton Piala Thomas 1992).


SHARON WEE. - Kredit foto: SW

21
8
0
11
0

Copy Link: