Golongan muda Keluarga Malaysia teruja nak pangkah! Pelajar UUM dah bersedia untuk keluar mengundi!
Published byMAHASISWA Universiti Utara Malaysia (UUM) tidak sabar untuk menjalankan tanggungjawab mereka sebagai pengundi baharu dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada 19 November 2022 ini.
Walaupun ada pihak yang berpandangan bahawa pemilih di bawah usia 21 tahun yang akan mengundi buat kali pertama pada PRU15 ini masih mentah dan belum matang untuk memilih pemimpin serta kerajaan bagi mentadbir negeri dan negara, namun mereka akan buktikan suara pengundi muda juga penentu pentadbiran negara dan negeri.
Dalam statistik yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Pilihanraya (SPR), seramai 10.6 juta pengundi berusia 18 hingga 39 tahun di seluruh negara akan turun mengundi pada PRU15 ini dan dari jumlah itu, 1,393,549 juta pengundi berusia antara 18-20 tahun, manakala 4,614,429 pengundi berusia antara 21-29 tahun.
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan berita-berita PRU15
Muhammad Akmal Hakim Zulkafli.
Pelajar Sarjana Muda Kewangan, Muhammad Akmal Hakim Zulkafli, 20, yang akan mengundi buat kali pertama untuk memilih calon bagi Parlimen Kuala Selangor akan menggunakan mandat bagi memilih pemimpin negara dengan meneliti calon yang bertanding dari parti yang kuat dan berdasarkan manifesto siapa lebih realistik.
“Saya teruja untuk mengundi pada PRU15 ini namun sebelum memangkah kertas undi saya perlu membuat pilihan berdasarkan siapa calon parti yang ditandingi dan manifesto yang dibawa,” katanya.
Muhammad Hakam Syukur Mohd Azhar.
Manakala pelajar Sarjana Muda Pentadbiran, Muhammad Hakam Syukur Mohd Azhar, 21, dari Tumpat, Kelantan pula berkata, pilihan raya kali ini bukan sahaja menjadi sejarah baginya tetapi tanggungjawab untuk memilih pada PRU15 ini merupakan titik penting dalam menyusun semula kabinet Malaysia.
Muhammad Hakam Syukur menambah dia akan memilih calon berasaskan pelbagai faktor terutama parti dan prestasi perkhidmatan kepada masyarakat serta pembaharuan atau peningkatan yang dicapai kerana jika parti tidak bertanggungjawab, ada pemimpin melakukan penyelewengan dan sebagainya, sudah pasti menjejaskan rakyat dan negara.
"Ini kali pertama saya akan mengundi. Insya-Allah jika tiada halangan, saya akan pulang ke kampung halaman menunaikan kewajipan sebagai pengundi bagi kerusi Parlimen Tumpat di Kelantan," katanya.
Navien a/l S.D. Ragunathan.
Pengundi baharu Parlimen Larkin, Johor, Navien a/l S.D. Ragunathan, 21, pula berkata, dia akan memangkah undi selepas meneliti dan melihat manifesto parti atau calon yang bertanding dalam pilihan raya kali ini.
"Undian saya akan berasaskan calon dan manifesto," katanya mengakui agak gemuruh untuk mengundi buat kali pertama, namun mendapat dorongan dan sokongan daripada kedua-dua ibu bapanya.
Undi muda kali ini didaftar secara automatik sebagai pengundi dan setakat pertengahan bulan ini, dianggarkan kira-kira 1.14 juta belia bakal menggunakan mandat buat kali pertama dan menyertai kelompok 21.1 juta keseluruhan pemilih dengan 1.4 juta adalah pengundi baharu.
Pendaftaran pengundi dalam kelompok usia berkenaan adalah susulan pindaan Perlembagaan Persekutuan untuk menurunkan usia layak mengundi dan menjadi calon pilihan raya kepada 18 tahun serta mendaftarkan golongan berusia sama sebagai pemilih secara automatik.
Pindaan itu telah diluluskan oleh Parlimen dan diwartakan serta berkuat kuasa pada Disember 2021. - KitaReporters