Alahai! Haziq oh Haziq! Dua kali silap besar! Dua kali dihukum Thailand! Pau tetap berlembut lagi?
Published by/
HAZIQ Nadzli seperti tidak menyedari kehadiran Suphanat Mueanta di depannya ketika menerima hantaran Declan Lambert dari sebelah kanan. - Kredit foto: FAM
INGATAN ramai peminat bola sepak tanah air pasti terngiang-ngiang akan dua episod kesilapan besar Haziq Nadzli sehingga mereka menterjemahkan segala kemarahan angkara kecuaiannya, dalam media sosial kemudian.
Di depan 25,619 hadirin
Stadium Rajamangala, Bangkok, sepakan lalainya untuk meleraikan bola dari kotak penalti terkena
kaki pemain Thailand, Suphanat Mueanta lantas mudah disudahi Patrik Gustavsson untuk gol tuan rumah pada minit ke-57.
'Sumbangsih' Haziq, 26, pada 14 Disember 2024 ini turut
menghadiahi Si Gajah Perang kemenangan 1-0, sekali gus memimpin carta mata Kumpulan A Kejohanan
ASEAN 2024-2025.
Maka semakin sempitlah laluan Harimau Malaya ke separuh akhir dengan hanya berbekalkan empat mata setelah hanya mengikat Kemboja 2-2 dan menewaskan Timor-Leste 3-2 pada 8 dan 11 Disember 2024 lalu.
ENDRICK Dos Santos terlepas satu peluang keemasan gol Malaysia dengan rembatan kaki kiri dari luar kotak penalti pada minit ke-67 hasil hantaran Jimmy Raymond yang dikuis hujung jari penjaga gol Thailand, Patiwat Khammai. - Kredit foto: FAM
Putar balik ke Stadium
Shah Alam, Selangor tanggal 29 Ogos 2017 dalam final saingan Bawah 22 Tahun Sukan
SEA Kuala Lumpur 2017 yang turut membabitkan penjaga gol setinggi 1.73 meter ini.
Gerangan inilah yang tertumbuk ke gol sendiri sepakan sudut Sasalak Haiprakhon
pada minit ke-40 sehingga Malaysia tumpas kepada Thailand 1-0 dan kempunan ibu segala pingat
emas temasya dwitahunan ke-29 itu.
Ada pihak yang turut mula
mempertikai kehadiran pemain Perak FC ini dalam pasukan negara kendalian Pau Marti
Vicente ke Kejohanan ASEAN (dulunya Piala AFF atau Kejohanan AFF).
Kali akhir Haziq mengumpul
kap antarabangsa pun ialah ketika Malaysia kendalian warga Portugal, Nelo Vingada diikat Mongolia 2-2 dalam perlawanan persahabatan 'A' tanggal 22 Mac 2018 di Stadium Nasional, Bukit Jalil.
Dia juga dibolosi dua kali menentang Kemboja di Stadium Olimpik, Phnom Penh namun Kalimullah Al-Hafiz Mat Rowi yang menjadi pilihan Pau, turut tertewas dek dua jaringan Timor-Leste di Bukit Jalil.
PAU Marti Vicente (kiri) bersama-sama penolong ketua jurulatih negara, Juan Torres Garrido masih berhak dipuji kerana taktikal menyerang habis-habisan Harimau Malaya terhadap Si Gajah Perang. - Kredit foto: FAM
Namun Pau tidak sedikit pun menyalahkan sesiapa akibat kekalahan di Bangkok itu. Katanya, “saya fikir tidak boleh salahkan sesiapa kerana keputusan. Itu diterima sebagai seorang manusia, ini sukan yang sukar.
“Dia telah bermain hebat dan buat silap seperti
pemain lain. Kita hanya perlu terus menyokongnya dan berinya semangat, jangan
terlalu memarahinya,” ulas warga Sepanyol berusia 41 tahun ini.
Haziq tetap sempat menyelamatkan gawang Malaysia daripada peluang gol kedua Thailand menerusi tepisan dek rembatan Teerasak Poiephimai pada minit ke 90+6 yang turut melolosi hambatan pemain gantian, Pavithran Gunalan.
Pau dalam audio sidang media pascaperlawanan di stadium itu kiriman Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menambah, “saya fikir kami berhak mendapat lebih daripada (keputusan ini) pada akhirnya.
“Perlawanan yang lepas-lepas tidak seperti kami kehendaki (tetapi) malam ini (menentang Thailand) lebih baik. Kami tidak gentar hadapi pemain lawan yang hebat dan di stadium yang besar,” tegasnya.
Kepada seluruh warganet dan peminat tanah air yang mengecam skuad negara, beliau kata, “ini pasukan kebangsaan Malaysia. Setiap pemain yang menyarung jersi berhak disokong dan dihormati.
“Situasi Liga Malaysia yang sedang berlangsung (meragut khidmat ramai tonggak Harimau Malaya yang tidak wajib dilepaskan kelab-kelab), harap orang ramai memahaminya.
“Perlawanan berikutnya (penamat Kumpulan A dengan Singapura, 20 Disember 2024) di Bukit Jalil saya harap dapat sokongan besar peminat kepada kami,” ujar Vicente yang mungkin inilah penampilan akhirnya sebagai ketua jurulatih negara jika gagal ke separuh akhir.
Harimau Malaya bertandang ke Bangkok tanpa keempat-empat tonggak Sabah FC (Darren Lok, Dominic Tan, Daniel Sang Ting dan Stuart Wilkin) selain penyerang Kedah Darul Aman (KDA) FC, Syafiq Ahmad yang menghadapi Liga Super, Piala Malaysia dan Piala Pencabar.
MALAYSIA: Haziq Nadzli, Syamer Kutty Abba, Declan Lambert, Ahmad Khuzaimi Piee, Jimmy Raymond (Najmuddin Akmal Kamal Akmal), Haqimi Azim Rosli (Paulo Josue), Endrick Dos Santos, Fazrul Amir Zaman (Fergus Tierney), Sergio Aguero (Daryl Sham George), Harith Haiqal Adam Afkar (Danial Amier Norhisham), Adib Ra'op (Pavithran Gunalan).
HARIMAU Malaya tumpul dalam penyudahan dan penembusan kotak penalti tanpa pencari gol tetapnya seperti Darren Lok, Stuart Wilkin dan Syafiq Ahmad yang dilepaskan kembali kepada Sabah FC dan KDA FC. - Kredit foto: FAM