AIDIL Zafuan Radzak (kanan) dan Nafuzi Zain mengapit dan berbual dengan Matt Smith dalam sesi latihan hari pertama Harimau Malaya di Padang Seri Gelam. - Kredit foto: FAM 


HARI pertama sesi latihan pusat Harimau Malaya dengan ketua jurulatih baharu, Peter Cklamovski pada 17 Mac 2025 berlangsung dalam sedikit pelik dan kejutan.

Hujan tak, ribut pun tak, tiba-tiba muncul Nafuzi Zain dan Aidil Zafuan Radzak pada sesi itu di Pusat Latihan Johor Darul Ta’zim (JDT) FC, Padang Seri Gelam, Johor Bahru, Johor.

Wajah ketua jurulatih Bawah 23 Tahun Malaysia (B23) dan bekas bek tengah JDT serta kebangsaan itu terpapar dalam laman sosial Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Malaysia NT.

Turut mengejutkan ialah gambar aksi Christian Abad berlatih bersama-sama skuad negara sebagai persediaan menghadapi Kelayakan Akhir Piala Asia 2027 Kumpulan F menentang Nepal pada 25 Mac 2025 ini.

Nama penjaga gol remaja JDT FC itu tidak pun tersenarai antara 27 pemain yang diumumkan FAM mahupun oleh Cklamovski ketika sidang media di Wisma FAM, Kelana Jaya, Selangor tanggal 13 Mac 2025 lalu.

Namun tidak dipastikan Abad, 19, kelahiran Alicante, Sepanyol, sudah bertaraf pemain naturalisasi atau belum, bagi membolehkannya menyarung jersi Harimau Malaya.  

Semakan latar belakang mendapati dia pernah menimba pengalaman dengan kelab belia La Liga Sepanyol, Elche CF dan Valencia CF sebelum menyertai Harimau Selatan mulai 2024.


CHRISTIAN Abad masih tidak dipastikan statusnya dengan Harimau Malaya ketika sesi latihan kendalian Peter Cklamovski sedangkan sudah ada tiga penjaga gol yang tersenarai. - Kredit foto: FAM 


Hanya tiga penjaga gol yang telah diumumkan FAM iaitu Ahmad Syihan Hazmi Mohamed (JDT FC), Kalamullah Al-Hafiz Mat Rowi (Selangor FC) dan Haziq Nadzli (Perak FC).

Harimau Malaya, penghuni ranking ke-132 dunia akan berdepan The Gorkhalis (Si Gurkha, ke-175) di Stadium Sultan Ibrahim (SSI), Iskandar Puteri, Johor manakala dua lagi lawan ialah juara Kejohanan ASEAN 2024-2025, Vietnam (ke-114) dan Laos (ke-186).

Menurut sumber, Aidil, 38, menjadi anggota terbaharu barisan kejurulatihan Harimau Malaya sebagai seorang lagi penolong jurulatih warga tempatan di samping Hairuddin Omar atau popular dijuluki Hai-O.

Nafuzi pula sekadar hadir untuk meninjau lebih dekat dan mempelajari kaedah kejurulatihan Cklamovski, bekas penolong jurulatih Socceroos juara Piala Asia 2015. 

Cklamovski, berkata, “saya sangat teruja bertemu pemain pada kem latihan pusat kali ini. Kami mahu memastikan persiapan pasukan berjalan lancar untuk memberikan aksi terbaik menentang Nepal.

“Saya mahu membina pasukan kebangsaan yang dapat membanggakan rakyat Malaysia. Jadi, saya memilih barisan pemain terbaik, terus bekerja keras dan kekal merendah diri.

“Kita perlu muncul juara Kumpulan F untuk layak ke Piala Asia 2027 (di Arab Saudi) dan kita harus menterjemahkan segala usaha di atas padang," katanya, dipetik daripada laman sosial FAM.


SEJAUH mana keberkesanan taktikal Peter Cklamovski dapat dihadam Harimau Malaya dalam tempoh yang singkat, bakal terjawab apabila menentang Nepal di SSI pada 25 Mac 2025. - Kredit foto: FAM


Anak jati Sydney, Australia berusia 47 tahun ini diumumkan mengambil alih ‘kerusi panas’ ini pada 16 Disember 2024 lalu sedangkan pengendali terdahulu, Pau Marti Vicente dari Sepanyol belum menghabiskan misi Harimau Malaya pada peringkat Kumpulan A Kejohanan ASEAN. 

Kali akhir menentang Nepal, Malaysia memenangi perlawanan antarabangsa tahap 1 di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada 2 Jun 2019 lalu, 2-0 hasil jaringan Safawi Rasid dan Shahrul Saad yang turut tersenarai dalam skuad 27 pemain kali ini.

Barisan kendalian Kim Pan-gon dari Korea Selatan pada 15 Mac 2024 lalu turut membelasah Si Gurkha 5-1 di Stadium UiTM, Shah Alam, Selangor, namun perlawanan selama 140 minit dan empat babak itu hanya bersifat latihan dan tidak rasmi serta dijalankan secara tertutup.

Harimau Malaya berpindah dari ‘kandang  Bukit Jalilnya’ ke SSI bagi menentang Nepal gara-gara kerja-kerja penyelenggaraan masih dijalankan di venue asal tempat lawan, Stadium Dasharath, Kathmandu. - KitaReporters


PENYENARAIAN Mohamadou Sumareh (kiri) dalam skuad negara turut menjadi tanda tanya kerana kurangnya minit bermain dengan JDT FC dalam saingan tempatan mahupun kelab Asia. - Kredit foto: FAM


BARISAN PENGURUSAN & KEJURULATIHAN HARIMAU MALAYA 2025

Ketua Pegawai Eksekutif: Robert Friend (Kanada)

Ketua jurulatih: Peter Cklamovski (Australia)

Penolong ketua jurulatih: Mark Milligan (Australia)

Penolong jurulatih: Matt Smith (Australia), Hairuddin Omar, Aidil Zafuan Radzak

Jurulatih penjaga gol: John Crawley (Australia)

Jurulatih kecergasan: Reuben Balraj

Juruanalisis prestasi: Seiya Imazaki (Jepun)

 

JOHN Crawley macam pemain gitar kugiran rock Barat dengan tatu lengannya, seloroh segelintir warganet dalam laman sosial FAM. Kanan ialah Robert Friend. - Kredit foto: FAM  


6
12
0
15
0

Copy Link: