Red Warriors mahu bangkit! Kembali gegar bola sepak Malaysia! Mampukah mereka? Atau hanya kata-kata!
Published byPENUBUHAN kelab Kelantan Red Warriors FC (KRW) diharap dapat mengembalikan kegemilangan bola sepak negeri itu dalam peta bola sepak negara.
Ia mencetuskan keterujaan dalam kalangan peminat bola sepak Kelantan yang sejak beberapa tahun kebelakangan ini seolah-olah sudah hilang semangat ekoran kemerosotan prestasi pasukan berkenaan.
Bekas kapten pasukan Kelantan tahun 1990-an, Salim Mahmud berkata beliau turut teruja dengan perkembangan terbaharu itu, namun pada masa sama terselit perasaan bimbang sejauh mana impian itu mampu dilaksanakan.
Beliau mengakui pihak pengurusan KRW akan berdepan cabaran besar dalam merealisasikan impian mereka terutama untuk menangani situasai bola sepak negara sekarang.
SALIM MAHMUD, bekas kapten pasukan Kelantan.
“Sebagai bekas pemain, saya berasa sedih melihat keadaan bola sepak Kelantan sekarang. Dulu, kita boleh bangga dengan gelaran The Red Warriors serta kejayaan yang dicapai tapi dalam beberapa musim kebelakangan ini, semua itu sudah musnah.
“Penonton yang dahulu membanjiri stadium kini seolah-olah menjauhkan diri. Ini semua sudah tentu berpunca daripada prestasi pasukan Kelantan sendiri.
“Apabila KRW ditubuhkan, ia menjadi harapan kepada peminat bola sepak Kelantan untuk melihat kebangkitan pasukan itu namun sejauh mana ia mampu dilakukan, sukar diramalkan,” kata Salim.
Bagi Salim, membina semula sebuah pasukan yang sudah jatuh bukan semudah kata-kata dan janji, sebaliknya menuntut pengorbanan yang amat besar daripada mereka yang mengambil tanggungjawab itu.
PENYOKONG yang dahulu membanjiri stadium kini seolah-olah menjauhkan diri kerana kecewa dengan prestasi pasukan Kelantan.
Menurut Salim, beberapa faktor terutama kewangan akan menjadi elemen penting dalam menentukan jatuh bangun sesebuah pasukan.
“Kita dapat lihat contoh kegagalan beberapa buah pasukan kerana tidak mempunyai dana yang cukup bagi menguruskan kelab sehingga ada yang gagal membayar gaji. Bila ini berlaku, ia secara langsung menjejaskan prestasi pasukan.
“Saya tidak tahu sejauh mana kekuatan kewangan KRW tapi saya nampak mereka akan berdepan cabaran getir. Saya berharap mereka benar-benar bersedia untuk mengharunginya,” ujar bekas pemaain pertahanan itu.
Pada masa sama, Salim berharap Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) yang kini diterajui Datuk Seri Affandi Hamzah, akan memberi sokongan padu kepada usaha dilakukan oleh KRW itu terutama membantu mereka mendapatkan sumber kewangan.
“Kita faham, KRW adalah sebuah kelab profesional yang perlu bergerak sendiri tapi tidak salah jika KAFA turut membantu kerana sebarang hasil, sama ada berjaya atau sebaliknya akan turut memberi tempias kepada badan bola sepak itu.”
KRW dilancarkan secara rasmi pada 21 Disember, 2024 lalu dengan matlamat mengembalikan kegemilangan bola sepak Kelantan yang pernah dikecap suatu ketika dahulu.
KRW FC dilancar secara rasmi pada 21 Disember, 2024 oleh presidennya, Nik Hafiz Naim Nik Hassan. Turut hadir Presiden KAFA, Affandi Hamzah.
Sementara itu, Presiden KRW FC, Nik Hafiz Naim Nik Hassan berkata, proses mempersiap pasukan itu dijangka akan bermula sepenuhnya pada Januari 2025.
"Bulan Disember 2024, kita beri tumpuan kepada pelancaran dan pengenalan pasukan. Selepas ini, kita akan fokus kepada persiapan," katanya semasa sidang akhbar pelancaran KRW FC.
Beliau berkata KRW memerlukan dana sebanyakl RM2 juta bagi menggerakkan kelab itu dalam persaingan di Liga Semi-Pro A1 Malaysia kelak.
"Dengan nilai perbelanjaan itu, kita berharap mampu membawa masuk pemain bintang bagi memperkuatkan KRW FC," katanya.
Dalam pada itu, pada Khamis, 16 Januari, 2025, KRW mengorak langkah awal dengan mengumumkan pelantikan Irfan Bakti Abu Salim sebagai ketua jurulatih.
Irfan Bakti bukan calang-calang jurulatih. Beliau berpengalaman selama 30 tahun dalam bidang kejurulatihan dengan membimbing beberapa pasukan seperti Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Terengganu, Felda United dan beberapa kelab lagi. Beliau juga pernah melatih kelab Indonesia, Persipura Jayapura.
IRFAN BAKTI diumum sebagai ketua jurulatih KRW.
Mengulas pelantikan Irfan Bakti, Salim menganggap KRW melakukan pilihan yang tepat kerana dengan pengalamannya yang luas, jurulatih berkenaan mampu mencorakkan pasukan itu.
“Tapi untuk berjaya, Irfan memerlukan sumber pemain yang mampu melaksanakan apa yang akan dirancangnya. Dalam hal ini, mereka perlu menggunakan formula yang pernah dipraktik oleh TRW dahulu iaitu membawa masuk pemain-pemain bintang.
“Namun itu semua memerlukan perbelanjaan yang besar. Inilah cabaran awal perlu ditangani KRW jika mereka benar-benar mahu memulihkan bola sepak Kelantan,” ujarnya.
Untuk rekod, Kelantan yang terkenal dengan jolokan The Red Warriors (TRW) pernah mendominasi bola sepak Malaysia, dengan memenangi beberapa piala apabila muncul juara Liga Super pada 2011 dan 2012, Piala Malaysia 2010 dan 2012 serta Piala FA pada 2012 dan 2013.
Kemuncak kejayaan mereka adalah pada 2012 apabila melakukan kejayaan treble dengan menjuari Liga Super, Piala Malaysia dan Piala FA. - KitaReporters
PADA zaman kegemilangan mereka, Kelantan memenangi pelbagai trofi.