Nak jawatan Presiden? Silakan tampil! Shahidan belum sah pertahan! AGM Olahraga Malaysia 2025-2029!

Published by
KitaReporters

AZEEM Fahmi (tengah) mengalungi Malaysia, pingat gangsa 100 meter - reben biru olahraga Sukan Asia Hangzhou 2023 iaitu yang pertama acara itu sejak New Delhi 1982. - Kredit foto: MSN 


“SESIAPA yang lebih layak, lebih handal, teruskan.” Kata alu-aluan ini ditujukan kepada mana-mana pihak yang berminat untuk bergelar Presiden baharu Olahraga Malaysia (MA).

Penyandangnya, Datuk Seri Shahidan Kassim menegaskan kepada pihak berkenaan: “Kalau orang itu layak, beritahu sahaja, tidak perlu lawan sangat. Tiada masalah.”

Namun mantan Menteri Wilayah Persekutuan ini turut mengingatkan, “(jawatan ini hanya untuk) orang yang cinta kepada sukan dan mengabdi diri kepada sukan.

“Jadi Presiden MA bukan ada gaji, ada elaun. Saya mengalu-alukan (pencabarnya), datang segera, berlari-lari tampil,” katanya dalam sidang media di pejabat MA di Wisma Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Kuala Lumpur tanggal 25 Februari 2025 lalu.


SHAHIDAN Kassim memberitahu sidang media di pejabat MA, Kuala Lumpur bagi menjawab dakwaan penyalahgunaan dana badan induk itu oleh Timbalan Presidennya, Datuk Fadzil A. Bakar pada Malam Anugerah persekutuan itu. 


Ditanya sama ada mahu mempertahannya dalam mesyuarat agung tahunan (AGM) pemilihan pucuk pimpinan MA yang akan dijadualkan sebelum 30 Jun 2025 ini, kata Shahidan, “saya kalau hendak buat apa-apa, saya akan umum kemudianlah.

“Memegang jawatan adalah untuk pastikan sukan kita pada tahap yang hebat dan ‘dahsyat’. Siapa jadi Presiden atau tidak, itu nombor dua tetapi saya berikan perhatian serius (apabila menyandangnya).

“Saya berada di gelanggang dua tiga kali setiap minggu melihat latihan (atlet negara) dan memberi pandangan,” katanya yang bergelar Presiden MA (sebelumnya Persekutuan Olahraga Malaysia - MAF) pada 12 Jun 2022 di Kelab Diraja Selangor, Kuala Lumpur.


SHAHIDAN Kassim (kanan) bersalaman dengan S. Marathamutu selepas memenangi pemilihan KOM (MA) bagi penggal 2022-2025 di ibu negara. - Kredit foto: FB SK    


Shahidan menewaskan penyandangnya, Datuk S. Marathamutu 20-16 undi bagi penggal 2022-2025, kali kedua selepas pernah menerajui badan induk sukan kebangsaan yang berusia lebih 112 tahun itu, dari 2006 hingga 2012.

Pindaan perlembagaan MA, berhubung tempoh khidmat pucuk pimpinan dari tiga tahun dengan maksimum tiga penggal kepada empat tahun dan dua penggal, katanya, telah pun diluluskan Pesuruhjaya Sukan.

“Penetapan tarikh AGM pemilihan akan dibuat mesyuarat Majlis MA akan datang. Pindaan perlembagaan baharu ini telah berkuat kuasa pada 15 Januari 2025,” katanya.

Sebagai bukti perkembangan olahraga negara, Shahidan juga merujuk kepada penganjuran lapan kejohanan berprestij yang mendapat pengiktirafan peringkat kebangsaan dan antarabangsa sejak mengambil alih kembali tampuk MA.

“MA sangat menitikberatkan aspek latihan di samping pendedahan atlet seawal usia 15 tahun sehingga senior.

“Pada 2023, kami telah hantar 244 atlet ke sekurang-kurangnya 13 kejohanan antarabangsa berbanding 74 atlet ke tujuh kejohanan pada 2019.

“Kenaikan lebih tiga kali ganda ini terus diperhebat apabila pada 2024, lapan kejohanan dianjurkan di tanah air bagi peringkat kebangsaan dan antarabangsa,” katanya lagi.


SHAHIDAN Kassim telah menyandang kerusi No. 1 MA (KOM) dua kali setakat ini, 2022-2025 dan 2006 hingga 2012. - Kredit foto: FB MA 


Sebanyak enam Kejohanan Siri Super Olahraga yang dimanfaatkan tidak kurang 4,000 atlet sebagai pendedahan pertandingan mereka malah menyaksikan tiga rekod kebangsaan yang baharu, jelasnya.

“(Rekod itu) termasuk 100 meter wanita yang selama 31 tahun berjaya dipecahkan Zaidatul Husniah Zulkifli dalam Siri Super Terbuka Perlis di Kangar (12 Oktober 2024 lalu),” katanya.

“Terbuka Malaysia di Kuantan, Pahang (Jun 2024) menjadi kejohanan yang julung kalinya diiktiraf Olahraga Dunia (WA) sebagai kejohanan kelas B dunia, disertai atlet Rusia dan Australia dengan sembilan negara mengambil bahagian, memberikan persaingan sihat kepada atlet tempatan.


SHAHIDAN Kassim (kiri) dan Ahli Majlis MA, Mohamat Hassan yang juga Presiden Olahraga Sabah dalam sidang media di pejabat persekutuan di Wisma MOM. 


“Bagi pembangunan bakat remaja pula, kami berjaya meluncurkan Kejohanan Bawah 18 Tahun (B-18) Asia Tenggara dengan 12 rekod kejohanan dicipta,” katanya yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kejurulatihan dan Pembangunan MA.

Di arena antarabangsa, skuad negara merakamkan pencapaian tiga pingat gangsa Sukan Asia Hangzhou 2023 termasuk Azeem Fahmi yang mengakhiri kemarau pingat acara reben biru 100 meter lelaki sejak 1982, manakala lima pingat emas diraih dalam Sukan SEA Kemboja 2023 di Phnom Penh. - KitaReporters


ZAIDATUL Husniah Zulkifli menunjukkan rekod baharu kebangsaan 100 meter wanitanya yang meleburkan rekod terdahulu milik G. Shanti. Dia juga menganggotai rangkaian 4x100 meter pemenang gangsa Sukan Asia Hangzhou 2023. - Kredit foto: MA 

13
10
0
17
0

Copy Link: