Video| Sejuta Maaf Liza Hanim! Luahan suara hati orang ingin mohon jutaan kemaafan! Tetapi terhalang!
Published byANDA pernah berselisih faham dengan sesiapa?
Sebagai insan yang bernama manusia, kita tidak terlepas dari rasa tersentuh apabila berlaku perselisihan faham waima tidak timbul peribahasa berbunyi, ‘sedangkan lidah lagi tergigit, inikan pula suami isteri…’ dan tidak terkecuali kaum keluarga mahu pun sahabat handal.
Atas hakikat itulah tercetusnya mesej di sebalik lagu terbaharu penyanyi balada dan juga finalis Anugerah Juara Lagu 37 (AJL37), Liza Hanim berjudul ‘Sejuta Maaf’.
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan kemaafan dan pemaafan
'Sejuta Maaf', hasil garapan dan karya komposer Sirkhan & Rinkarnaen tercetus dari kisah benar rakan yang terpisah jauh daripada keluarganya hampir berbelas-belas tahun kerana fitnah dan ego yang telah membataskan perhubungan.
“Lagu tersebut mengisahkan tentang kasih dan perjuangan hati orang yang berjauhan dek kerana perselisihan faham yang timbul akibat ego yang tinggi dan pertembungan pendapat yang berbeza.
"Lagu ini boleh dimanifestasi sebagai permohonan maaf secara tidak langsung atau suara hati orang yang ingin menerima maaf tetapi terhalang,’ ujar Sirkhan (gambar bawah).
Menurutnya, Liza Hanim merupakan penyanyi kegemaran ramai kerana kekuatan dan kemerduan tona suara dan vocal styling, sesuai dengan lagu-lagu balada Melayu ciptaannya sebelum ini.
Kredit foto: Instagram @sirkhandanial.
Dan bagi Liza Hanim atau nama sebenarnya, Haliza Hanim Abdul Halim, beliau suka dengan lirik yang dihasilkan Sirkhan yang sangat menyentuh jiwa apatah lagi ia menceritakan bagaimana menjaga hubungan supaya kekal dan tidak berhadapan dengan masalah.
“Dalam mana-mana hubungan, kunci utama untuk terus kekal dan mempunyai persefahaman iaitu menjaga komunikasi dengan baik untuk mengelak perselisihan faham. Selain daripada kita perlu buang ego kerana sifat ego adalah punca keretakan hubungan kita sesama manusia terutama orang tersayang,” tambah Liza Hanim.
Malah penyanyi terbaik Malaysia yang menguasai industri muzik di era 2000-an, seiring dengan vokalis ternama seperti Dato’ Sri Siti Nurhaliza, Jaclyn Victor, Dayang Nurfaizah dan Misha Omar ini berharap agar pendengar semua dapat memahami maksud tersirat di sebalik lagu terbaharunya itu,
“Pendek kata, lagu ini menceritakan tentang luahan suara hati seseorang yang ingin memohon berjuta kemaafan namun berhadapan dengan pelbagai halangan sehingga menyebabkan hasratnya terkubur,” Liza membayangkan kisah di sebalik lagu.
Sejak sekian lama menyepi dengan lagu solo kecuali lagu duet bersama Shila Amzah, ‘Bahagiakan Dia’ pada Jun 2022 lalu sekali gus berjaya meraih Trofi Persembahan Vokal Terbaik Duo/Kolaborasi Terbaik pada Anugerah Industri Muzik 23 (AIM23), Liza Hanim berterima kasih kepada semua peminatnya yang sentiasa memberikan sokongan dari awal menjejaki kakinya dalam industri seni muzik sejak tahun 1996 selepas menjadi naib johan bagi pertandingan Golden Teen Search pada usia 17 tahun.
Lagu 'Sejuta Maaf' edaran bersama Alternate Records Sdn Bhd dan Aci Aci Buka Pintu juga telah menjadi runut bunyi untuk drama bersiri TV3, Hati Tanpa Rasa yang dilakonkan oleh Redza Rosli dan Scha Elinnea.
Jadi, apa tunggu lagi, jika anda ada niat ingin memohon maaf pada sesiapa tetapi tidak berkesempatan melakukannya apa kata hantarkan sahaja lagu ‘Sejuta Maaf’ pada yang berkenaan semoga hatinya juga terbuka untuk memaafkan.
Ingat memaafkan kesalahan orang lain adalah dituntut dalam agama Islam sebagaimana firman ALLAH SWT: "Jadilah pemaaf dan suruhlah orang mengerjakan yang makruf serta jangan mempedulikan orang-orang yang jahil." (Surah al-A'raf, ayat 199).
Sabda Rasulullah SAW: “Harta tidak akan berkurangan dengan sebab sedekah. Dan ALLAH tidak menambah kepada seseorang hamba dengan sebab kemaafan yang diberikan (kepada orang lain), melainkan kemuliaan dan tiada merendah diri seseorang itu melainkan ALLAH akan mengangkatkan darjatnya." (Riwayat Muslim), -
Jom kita sampaikan ‘Sejuta Maaf’ hari ini ya! - KitaReporters