Malaysia sering dianggap negara kedua selepas Indonesia dalam memperjuang muzik dangdut. Lagu berirama asli seperti inang, masri, joget dan etnik kreatif dianggap sebahagian daripada muzik dangdut di Indonesia.

Namun sayang, persembahan peserta-peserta Malaysia dalam pertandingan Dangdut Academy Asia (DAA) semakin melayu dan merudum.

Lima peserta yang gagal mengharumkan nama Malaysia dalam DAA musim 6

DAA dianjur stesen TV Indosiar, Jakarta sejak 2015. Pada musim 1, Malaysia berjaya mendapat tempat ketiga melalui  Shiha Zikir.
Bagi musim 2, Roger Kajol menduduki tangga ketujuh.

Sementara bagi musim 3, Azizul Haqim dan One Forteen mendapat tempat kelima dan keenam. Bagi musim 4, Zam Ryzam dan Tyka Zatyka di tangga ketiga dan keempat. Sementara bagi  musim 5, Megat Haikal, Azmirul Azman dan Hariz Fayahet di tempat ke 4, 6 dan 7.

Namun dalam persembahan dalam DAA musim 6 (2023), Malaysia mencatat persembahan terburuk. 

Daripada 5 penyanyi yang dipilih oleh Zul 2 By 2 dan Dr Man Tabla, cuma Hazman Sanjaya mampu melangkah ke Top 9 Besar. Namun langkahnya terhenti apabila ditewas oleh Hari Putra (Indonesia) dan Lovely Ann (Filipina) dalam Kumpulan 3 Top 9.

Sebelumnya Beby Acha menjadi peserta harapan dari Malaysia. Namun sayang Beby Acha tersingkir dalam Top 16 bersama dengan Myaherry. 

Sebelum itu dua peserta Malaysia tewas dalam Top 30 iaitu Zul Zuna dan Raziq Rashid.  


Harapan Beby Acha berkecai apabila tewas  dalam Top 16 DAA musim 6


Ini menjadikan persembahan terburuk Malaysia sepanjang menyertai DAA sejak 2015. 

DAA musim 6 memperbanyak negara peserta menjadi lapan dengan negara terbaharunya Turkiye. Dan dalam perancangan jumlah negara akan ditambah sesuai dengan matlamat pertandingan ini  untuk mendunia. 

Walaupun bahasa menjadi penghalang, namun peserta dari Turkiye dan Filipina sanggup belajar bahasa Indonesia dan mereka mempunyai ilmu vokal yang membanggakan. Cuma dari segi sebutan ada sedikit janggal.

Jika pertandingan itu berkonsep nyanyian bebas, bukan mustahil penyanyi dari Turkiye dan Filipina berpeluang menjuarainya.

Hanya Hazman Sanjaya yang mampu sampai ke peringkat Top 9, DAA musim 6

Walaupun saingan peserta Turkiye telah berakhir hingga ke peringkat Top 9, namun dua peserta dari Filipina dijangka memberi persaingan sengit untuk menjadi tiga peserta peringkat akhir pada hujung Ogos 2023. 

Persembahan para peserta setiap negara semakin baik termasuk dari Thailand dan Timor Leste. 

Ini memerlukan Malaysia membuat persiapan rapi dalam menghantar peserta ke DAA pada masa akan datang.  Siapa penyanyi dangdut yang dihantar perlu dibuat awal dan diberi latihan secukupnya.

Malaysia perlu kekal sebagai negara kedua Indonesia yang mempunyai pengaruh muzik dangdut terhebat. 

Memang untuk Malaysia mengatasi kedudukan Indonesia dalam muzik dangdut hampir mustahil. Namun Malaysia tidak harus tergesel daripada kedudukannya di tangga kedua.

Beberapa negara sudah semakin kuat menguasai dangdut terutama Turkiye dan Filipina. - KitaReporters

14
11
0
8
0

Copy Link: