Kredit foto-foto: IG Siti Nurhaliza @ctdk


PENYANYI tersohor Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin, 43, kini melakukan konsert bukan untuk tujuan keuntungan peribadi semata-mata, sebaliknya juga untuk tujuan amal bagi membantu kewangan pihak yang memerlukan di dalam dan luar negara.

Hasil kutipan jualan tket akan dimasuk ke dalam tabung Yayasan Nurjiwa yang kemudian diserah kepada pihak yang memerlukan. Hasil konsert amal yang dilakukan Siti Nurhaliza berharap dapat mengumpul dana amal sekurang-kurangnya RM1 juta.




Selain memberi sumbangan dalam negeri, Siti Nurhaliza dan suaminya Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa (Datuk K) turut memberi sumbangan amal kepada beberapa pihak yang memerlukan. 

Salah satu ialah membuka sekolah pendidikan awal kanak-kanak atau taman didikan kanak-kanak (tadika) yang diberi nama Afwa & Aafiyah di Gaza, Palestin, hampir setahun lalu

Nama sekolah diberi sempena nama kedua-dua anak mereka dan diurus oleh rakan mereka yang merupakan orang tempatan di Gaza.

Sekolah Pendidikan Awal itu yang kini mempunyai hampir 50 pelajar memerlukan biaya sekurang-kurangnya RM10 ribu sebulan.



"Alhamdulillah, setiap bulan saya dan suami secara peribadi serta Yayasan Nurjiwa membuat sumbangan untuk keperluan sekolah itu. Kita nak berterusan dan semuanya daripada kami. 

"Kalau ada rezeki lebih, contoh setiap kali saya ada persembahan, menjadi duta, memang saya peruntukan, agihan zakat saya atau apa, untuk dibahagikan juga kepada pembelajaran kanak-kanak di sekolah itu. Sekarang sudah ada hampir 50 pelajar.

"Buat masa sekarang, sekolah itu diuruskan oleh sahabat baik kami di sana. Dia akan mengemas kini apa saja aktiviti pelajar di sana, seperti pengajian, ujian, hafazan, peperiksaan, malah ketika hari jadi saya dan kedua-dua anak, mereka mengadakan doa selamat di sana.

'Sekolah ini sudah hampir setahun beroperasi. Setakat ini kami menyewa tempat dulu termasuk tenaga pengajar pun kita yang bayar. Setiap bulan memang diperuntukkan RM10,000, kadang lebih dari itu, sebab ada nak beli buku dan sebagainya. Tapi amaun itu memang tetap," katanya.


Sebahagian pelajar sekolah pendidikan awal kanak-kanak atau tadika Afwa & Aafiyah di Gaza, Palestin. - Kredit foto: IG CTDK 


Menurut Siti, dia dan Datuk K memasang impian untuk ke Gaza bagi melawat sekolah yang mereka tubuhkan itu.

"Rasa nak pergi, dan menjadi impian saya dan suami nak ke sana. Insya-Allah, bila keadaan mengizinkan.

"Insya-Allah, nak dirikan sekolah sendiri juga. Macam yang saya cakap, apabila ada rezeki dan ramai membantu, boleh menjadi kenyataan. Lebih daripada itu kita boleh buat," katanya. 

Siti Nurhaliza bercakap kepada petugas media dalam sidang media ‘Music of The Soul: An Evening with Dato' Sri Siti Nurhaliza’ di Kuala Lumpur petang Selasa, 19 Julai 2022.


Antara kegiatan pelajar di Gaza yang dibiayai Siti Nurhaliza dan Datuk K


Menurut Siti Nurhaliza, konsert ‘Music of The Soul: An Evening with Dato' Sri Siti Nurhaliza’ pada 5 dan 6 November 2022 adalah persembahan amal bagi mengutip dana yang akan disalurkan terus ke Yayasan Nurjiwa.

Dia berharap persembahan amal selama dua malam itu dapat mengutip sumbangan sebanyak RM1 juta.

"Sasaran kutipan RM1 juta untuk dua malam (5 dan 6 November 2022), semua untuk Yayasan Nurjiwa. Tapi kalau orang perseorangan atau syarikat yang nak buat sumbangan pun boleh tak ada masalah, kita terbuka. 

"Sebab sekarang pun kita masih kutip dana di bawah Tabung Bantuan Khas Bencana Alam, Palestin dan Covid-19 dengan kerjasama Kita Fund.

"Dana daripada yayasan ini bukan khusus untuk sekolah Afwa & Aafiyah saja, tapi kita bantu juga rakyat Malaysia, mana yang terkesan dengan banjir, Covid-19 dan yang nak membina masjid.

"Kutipan dana ni pun bukan pertama kali, sebelum ini saya sudah dua tiga kali mengadakan persembahan sebegini. Selain itu masyarakat juga ada menyumbang menerusi tabung yang dilancarkan.

"Pada mulanya nak buat setakat musibah dan bencana saja, tapi fikir balik teruskan saja dan bergabung dengan Yayasan Nurjiwa. Kalau diikutkan hasil dari jualan tiket, setelah kos, memang salurkan ke Yayasan Nurjiwa. Macam mana nak bahagikan, nanti pihak yayasan akan bahagikan. Jadi, kutipan persembahan ini juga bukan untuk sekolah kami di Gaza saja, tapi khusus untuk semua," kata Siti Nurhaliza.



Sebelum ini, antara persembahan amal yang pernah dijayakan Siti Nurhaliza bagi disalurkan ke Yayasan Nurjiwa adalah ‘Konsert Satu Dato' Siti Nurhaliza’ (2009) dan ‘Dato' Siti Nurhaliza Live In KLCC: Where The Heart Is’ (2014).

‘Music of The Soul: An Evening with Dato' Sri Siti Nurhaliza’ bakal diadakan pada 5 dan 6 November 2022 di Dewan Planery, KLCC.

Tiket-tiket berharga RM188, RM288, RM388, RM488, RM588, RM688, RM788, RM888, RM988 dan RM1,188. Boleh didapati dengan menghubungi Myticket.com.

Bintang rock, Awie menjadi bintang jemputan. - KitaReporters


15
12
0
9
0

Copy Link: