Sasaran lawan habis-habisan! Harimau B22, Changsuek Muda bertempur! Demi tiket ke Uzbekistan!
Published byHARIMAU B22 (jersi kuning), yang mencapai kemenangan 1-0 terhadap Mongolia, akan berdepan Thailand yang jauh lebih berkualiti dan berdaya saing. - Kredit foto: FAM
CUKUPKAH bermain dengan sasaran seri sahaja? Strategi itu memang tampak yang paling selamat untuk melayakkan skuad Bawah 22 Tahun Malaysia ke pusingan akhir Piala Asia Bawah 23 Tahun AFC di Uzbekistan pada Jun 2022.
Sekalipun menerajui Kumpulan J Kelayakan Piala Asia B23 di Ulaanbaatar, Mongolia setelah mengumpul enam mata, pilihan itu masih bukan satu-satunya yang diingini ketua jurulatih Harimau B22.
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan skuad Harimau B22
NUR Azfar Fikri Azhar (dua dari kiri) pintar menghidu dan menyambar peluang ketika menyumbat dua gol kemenangan skuad B22 negara. - Kredit foto: FAM
Bradley Maloney sebaliknya mahu anak-anak buahnya kekal dengan pelan permainan seperti mereka menewaskan Laos dan Mongolia 1-0 di Stadium MFF, Ulaanbaatar pada 25 dan 28 Oktober 2021 lalu.
“Kami sudah mencapai dua sasaran dalam dua perlawanan awal. Matlamatnya sama sahaja dengan perlawanan terakhir ini (dengan Thailand, 31 Oktober 2021).
“Tidak banyak yang perlu diubah. Kami kekal dengan pelan dan prinsip yang sudah berhasil buat kami setakat ini,” kata warga Australia ini dalam rakaman audio untuk wakil media Malaysia.
BRADLEY Maloney (kanan) bersama-sama barisan penolong jurulatih B22 negara turut berdepan dengan kesukaran bermain dalam suhu 3 darjah Celsius dan padang rumput tiruan di Ulaanbaatar.
Thailand bangkit daripada kehampaan diikat tuan rumah 1-1 pada 25 Oktober lalu dengan membenam Laos 3-0, tiga hari kemudian menerusi jaringan Jakkit Palapon, Thanawat Suengchitthawon dan Korawich Tasa.
Maloney berkata, Changsuek (Gajah Perang) Muda tetap amat dihormatinya sebagai pilihan utama Kumpulan J yang memandang serius Kelayakan Piala Asia B23 ini.
“Mereka membawa balik beberapa pemain yang berpangkalan di kelab luar negara dan berkualiti. Namun kami tidak khususkan pemain-pemain tertentu, kami layan mereka sebagai sebuah pasukan,” katanya.
MUKHAIRI Ajmal Mahadi (7) memimpin barisan belia Malaysia dengan cukup baik dan berkesan menentang Laos dan Mongolia. - Kredit foto: FAM
Maloney mengakui biarpun kelebihan kini seperti berpihak kepada Malaysia, saingannya belum berakhir dan anak-anak buahnya diingatkan bahawa mereka masih mempunyai tugas untuk memastikan tiket ke pusingan akhir.
Beliau walau bagaimanapun tidak sesekali terikut-ikut dengan rungutan ketua jurulatih Thailand B22, Worrawoot Srimaka mengenai keadaan padang berumput tiruan di stadium itu yang menyukarkan permainan mereka.
“Kami tahu keadaannya akan sama buat semua pasukan. Ini sesuatu yang di luar kawalan kami. Memang sukar bermain begini tetapi kami hanya mahu teruskan saingan dan buat sedaya upaya,” katanya.
QUENTIN Cheng Jiun-Ho (kiri) mempamerkan kerja keras dalam melancarkan serangan terhadap Mongolia (jersi biru). - Kredit foto: FAM
Skuad B22 negara memperoleh dua golnya menerusi sayap, Nur Azfar Fikri Azhar masing-masing setelah menyudahi umpanan lintang Quentin Cheng Jiun-Ho pada minit ke-68 dan tandukan daripada sepakan sudut Mukhairi Ajmal Mahadi, minit ke-40.
Juara setiap kumpulan kelayakan ini layak ke Uzbekistan dan sekiranya berkesudahan di tempat kedua, perlu memastikan tiket pusingan itu sebagai antara empat naib juara terbaik daripada 11 kumpulan. - KitaReporters
MOHAMAD Hakimi Abdullah (17) hampir membolosi gawang Mongolia dan wajar dipertaruhkan lagi untuk menentang Thailand. - Kredit foto: FAM
HARIMAU B22 berdepan misi getir untuk memastikan tiket pusingan akhir Piala Asia B23 ke Uzbekistan. - Kredit foto: FAM