Kes gangguan seksual: Ayah penerjun dedahkan! Dhabitah pernah mengadu! Ada jurulatih yang gatal!
Published byNur Dhabitah Sabri. - Kredit foto: IG Nur Dhabitah Sabri.
KES gangguan seksual yang didakwa berlaku dalam kem sukan terjun negara bukan rahsia dalam kalangan atlet kerana ia pernah dimaklumkan oleh penerjun negara, Nur Dhabitah Sabri kepada keluarganya.
Ayah penerjun berkenaan, Sabri
Hashim, berkata, Dhabitah pernah memberitahunya mengenai perangai tidak sopan seorang
jurulatih yang disifatkan oleh atlet itu sebagai 'gatal' menyebabkan beliau dan
isterinya, Fazidah Jaafar sentiasa memantau ketat anak mereka itu.
“Apa yang didedahkan oleh Pandelela baru-baru ini memang berlaku. Bitah pernah beritahu saya akan hal ini, katanya, ada seorang jurulatih yang agak 'gatal' dalam pasukan itu.
“Saya bertanya Bitah adakah jurulatih itu pernah menganggunya tapi Bitah menjawab tidak sebaliknya rakan-rakannya yang jadi mangsa. Jadi, saya tidak bertanya lebih lanjut apakah bentuk gangguan yang dimaksudkan oleh anak saya itu.
“Walau bagaimanapun sejak itu, saya memantau rapat latihan anak saya demi mengelak dia daripada menjadi mangsa. Mungkin kerana saya atau isteri sentiasa menemani Bitah walau di mana pun dia berlatih termasuk di luar negara, jurulatih berkenaan tidak berani mengambil kesempatan,” kata Sabri.
Lagi cerita-cerita jenayah berkaitan gangguan seksual
Sabri dan isterinya, Fazidah sentiasa menemani Dhabitah bagi memastikan keselamatan dan keselesaan atlet itu.
Menurut Sabri, beliau tidak akan berkompromi dengan kes sedemikian jika ia berlaku ke atas Dhabitah sebaliknya akan segera mengambil tindakan.
“Kalau ia berlaku ke atas Bitah, saya tidak akan berdiam diri, saya akan pastikan jurulatih itu dikenakan tindakan, tak kisahlah walaupun dia jurulatih terbaik sekali pun, saya tak rela anak saya menjadi mangsa,” tegas Sabri.
Isu gangguan seksual dalam kem sukan terjun negara menjadi perhatian sejak ia didedahkan oleh penerjun negara, Datuk Pandelela Rinong baru-baru ini.
Menurut Pandelela, jurulatih berkenaan kerap membuat lawak berunsur lucah kepada dirinya dan penerjun lain namun tidak ada tindakan diambil ke atas individu berkenaan kerana dia dilindungi oleh ketua jurulatih.
Ciapan Pandelela pada 21 Oktober, 2021 yang mendedahkan gangguan seksual yang pernah dialaminya.
“Dulu ada seorang coach (jurulatih) ni suka buat lawak lucah, saya buat diam je, tak pun fake laugh (buat-buat gelak) sebab takut dia. Pernah sekali tak tahan saya tegur dia, tapi kena buli balik. Tujuh tahun kemudian dia (jurulatih) buat (didakwa) kes rogol.
“Tapi paling sedih dalam tempoh tujuh tahun itu dia buat hal setiap tahun. Kami atlet tak boleh buat apa-apa, sebab ‘back-up’ (pelindung) besar dia adalah ketua jurulatih kami sendiri,” dedah Pandelela menerusi Twitter.
"Saya berkongsi pengalaman 'kurang baik' ini untuk memberi kesedaran kepada orang awam dan memberikan sokongan kepada mangsa di luar sana, yang sentiasa berada dalam dilema, sama ada untuk bercakap atau berdiam diri,” tambahnya.
Ciapan Ahmad Faizal mengenai isu lawak lucah yang didedahkan oleh Pandelela.
Pendedahan Pandelela itu mendapat perhatian ramai, yang mendesak agar Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menyiasat perkara itu walaupun jurulatih dimaksudkan sudah tidak berkhidmat dengan skuad terjun negara. Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu kemudian memberi jaminan akan menyiasat dakwaan Pandelela itu.
“Saya sudah mula buat panggilan
sendiri secara peribadi. Sebagai menteri saya sudah jumpa beberapa atlet, saya
tanyakan tentang perkara ini dan sebagainya. Mungkin tak sesuai untuk saya
hebahkan perkara ini.
“Tetapi saya hanya mahu memahami situasi keseluruhannya, kenapa tiba-tiba pula setelah sekian lama, Lela (Pandelela) keluarkan kenyataan itu.
"Saya juga ingin menghubungi mantan Menteri Belia dan Sukan (Khairy Jamaluddin) sebab saya percaya dia juga mempunyai pandangan atau maklumat tentang perkara ini," kata Ahmad Faizal.
Pandelela dan Dhabitah.
Sementara itu dalam jawapannya pada persidangan Parlimen pada Selasa, 26 Oktober 2021, Ahmad Faizal berjanji akan memastikan apa yang berlaku ke atas Pandelela tidak akan berulang.
“Saya mesti memastikan kejadian buruk (yang telah berlaku) kepada Pandelela, (tidak lagi berlaku) kepada mana-mana atlet, kerana kita mesti pertahan anak-anak kita,” katanya.
Jaminan Ahmad Faizal itu dipersetujui Sabri yang menganggap gangguan seksual perlu dibanteras walaupun ia sekadar gurauan atau lawak lucah.
“Walaupun perkara ini sudah lama berlaku dan hanya didedahkan oleh Pandelela sekarang, saya berharap KBS tetap melakukan siasatan. Memang, jurulatih yang didakwa itu pun sudah tidak bersama pasukan tapi kes ini boleh dijadikan panduan agar ia tidak berulang.
“Sebagai keluarga, kami mahu anak kami sentiasa dalam keadaan selamat dan tidak menjadi mangsa kepada keadaan sebegitu,” kata Sabri. - KitaReporters
Gara-gara dedah gangguan seksual, Cindy Ong terima video lucah pula! Lapor kepada polis, SKMM! - KitaReporters