ELOKLAH buat pertunjukan sarkas sepak takraw jika mahu wujudkan sepak takraw campuran! Sekalikan juga dengan acara beregu, gelung dan kuadran mahupun chinlone. Pedas sindiran mantan Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Seri Zolkples Embong ini terhadap hasrat Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa dan Asia (Istaf dan Astaf) itu. : KitaReporters

Istaf mahu wujudkan sepak takraw campuran dalam Sukan SEA? Mengarut, kata Zolkples Embong. 


"Kalau kejohanan sepak takraw khusus anjuran Istaf atau Astaf dan ahli gabungannya, ciptalah macam-macam acara sepak takraw yang mereka suka sampai berpuluh-puluh pun.

"Tetapi jagalah kualiti, taraf dan prestij sukan itu dalam temasya sukan besar seperti Sukan SEA, Sukan Asia serta Sukan Dalam Dewan dan Seni Tempur Asia (AIMAG).

"Secara peribadi saya hanya mengiktiraf regu berpasukan dan antara regu sebagai acara sepak takraw yang sesuai dipertandingkan pada temasya-temasya besar itu,” katanya.

ZOLKPLES EMBONG


Setiausaha Agung Istaf, Abdul Halim Kader, baru-baru ini mengumumkan cadangan memasukkan acara campuran (lelaki dan wanita) ke AIMAG di Thailand (22 hingga 29 Mei 2021), mahupun Sukan SEA Ke-31 di Vietnam (21 November hingga 3 Disember 2021)

AIMAG yang satu ketika dulu hanya dikenali Sukan Dalam Dewan Asia, pernah menawarkan dua pingat emas gelung (lelaki dan wanita) dalam edisi 2005, 2007 dan 2009.

Namun kewujudan acara campuran yang meliputi regu, beregu dan kuadran termasuk berpasukan, mampu membawa sehingga 11 emas sebagai rebutan negara peserta, kata Halim yang juga Presiden Astaf.

ABDUL HALIM KADER


Beregu ialah permainan dua lawan dua, kuadran pula berempat seperti mana acara pantai, manakala chinlone ibarat sepak raga bulatan ciptaan Malaysia tetapi berasal dari Myanmar manakala gelung atau hoop karya Thailand.

Hoop dimainkan oleh lima pemain yang perlu memasukkan bola ke dalam gelung yang digantung setinggi antara 4.50 dan 4.75 meter dengan sepakan, tandukan atau membahu dan setiap pasukannya bersaing secara berasingan. 

VIDEO aksi perlawanan sepak takraw campuran antara regu wanita Malaysia dan petugas media di Kuala Lumpur 


“Saya meragui kesediaan Majlis Olimpik Asia (OCA) untuk menerima sepak takraw campuran dalam AIMAG. OCA pun patut hanya utamakan sukan-sukan yang dibangunkan lebih sebagai persediaan atlet-atlet benua ini ke Sukan Olimpik.

TENAGA, kedudukan dan giliran pemain wanita dalam melibas dan mengadang, antara aspek yang cuba dikupas dan diperhalusi  Istaf sebelum menyarankan acara campuran ke AIMAG dan Sukan SEA 2021. 


“Sukan SEA Filipina 2019 memperkenalkan acara lari berganti-ganti campuran (4x100 dan 4x400 meter) tetapi adakah wajar? Akan datang, ada pula tuan rumah yang wujudkan 4x50, 4x200, 4x800m?

"Kenalah ada had dan kawalan. Nanti macam renang pun ada lebih banyak acara baharu atau sukan-sukan lain yang negara tuan rumahnya handal supaya kaut lebih banyak pingat emas,” kata Zolkples.

Tegasnya, membandingkan sepak takraw campuran dengan beregu campuran badminton pastinya ibarat jauh panggang daripada api, biarpun kedua-dua sukan tersebut mempunyai sedikit ciri persamaan seperti saiz gelanggang dan kiraan mata.

LIBASAN bola sepak takraw oleh atlet lelaki terlalu laju dan sukar ditampan oleh atlet wanita (kiri) malah tidak boleh dibandingkan dengan beregu campuran badminton. 


“Servis atau smash pemain badminton lelaki masih boleh diangkat dan dijawab pemain wanita kerana pergerakan bulu tangkisnya lain. 

"Kalau tenis pun, pukulan bolanya yang lebih 100 kilometer lajunya oleh atlet lelaki, masih mampu disambut wanita.   

"Tetapi servis dan libasan bola pemain sepak takraw lelaki yang jauh lebih deras tidak mungkin dapat disambut, dihadang atau dibalas pemain wanita.

"Hendak letak seorang tekong lelaki, dua apit wanita atau dua lelaki, seorang tekong wanita dalam sesebuah regu campuran? Memang mengarut!” katanya. - KitaReporters

0
0
0
1
0

Copy Link: