Ulang tahun ke-37 TV3! Jom rakyat Malaysia baca Yasin! 6.30 pagi 1 Jun! Bersama Tanyalah Ustaz!
Published byPada 1 Jun 2021, stesen televisyen nombor satu Malaysia, TV3 menyambut ulang tahun yang ke-37 sejak mula beroperasi pada tahun 1984.
Sehubungan itu, program agamanya yang tidak asing lagi, ‘Tanyalah Ustaz’ menjemput semua rakyat Malaysia beragama Islam untuk sama-sama membaca Surah Yasin secara serentak di seluruh negara untuk kesejahteraan Malaysia yang kini sedang berdepan pandemik COVID-19, sekali gus mendoakan keselamatan rakyat Palestin.
Bacaan Yasin ini akan dibawakan oleh tiga pendakwah terkenal, Ustaz Sheikh Abdul Karim Al-Makki, Ustaz Prof. Madya Dr. Mohd Farid Ravi Abdullah dan Ustaz Mohamad Zarifi Mohamad Daud.
‘Tanyalah Ustaz’ melalui episod istimewa iaitu ‘Sampaikan Walau Satu Ayat’ akan bersiaran pada pukul 6.30 pagi bersama hos Da’i Hadhari dan Da’i Hakim.
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan TV3
Penonton juga boleh turut serta memeriahkan ulang tahun ini dengan berkongsikan pengalaman melalui video dan gambar bersama keluarga menerusi tanda pagar #tv3ulangtahun37 #BacaanYasinTanyalahUstaz #kesejahteraannegara di laman sosial untuk sama-sama mengimarahkan majlis.
“Terima kasih kepada jutaan penonton yang kekal setia bersama TV3 selama 37 tahun dan kami berharap agar anda terus mendapat manfaat dan terhibur dengan kepelbagaian program yang disajikan. Drama dan program terbitan TV3 juga dipasarkan ke pasaran antarabangsa menerusi kolaborasi dengan pemain-pemain utama dalam industri penyiaran mahupun platform digital,” ujar Ketua Pegawai Eksekutif Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad, Dato Khairul Anwar Salleh (gambar bawah) sempena sambutan ulang tahun ke-37 stesen televisyen yang menjadi pilihan utama dalam kalangan rakyat Malaysia itu.
Menurut Khairul, ketika rakyat Malaysia sedang memerangi pandemik Covid-19, TV3 tidak lupa akan tanggungjawab sosial korporatnya dengan menyalurkan info terkini dan saranan kerajaan menerusi slot berita, bual bicara dan dokumentari faktual.
Terkini, kru Majalah 3 telah membuat liputan eksklusif di PKRC MAEPS, Serdang dan Hospital Sg.Buloh, memaparkan kisah sebalik tabir petugas barisan hadapan bertungkus lumus berjuang menyelamatkan nyawa pesakit kritikal Covid-19.
“Paling meruntun jiwa adalah saat-saat akhir pesakit kritikal berkomunikasi dengan keluarga mereka. Episod ini mencapai 4 juta penonton ketika disiarkan pada pukul 9.00 malam, 17 Mei 2021 lalu,” tambah Khairul.
Sepanjang beroperasi 37 tahun, TV3 telah menerbitkan pelbagai genre program yang meraih jumlah penonton tertinggi antaranya, Buletin Utama, Anugerah Juara Lagu, Anugerah Bintang Popular Berita Harian, Anugerah Skrin, Majalah 3, Jejak Rasul, I Can See Your Voice Malaysia, Lagu Cinta Kita 2 serta Vokal Mania dan juga drama-drama popular seperti 7 Hari Mencintaiku, Kampung People, Takdir Yang Tertulis serta Melastik Ke Hatimu.
Drama 'Masih Ada Rindu' lakonan Farid Kamil dan Mimi Lana.
Terbaharu dan yang akan disiarkan pada 2 Jun nanti, slot Akasia akan menampilkan drama bersiri, “Masih Ada Rindu’ gandingan baharu Farid Kamil dan Mimi Lana, setiap hari Isnin hingga Jumaat, pukul 7 malam, menggantikan drama 'Sabarlah Duhai Hati' lakonan Amyra Rosli dan Saharul Ridzwan.
Drama mengisahkan tentang pasangan suami isteri yang disatukan tetapi masih dibayangi dengan hubungan yang lepas, apatah lagi isterinya hidup dalam memori indah bersama arwah suaminya.
Bagaimanakah mereka mengharungi dugaan dalam melayari bahtera perkahwinan itu? Segalanya akan terjawab dalam ‘Masih Ada Rindu’ nanti ya!
Selamat Ulang Tahun TV3! - KitaReporters