RYUJI Sato (kiri) menyalahkan Brendan Gan (kanan) atas tujahan kakinya terhadap pemain Vietnam, Nguyen Van Toan. - Kredit foto: FAM


"SAYA tidak tengok insidennya sebab berlaku pantas. Keputusannya pada pengadil (Ryuji Sato) dan saya tidak boleh ubah apa-apa," kata ketua jurulatih negara, Tan Cheng Hoe.

Agak bercanggah dengan pengurus pasukan Harimau Malaya, Datuk Wira Mohd. Yusoff Mahadi

"Lenggok tubuh Brendan Gan selepas pengadil berikan penalti, saya tengok dia duduk. Memang ada sentuhan dengan pemain Vietnam (Nguyen Van Toan). Penalti atau tidak? Brendan sedar dia melakukan kesalahan," katanya.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan Harimau Malaya

KESEBELASAN utama Harimau Malaya yang buat kali pertama, mengalami lima pertukaran pemain menentang Vietnam. - Kredit foto: FAM


Sepakan penalti minit ke-82 yang disudahkan oleh Que Ngor Hai itu meleburkan langsung sisa-sisa peluang Malaysia untuk menyambar satu mata sekurang-kurangnya dalam saingan Kumpulan G Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023, pada 11 Jun 2021.

Vietnam kekal mendahului kumpulan tanpa kalah dengan kemenangan 2-1 di Stadium Maktoum Rashid Al Maktoum, Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) biarpun gol penalti penyerang naturalisasi Malaysia, Guilherme de Paula sempat mengikat Vietnam 1-1 minit ke-72.


GUILHERME de Paula mulanya dikasari dalam perebutan bola di udara dan berjaya menyempurnakan sepakan penalti untuk gol penyamaan Malaysia. - Kredit foto: FAM


Namun 'Si Naga Emas' mendahului menerusi tandukan Nguyen Tien Linh pada minit ke-27 hasil sepakan penalti dari sebelah kanan gawang Malaysia.

“Bola sepak sentiasa berkaitan kerja sepasukan. Saya tidak boleh salahkan satu dua pemain kerana kalah perlawanan. Kami perlu perbaikinya, terus bekerjasama dan beraksi dengan lebih kuat sebagai satu pasukan," ujar Cheng Hoe.

Harimau Malaya menurutnya, cuma kurang bernasib baik apabila melepaskan gol dengan bola mati sepakan sudut dan penalti.

"Saya gembira dengan prestasi pasukan negara yang meningkat tetapi perlawanan ini bukan mudah.

”Setiap pemain amat tekun dan berdisiplin. (Kami kalah) mungkin kerana peralihan dan hilang tumpuan kepada sepakan sudut dan asakan (gol kedua lawan dalam kotak penalti),” katanya dalam sidang media pascaperlawanan. 

Akuinya, pasukan negara kini berpeluang amat tipis untuk ke pusingan ketiga Kelayakan Piala Asia setelah terpaksa mengucapkan selamat tinggal kepada pusingan akhir Piala Dunia 2022 di Qatar.


TAN Cheng Hoe (baju putih) terpaksa akur dengan strategi jurulatih Vietnam, Pak Hang-seo (tiga dari kiri) yang sudah memenangi empat daripada lima pertemuan pasukan mereka sejak 2018. - Kredit foto: FAM


Jika berjaya menewaskan Thailand pada Selasa, 15 Jun 2021 ini di stadium sama, maka Malaysia akan layak ke pusingan ketiga Kelayakan Piala Asia sebagai antara lapan pasukan tempat ketiga pusingan kedua ini.

Jika kalah dan masih di tempat keempat Kumpulan G ini, Harimau Malaya perlu berharap untuk muncul antara empat pasukan terbaik di posisi itu dengan tujuh lagi kumpulan tetapi kalau masih gagal, terpaksalah melalui play-off (dua perlawanan timbal balik dengan satu pasukan sahaja) untuk merebut baki lapan slot ke pusingan ketiga.

Hanya juara dan naib juara setiap kumpulan yang mengandungi empat pasukan setiap satu, akan meraih 12 tiket pusingan akhir Piala Asia 2023.


YUSOFF Mahadi (baju gelap, barisan tengah) menyaksikan aksi Harimau Malaya dijinakkan Vietnam 2-1 dari grandstand. - Kredit foto: FAM  


Yusoff turut kecewa dengan kekalahan kedua berturut-turut ini selepas dibelasah UAE 4-0 di Stadium Zabeel, Dubai pada 3 Jun 2021 lalu.

"Saya harapkan keputusan baik, setidak-tidaknya seri (namun) ditumpaskan jaringan penalti," katanya.

Beliau menggesa pasukan negara kembali bangkit apabila menentang Thailand dengan menganggapnya perlawanan hidup atau mati. 

"Tidak boleh ada apa-apa alasan lagi. Semua orang kecewa sejak perlawanan persahabatan lagi (dikalahkan Kuwait 4-1 dan Bahrain 2-0 pada 23 dan 28 Mei 2021 lalu) kerana pasukan tidak dapat keputusan positif," katanya. 

Inilah (menentang Thailand) maruah negara yang perlu ditebus sambil mengembalikan semangat pasukan, katanya yang juga Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).


MOHAMADOU Sumareh (13) tidak begitu menjadi menentang Vietnam dan terpaksa digantikan Arif Aiman Hanapi. - Kredit foto: FAM 


Dalam kelayakan 14 November 2019 di Stadium Nasional, Bukit Jalil, skuad Cheng Hoe menumpaskan Thailand 2-1 hasil jaringan Brendan dan Mohamadou Sumareh.

Tiga mata tersebut masih menjadi bekalan modal kita dalam Kumpulan G selepas enam mata ditolak daripada kemenangan 3-2 dan 2-0 pada 5 September dan 19 November 2019 terhadap Indonesia yang menghuni anak tangga corot selepas lapan perlawanan.

Ekoran penarikan diri Korea Utara dalam Kumpulan H, segala keputusan dengan pasukan corot kelapan-lapan kumpulan pusingan kedua ini tidak akan dikira sebagai penentu kelayakan ke Piala Dunia dan Piala Asia. 

Keputusan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) itu bertujuan mengimbangi Kumpulan H yang kini hanya dianggotai empat pasukan berbanding tujuh yang lain dengan lima pasukan. - KitaReporters 


SYAFIQ Ahmad (tiga dari kanan) sempat menguji penjaga gol Vietnam yang menepis tandukannya namun dia kemudian digantikan oleh Nazmi Faiz Mansor. - Kredit foto: FAM


PARA pemain negara sugul setelah berhabis-habisan memburu mata untuk meredakan sedikit kesedihan Tan Cheng Hoe yang kehilangan bapanya, Tan Chooi Siak, semalam 11 Jun 2021. - Kredit foto: FAM 

1
1
1
0
0

Copy Link: