Ingatan Sultan Selangor! Beraya dalam suasana norma baharu!
Published byRakyat di Selangor diingatkan supaya sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun 2020 ini dirayakan dalam suasana mengikut norma-norma baharu dengan mengubah suai amalan budaya biasa yang dipraktikkan selama ini. Amalan seperti kunjung mengunjung dan salam bersalaman tidak sesuai diamalkan buat masa ini bagi mengelakkan risiko penularan wabak COVID-19 yang masih ada di luar sana. : KitaReporters
Sultan Selangor, Sultan Sarafuddin Idris Shah Alhaj dan Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada umat Islam di Selangor dan seluruh negara pada perutusan sempena ketibaan 1 Syawal 1441 - Kredit foto: FB Pejabat Diraja Selangor.
Ingatan ini dititahkan oleh Sultan Selangor, Sultan Sarafuddin Idris Shah Alhaj pada perutusan Hari Raya Aidilfitri tahun ini yang disambut pada Ahad, 24 Mei 2020.
"Amalan budaya balik ke kampung khususnya yang memerlukan perjalanan merentas negeri juga haruslah dielakkan.
"Jangan berkumpul atau menganjurkan Majlis Rumah Terbuka yang hanya memungkinkan wujudnya kluster-kluster baru jangkitan," tegas baginda.
Sultan Selangor mengingatkan umat Islam di Selangor agar menyambut Hari Raya Aidilfitri tahun ini dalam suasana noma-norma baharu. - Kredit foto: Selangorkini.
Menurut media sosial Pejabat Diraja Selangor, perutusan tersebut dikeluarkan pada Isnin, 25 Ramadan 1441 Hijrah, bersamaan 18 Mei 2020.
Perutusan berkenaan juga turut dipaparkan dalam FB Jabatan Agama Islam Selangor ( JAIS ) dan media kerajaan negeri, Selangorkini.
Sultan Selangor bertitah, sekalipun statistik kes baru COVID-19 di negeri ini semakin menunjukkan penurunan, namun rakyat harus terus waspada dan mengambil langkah berjaga-jaga.
Baginda dan Raja Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin sempena ketibaan 1 Syawal 1441 Hijrah mengucapkan Selamat Menyambut Hari Raya Aidilfitri kepada rakyat yang beragama Islam di Selangor khususnya dan di Malaysia amnya.
Masjid Istana Diraja, Klang antara yang menarik seni binanya di Selangor - Kredit foto: FB Pejabat Diraja Selangor.
"Semoga amal ibadat yang kita lakukan sepanjang Ramadan diterima Allah S.W.T.
"Sempena bulan yang mulia ini, beta ingin mengingatkan agar semua rakyat memperbanyakkan ibadah serta menjauhi perbuatan tidak baik yang boleh mendatangkan fitnah dan berita palsu hingga memberi kesan tidak elok kepada masyarakat," titah baginda.
Sultan pada kesempatan tersebut juga menyeru orang Melayu terus bersatu padu, usah bertelagah dan jangan mengadu domba antara satu sama lain demi mengelakkan perpecahan.
Apa yang penting titah baginda, lebih-lebih lagi Aidilfitri kali ini disambut dalam suasana yang amat berbeza ketika umat Islam seluruh dunia kini diduga dengan penularan wabak berbahaya COVID-19.
Baginda juga pada perutusan tersebut tidak lupa sentiasa berdoa agar Negeri Selangor dan rakyatnya terus dipelihara Allah S.W.T. sebagai negeri yang maju, makmur, harmoni serta dijauhi malapetaka, bencana dan segala musibah tidak diingini. - KitaReporters