Video| Gabungan AC Mizal, Damien lahirkan Mine! Makbulkan impian bapa-anak! Untuk nyanyi bersama!
Published byKE MANA tumpahnya kuah jika tidak ke nasi lebih enak disebut daripada peribahasa 'bapa borek anak rintik', namun kedua-duanya terarah ke satu maksud yang lebih kurang sama menepati kisah di sebalik pembabitan Dato AC Mizal, 49, dalam single sulung anaknya, Muhammad Reeve Damien, 18, berjudul, “Mine”.
Legasi yang diteroka oleh suami kepada Datin Emylia Rosnaida ini sejak menganggotai kumpulan rap 4U2C yang meledak pada era 90-an ternyata mempunyai kesinambungan apabila impian anak mahupun ayah menyanyi bersama (duet) termakbul.
Lagi kisah-kisah menarik berkaitan berduet
AC Mizal atau lebih popular dengan gelaran DAC atau panggilan AC melahirkan rasa bersyukur apabila anaknya yang selesa dipanggil Damien mendapat lamaran daripada syarikat Universal Music.
"Penantian bertahun-tahun yang saya pendam dan harap, benar-benar direalisasikan. Akan datang saya dan dia akan berada di satu pentas membuat persembahan. Ia rasa yang tak terungkap dengan kata-kata," ujar pemilik nama sebenar Mizal Zaini ini.
Menurut AC yang kali terakhir tampil dengan lagu ‘Itu Saja’ pada tahun 2017, gandingan pertembungan dua generasi ini tidak pernah dijangkakannya berlaku dan tersusun cantik.
“Single pertama anak saya menyatukan kami dan menjadi sisi lain yang buat tersentuh hati dan terharu. Lagu ini sepatutnya dilancarkan tahun lalu (2020) tetapi siapa mampu menebak, dunia diserang wabak COVID-19 hingga sekatan pergerakan dilaksanakan.
"Setahun juga menanti kerana perlu berdepan beberapa siri penangguhan,” jelas AC.
Namun katanya, penantian sekian lama cukup berbaloi biarpun harus menempuhi situasi tak terduga pandemik COVID-19 sehingga melengahkan tempoh waktu perancangan asal pelancaran ‘Mine’.
“Segala serbi mengenai pembabitan dan perjalanan proses pembikinan lagu ini membuatkan saya teruja dan bangga. Semuanya dibuat dengan teliti,” tambah AC sambil memberitahu Mine juga melihat pertaruhan anaknya sebagai penerbit lagu, penulis lirik selain menyumbangkan vokal.
Mine yang bernuansa Pop R&B dan hip hop dicipta khas oleh Adam E, Freddie Laut dan ADL manakala nukilan lirik pula gabungan idea Damien, AC di samping Adam E dan ADL.
Malah, pelakon francais drama dan filem Gerak Khas itu juga bangga melihat Damien cukup bersedia dengan setiap proses dari A hingga Z.
“Saya serahkan tanggungjawab memberi nyawa untuk lagu ini kepada anak. Lagipun anak saya lebih arif dengan apa yang dirasakan sesuai pada zaman sekarang," kata AC yang dikenali sebagai seorang artis yang mementingkan kesempurnaan dan tidak mahu sesebuah projek itu dibuat asal boleh tetapi mahu ia dihasilkan sesempurna mungkin.
Pendek kata, bunyi, susunan lagu dan video muzik sampai pada paras kepuasannya.
"Ternyata anak saya seperti lulus dengan baik untuk percubaan sulungnya ini. Tak banyak aspek yang perlu diubah. 'Feel' yang dizahirkannya dalam lagu ini juga kena. Saya sendiri juga turut menyanyi rap dengan suntikan elemen yang baru dan tidak seperti kebiasaan.
"Kami masing masing mengimbangi bahagian nyanyian secara sama rata. Tiada siapa cuba 'overshadow'. Cuma saya mahu pengenalan untuk memperkenalkan anak dapat diterima dan diberikan ruang untuk dia menunjukkan potensi bakat sebenarnya,” sambung AC sambil mengucapkan terima kasih kepada rakan-rakan artis yang melayangkan ucapan tahniah mereka terhadap lagu 'MINE', antaranya Zizan Razak, Aina Abdul, Erra Fazira, Mark Adam dan Kaka Azraff.
Sementara itu, Damien berterima kasih kerana impian yang ditunggu-tunggu menjelma juga akhirnya dan bersyukur dapat bersama-sama bapa tersayang melengkapkan portfolio singlenya.
"Ia satu perasaan menakjubkan apabila impian yang dulu hanya angan-angan dapat direalisasikan. Saya sendiri mengikuti kelas belajar vokal dengan bapa lebih enam bulan. Lega rasanya penantian itu akan membuka lembaran dan cabaran baru," kata Damien.
Pemegang Diploma Pengajian Perniagaan di sebuah kolej dan akan melanjutkan pelajaran peringkat ijazah tahun depan (2022) tidak segan mendedahkan bahawa penceritaan di sebalik lagu ‘Mine’ diinspirasikan daripada kisah sebenarnya cuba berkenalan dengan seorang gadis melalui platform media sosial.
Mine menurut pemahaman Damien adalah sebuah karya cinta pada era moden termasuk sisi berdating dalam talian.
"Ia berbalik kepada kisah dan pengalaman sendiri menjejaki seorang gadis yang disifatkan menarik menerusi media sosial. Keinginan untuk mendekati dan menghantar teks kepadanya cukup kuat.
"Bagaimanapun usaha demi usaha diatur tidak dipedulikannya. Bayangkan perasaan mesej dihantar dalam media sosial dibiar sepi. Perasaan tergantung itu saya yakin ramai alaminya. Namun akhirnya, dia membalas dan memberi jawapan pasti. Momen itu buat saya takjub. Perasaan itu cukup indah apabila rasa cinta yang dizahirkan tidak bertepuk sebelah tangan," akhiri Damien panjang lebar. - KitaReporters