Video| Gusti Lengan 2021! Safuan jagoan 63kg! Rezeki anak Malik Khabib! Joffey, Jake kekal juara
Published bySAFUAN Asif (kanan) mengalahkan Iryan Syauqi Azhar dalam final tangan kiri Senior 63 kg.
TIADA yang lebih menggembirakan Mohammad Safuan Asif daripada menimang cahaya mata sulung pada 9 Disember 2021 dan menyambungnya dengan kejuaraan kategori Senior 63 kilogram tangan kanan dan kiri Kejohanan Gusti Lengan Kebangsaan 2021 pada 11 Disember 2021 pula.
Naib juara dunia 57kg di Rumia, Poland pada 2019 ini yang beralih kepada kategori 63kg, mengalahkan rakan sepasukan Putrajaya, Iryan Syauqi Azhar pada kedua-dua perlawanan akhir tangan kiri dan kanan di Hab Rekreasi Aman Tropicana, Teluk Panglima Garang, Selangor.
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan gusti
“Masuk ini sudah empat
kali berturut-turut saya juara kebangsaan. Tambah gembira pula tahun ini saya menyambut
kelahiran cahaya mata pertama kemudian menang dengan kategori baharu yang lebih
berat.
“Saya menamakan anak saya
Malik Khabib Safuan yang mengambil sempena nama bintang MMA (seni tempur
adunan), Khabib Nurmagomedov dari Rusia (bekas juara lightweight Kejuaraan Tempur
Ulung – UFC).
“Saya mahu dia mempunyai semangat juang seperti Khabib dan melatihnya menjadi penggusti lengan seperti bapanya,” kata Safuan, seorang kakitangan syarikat utiliti kelahiran Klang, Selangor.
SAFUAN Asif (dua dari kanan) menggayakan teknik gusti lengan ketika menerima pingat emas 63kg Kejohanan Gusti Lengan Kebangsaan 2021 daripada wakil penaja Dar Al-Arab, Emil Petrosyan (baju putih).
Mengenai kejayaannya dalam Kejohanan Kebangsaan edisi keempat ini, katanya, “sekalipun lawan saya, Iryan Syauqi Azhar rakan sepasukan Putrajaya, dia tetap berikan tentangan habis-habisan dan terbukti dia berpotensi dan meningkat.”
Setiap pemenang kategori
Senior kejohanan ini terpilih malah ditaja untuk mewakili Malaysia dalam Piala
Dunia Zioty Tur di Kuching, Sarawak pada Mac 2022, menurut Persekutuan Gusti
Lengan Malaysia (MyArm).
“Saya masih mahu beraksi dalam kategori 57kg dan akan cuba ambil diet untuk turunkan berat badan yang sekarang sudah mencecah lebih 60kg,” katanya yang mendirikan rumah tangga pada tahun lalu (2020).
JAKE Chia (kiri) cuba membuat tekanan sambil Nizar Yusof bertahan dalam final Senior keseluruhan tangan kiri.
Seorang lagi juara dunia
2019, Joffey Jolly dan juara kebangsaan, Jake Chia Jun Kit seperti diduga
mengungguli kategori 78 dan 95 kilogram masing-masing biarpun masing-masing
kempunan untuk menambah gelaran keseluruhan tangan kanan dan kiri.
Joffey menewaskan Jong Chi Joon dari Sarawak
untuk tangan kiri dan Mohamad Helmi Mohd. Hanapi (Johor) bagi tangan kanan manakala
Jake dari Putrajaya mengatasi rakan sepasukan, Saifulhisham Shaffie dan Frankie
Petrus (Sabah).
Seperti Safuan, penggusti lengan Sabah itu turut beralih kepada kategori 78kg berbanding 70kg ketika
bergelar juara dunia (kanan) namun dihampakan rakan sepasukan, Calveen Petrus dalam
final keseluruhan tangan kanan kerana perbezaan ketara berat badan lawan, 105kg
ke atas.
Jake pula kehilangan gelaran keseluruhan tangan kiri 2019 di Cyberjaya, Selangor juga kepada rakan sepasukan Putrajaya, Nizar Yusof yang lebih ringan, 86kg.
JOFFEY Jolly (kiri) ditentang sengit oleh Jong Chi Joon dalam final kiri Senior 78kg.
Pemenang-pemenang lain kategori berat badan Senior tangan kiri ialah Asri Anuar (Melaka, 57kg),
Dominic Johnny (Sarawak, 70kg), Nizar (Putrajaya, 86kg), Damsi Abdullah (Sabah, 105kg)
dan Calveen (105kg ke atas).
Pemenang lain Senior
tangan kanan termasuk Fikrie Asif (Putrajaya, 57kg), Mohd. Zil Fadli Abd.
Halim (Putrajaya, 70kg), Lukman Nurhakim Noor Jayadi (Johor, 86kg), Nickelson
Rony (Sabah, 105kg) dan Calveen (105kg ke atas).
Sebanyak 42 kategori berat badan dengan 201 atlet dari 14 negeri berentap pada kejohanan dengan yang dipertandingkan bagi tangan kiri dan kanan iaitu Senior Lelaki dan Wanita, Belia Bawah 21 Tahun, Remaja Bawah 18 Tahun dan Master.
JOFFEY Jolly (dua dari kiri) menayangkan pingat emas kategori 78kg kiri.
Kata Joffey, “bukan selalu saya boleh menang kerana akan ada lawan yang berlatih lebih keras untuk menandingi juara bertahan. Semakin berat saya menarik tangan, kelebihan makin berpihak kepada lawan (Calveen).
“Bagi Piala Dunia 2022, saya kena lebihkan stamina dan taktikal. Saya akan kembali kepada kategori lama 70 kg sebab dalam Kejohanan Kebangsaan, saya kena naikkan berat badan dan beri laluan kepada rakan sepasukan Sabah,” katanya.
CALVEEN Petrus juara keseluruhan tangan kiri Senior.
NIZAR Yusof merampas gelaran keseluruhan tangan kiri Senior.
Calveen berkata, “saya tidak sangka jadi juara keseluruhan tangan kanan. Agak gembira dapat kalahkan juara dunia tetapi ini disebabkan berat badan kami yang tidak setanding (78 lawan lebih 105kg).
“Saya sasarkan turun sehingga 95kg atau sekurang-kurangnya 105kg sahaja untuk menyertai Piala Dunia di Kuching. Taraf saingannya pasti berbeza dan kalau boleh, muncul antara lima teratas,” kata anak jati Kampung Habah, Penampang, Sabah ini.
Sabah muncul juara keseluruhan Kejohanan Kebangsaan 2021 dengan mengaut 13 pingat emas, 13 pingat perak dan tujuh gangsa diikuti Putrajaya yang bergelar naib juara, 12-11-11 dan tempat ketiga milik Sarawak, 12-7-8. - KitaReporters
PERTARUNGAN final keseluruhan tangan kanan Senior antara Calveen Petrus (kiri) dan Joffey Jolly.
JAKE Chia Jun Kit (tengah) diberikan tahniah oleh Emil Petrosyan, wakil penaja sebagai juara kategori 95gkg tangan kiri.