Poster promosi wakaf buku Bercakap Dengan Cermin yang dikendalikan oleh pasukan Dropshipper Bonda Nor. 


HATI berdebar sebelum tiba di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC), Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) di Serdang, Selangor baru-baru ini kerana membayangkan bagaimana agaknya situasi di sana.

Maklumlah hendak pergi ke kawasan yang menjadi lokasi kuarantin dan rawatan pesakit Covid, tipulah kalau tak cemas. Namun, debaran saya hilang serta-merta apabila melihat sambutan mesra daripada pegawai yang bertugas, Mohd U. Asmazie Mat Jusoh, jawatankuasa sajian dan penginapan PKRC MAEPS Serdang.

"Terima kasih Puan sudi datang menghulurkan sumbangan. Sekejap kami aturkan meja untuk kita ambil gambar secara rasmi," ujar beliau yang mesra disapa Encik Karl.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan MAEPS

Penulis mewakili pasukan Dropshipper Bonda Nor menyerahkan beberapa buah buku kepada Kolonel Dr. Aeriza sebagai simbolik penyerahan 400 naskhah buku wakaf di PKRC MAEPS Serdang.


Selepas menyusun atur meja, buku dan bunting, barulah beliau memanggil Timbalan Pengarah 2 PKRC MAEPS, Kolonel Dr. Aeriza Mohd Yusak dan memperkenalkan kami.

Alhamdulillah, sebanyak 400 naskhah koleksi buku dakwah santai terbitan Bonda Nor Resources selamat diagihkan kepada pusat tersebut hasil wakaf daripada orang ramai melalui jualan yang dilakukan oleh pasukan Dropshipper Bonda Nor (DBN).

Menurut Bonda Nor atau nama sebenarnya Norli Madlan, projek wakaf buku itu merupakan salah satu inisiatif pasukannya untuk menyumbang sesuatu buat masyarakat.


Bonda Nor merupakan pencetus kepada penerbitan buku dakwah santai Bercakap Dengan Cermin selepas menganjurkan seminar penulisan mega pada tahun 2018.


“Terdapat sembilan judul dalam buku Bercakap Dengan Cermin (BDC) 2.0 ini yang mana ia merupakan nukilan kisah benar para penulis mengikut tema tersendiri yang mampu memberi ibrah dan motivasi buat pembaca.

“Buku ini merupakan kesinambungan daripada BDC 1.0 yang berjaya dijual dan diwakafkan hampir 45,000 naskhah pada tahun 2019,” katanya.

Sementara itu, Dr. Aeriza memberitahu, pusat tersebut sebelum ini menerima pelbagai kategori pesakit termasuk pendatang asing.

“Biasanya bagi kategori pesakit yang serius, mereka sentiasa memikirkan betapa dekatnya dengan kematian.  Namun, dalam tempoh beberapa minggu ini, kita dapat lihat ada penurunan pesakit kategori 4 yang dihantar ke PKRC Maeps.

“Oleh itu, dengan adanya sumbangan buku sebegini diharap ia dapat membantu pesakit lebih positif untuk cepat sembuh. Terima kasih kepada mereka yang sudi berwakaf,” ujarnya.

Antara judul yang terdapat dalam buku ini ialah Terima Kasih Tuhan, Terus Berjuang, Menggenggam Tekad, Tiada Selain Dia, Kembali Pada-Mu, Berbisik Ke Langit, Melerai Dendam, Jalan Keluar dan Peluang Kedua.


Timbalan Pengarah 2 PKRC MAEPS, Kolonel Dr. Aeriza (depan tengah) bergambar bersama koleksi buku Bercakap Dengan Cermin 2.0 yang diwakafkan ke pusat tersebut. - Kredit foto:  Jabatan Penerangan Malaysia


Untuk rekod, sehingga kini terdapat 2,500 pesakit yang menerima rawatan di PKRC MAEPS. 

Semoga buku-buku ini dapat memberi manfaat buat para pesakit di sana dan semoga Allah membalas kebaikan setiap pewakaf dengan 1001 ganjaran di dunia dan akhirat.

Sebagaimana firman Allah dalam surah Ali Imran, ayat 133-134 yang bermaksud: “Dan segeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan dari Tuhan kamu dan (mendapat) Syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang bertakwa. Iaitu orang-orang yang mendermakan hartanya pada masa senang dan susah, dan orang-orang yang menahan kemarahannya, dan orang-orang yang memaafkan kesalahan orang. Dan (ingatlah), Allah mengasihi orang-orang yang berbuat perkara-perkara yang baik.” - KitaReporters


Diharap buku-buku dakwah santai yang ditulis berdasarkan kisah benar setiap penulis yang terlibat mampu memberi ibrah dan motivasi buat pembaca di pusat kuarantin tersebut. 

11
11
0
15
0

Copy Link: