Sedihnya! 2 beradik, sepupunya ditemukan mati lemas! Selepas terjatuh dari batu di Lata Changkah!
Published byKERIANGAN dua beradik dan seorang sepupu mandi serta bermain air sungai berakhir dengan tragedi yang menghayat hati apabila mereka ditemukan mati lemas selepas dipercayai tergelincir dari batu sebelum terjatuh ke dalam air di kawasan air terjun Lata Changkah, Hulu Seladang, Bandar Permaisuri, Setiu, Terengganu pada petang tadi, Jumaat 10 Jun 2022.
Tiga mangsa lemas itu ialah Syaridatul Nurfatihah Mohd Dera, 28; serta adiknya, Syaridatul Noor Syafiqa, 26; dan sepupunya, Siti Aishah Mazalan, 19. Semua mangsa meninggal dunia di tempat kejadian.
Dua beradik itu berasal dari Kampung Hilir Maras, Batu Rakit, Kuala Nerus, Terengganu manakala sepupu mangsa tinggal di Kampung Mengkabang Telipot, Batu Rakit.
Lagi cerita-cerita tragedi berkaitan kejadian mati lemas
Syaridatul Nurfatihah Mohd Dera
Syaridatul Noor Syafiqa Mohd Dera
Siti Aishah Mazalan
Dalam kejadian yang berlaku kira-kira pukul 2.30 petang, tiga mangsa terbabit bersama tiga ahli keluarganya yang lain dikatakan dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Batu Rakit selepas mereka selesai berkelah di kawasan air terjun tersebut.
Semasa mereka berjalan di atas batu di kawasan air terjun itu, tiba-tiba Syaridatul Nurfatihah dikatakan tergelincir dari batu sebelum terjatuh ke dalam air sungai sedalam kira-kira dua meter.
Ketua Polis Daerah Setiu, Deputi Supritendan Affandi Hussin yang mengesahkan kejadian berkenaan berkata, semasa mangsa terjatuh dia sempat menarik tangan Syaridatul Noor Syafiqa dan Siti Aishah dengan harapan adik dan sepupunya itu dapat menolong dirinya.
Bagaimanapun, beliau berkata, tiga mangsa itu semuanya terjatuh ke dalam air akibat Syaridatul Nurfatihah memegang tangan Syaridatul Noor Syafiqa dan Siti Aishah sebelum dia terjatuh ke dalam sungai.
Kawasan kejadian di Lata Changkat Hulu Seladang, Bandar Permaisuri, Setiu, Terengganu
Menurutnya, ketika mereka dalam perjalanan pulang itu, Syaridatul Nurfatihah dikatakan berada di tengah manakala tiga saudaranya yang lain berada agak jauh sedikit daripada tiga mangsa terbabit.
Affandi berkata, beberapa orang awam yang berada di kawasan
Lata Changkah Hulu Seladang cuba menyelamatkan tiga mangsa itu tetapi gagal.
Mayat dua beradik dan sepupunya dibawa ke Hospital Setiu oleh orang awam selepas ditemukan sebaik sahaja kejadian itu berlaku.
‘’Pihak kami menerima laporan mengenai kejadian tersebut dari orang awam pada pukul 3.21 petang.
‘’Semasa anggota polis tiba di lokasi kejadian mendapat ketiga mangsa terbabit sudah dibawa ke Hospital Setiu,’’ katanya ketika dihubungi pada pukul 10 malam tadi, 10 Jun 2022.
Affandi seterusnya menasihat orang ramai yang datang berkelah di kawasan air terjun terbabit supaya berhati-hati ketika mereka mandi kerana terdapat beberapa kawasan yang berbahaya dan air sungai yang dalam yang tidak diketahui mereka. - KitaReporters
Deputi Supritendan Afandi Hussin