Badut vs Mehmet! Dulu peminat-idola kini jurulatih berentap!
Published byLEBIH dua dekad lalu, Nazrulerwan Makmor hanya boleh berangan dari tepi padang untuk berlatih mahupun beraksi bersama Mehmet Durakovic. Dia juga bertugas sebagai pemungut bola dalam perlawanan akhir Piala Malaysia 1996 dan 1997 sambil menyaksikan Mehmet mengetuai Selangor yang menjuarai kedua-dua edisi itu. : KitaReporters
NAZRULERWAN Makmor, jurulatih Kelantan United. - Kredit foto FB KUFC.
MEHMET Durakovic, jurulatih Perak. - Kredit foto FB Perak TBG.
Lagi cerita-cerita berkaitan bola sepak:
https://kitareporters.com/search?search=bola+sepak
Si Gergasi Merah menghampakan Sabah menerusi penentuan penalti 5-4 setelah terikat 1-1 dan setahun kemudian, Pahang 1-0 di Stadium Shah Alam.
“Hati saya berkata, bilalah aku hendak jadi macam mereka (Mehmet dan rakan sepasukan) dan berlatih serta beraksi bersama.
“Saya kemudian menyertai skuad bawah 21 tahun Piala Presiden Selangor selamat tiga tahun berturut-turut,” kata lulusan Akademi Bola Sepak negeri itu yang kini sebagai ketua jurulatih Kelantan United FC.
Si Kijang Hijau berdepan Perak bimbingan Mehmet yang juga bekas juara 2018 dalam pusingan pertama Piala Malaysia 2020 pada Sabtu 7 November 2020.
Perlawanan yang musim ini hanya berformat kalah singkir tanpa timbal balik di Stadium Perak, Ipoh ini ibarat ‘peminat bertemu idolanya’, akui Nazrulerwan, 40.
BADUT (kiri) menghormati Perak dan Durakovic, idolanya ketika sebagai pemain era 90-an. - Kredit foto KUFC.
Kelantan United hanya dinaikkan ke Liga Perdana 2020 daripada Liga M3 dan menjadi pasukan terakhir divisyen dua kebangsaan itu yang layak ke Piala Malaysia musim ini sedangkan Perak menduduki tempat keempat Liga Super.
“Bayangkan lebih 20 tahun lalu saya memasang impian begitu dan kini, saya dapat bertemu pemain idola saya itu dalam senario jurulatih melawan jurulatih,” katanya.
“Saya mulanya bersama skuad bawah 21 tahun Selangor yang mara ke tiga final Piala Presiden berturut-turut.
“Mulai 1999 ketika masih berusia 19 tahun, saya terpilih beraksi bersama bintang hebat Merah Kuning seperti Zainal Abidin Hassan, Assrof Hanafiah dan K. Sanbagamaran,” katanya yang turut digelar ‘Badut’.
‘Sang Seladang’ katanya, diakui sebuah pasukan yang serba lengkap dan lebih berpengalaman termasuk memiliki penjaring kedua terbanyak Liga Super 2020 dengan 10 gol, Shahrel Fikry Fauzi.
KELANTAN United layak ke Liga Perdana 2020 daripada Liga M3, musim lalu dan pasukan terakhir ke Piala Malaysia 2020. - Kredit foto FB KUFC.
“Kelantan United akan bertahan dan menyerang secara sepasukan. Status pilihan mereka hanya di atas kertas. Di atas padang bola sepak apatah lagi dalam saingan kalah singkir, kejutan boleh terjadi,” tegasnya.
Dalam karier pemain, Nazrulerwan sudah menikmati aneka kejuaraan antaranya yang paling hebat dan bersejarah ialah merangkul trebel - Piala Malaysia, Piala FA dan Liga Perdana 2005 dengan Selangor.
Bekas bek tengah negara dari 2000 hingga 2007 ini juga dipinjamkan Felda United untuk membantu Kelantan muncul naib juara Piala Malaysia 2009 selain menyarung jersi Telekom Melaka, Sabah, PKNS, KL PLUS, Pahang dan Johor dari 1997 hingga 2012.
Dia juga menjadi penolong jurulatih PDRM yang bergelar juara Liga Perdana 2014 dengan membantu Dollah Salleh dan Azman Adnan - dua lagi legenda Merah Kuning era 80-an hingga 90-an.
Mehmet, warga Australia, juga menyertai 'Kelab Kapten-Jurulatih Selangor Pemenang Piala Malaysia' (2015) selepas mendiang Edwin Dutton, Allahyarham Abdullah Yeop Noordin, Allahyarham Tan Sri Abdul Ghani Minhat dan mendiang Datuk M. Chandran. - KitaReporters
NAZRULERWAN (kiri) ketika bersama Selangor pada 1999. Antara rakan sepasukannya, Zainal Abidin Hassan (tiga dari kiri) dan K. Sanbagamaran (dua dari kanan). - Kredit foto Nazrulerwan.
MEHMET (depan, tengah) bersama Selangor, juara Piala Malaysia 1997.