KETIKA arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang kini sudah memasuki fasa keempat sehingga 12 Mei 2020 sudah melonggarkan syarat pergerakan di mana kini satu kenderaan boleh berdua serta boleh bergerak melebihi 10 kilometer (km), pastinya mereka yang mempunyai dua atau lebih isteri semakin tersenyum lebar. : KitaReporters

Gambar hiasan


Bukan apa, sejak dikenakan PKP, pastinya mereka yang berpoligami ini tidak mempunyai peluang untuk 'menjadi adil' disebabkan pergerakan mereka dikawal.

Mungkin keadaan itu tidak dirasakan jika mereka yang berpoligami duduk di dalam satu taman atau berada di dalam radius 10 kilometer dari rumah asal.

Namun bagi mereka yang mempunyai lebih dari satu isteri di mana, satu di bandar, satu di kampung, satu di Sabah atau Sarawak dan yang lebih parah mereka yang mempunyai isteri di seberang, keadaan PKP atau 'lockdown' bagi sesetengah negara pastinya amat menyeksakan sang suami.

Sudahlah tidak dapat berlaku adil dari segi batiniah, nak melepaskan rindu juga tidak puas, cukup sekadar WhatsApp atau mungkin ada yang lebih cerdik melakukan sesi Zoom bersama keluarga besar mereka.

Bagi yang tidak mempunyai keluarga besar sebegini pastinya tertanya-tanya bagaimana si suami mahu menyelesaikan masalah berkenaan sehingga ada yang mengusulkan idea untuk suami berkerja sementara sebagai pemandu Grab hanya untuk mendapatkan 'lesen' pergerakan yang lebih bebas.

Gambar hiasan


Namun dengan kehadiran arahan PKP fasa 4 ketika ini, mereka yang berpoligami pastinya mampu menarik nafas lega dan tersenyum lebar bila memikirkan lampias 'rindu' yang terpaksa ditanggung lebih 44 hari dapat dilunaskan selepas ini.

Apa pun, senyum meleret mereka tidaklah lama kerana arahan PKP fasa 4 yang sudah digazetkan itu memerlukan mereka yang ingin bergerak berdua mestilah dari rumah yang sama, manakala untuk bergerak melebihi 10km perlu menunjukkan bukti kenapa mereka perlu berbuat demikian antaranya barang yang dicari tidak ada di kawasan radius 10km dan sebagainya.

Malah menurut Ketua Polis Selangor, Datuk Noor Azam Jamaludin yang dipetik melalui portal Berita Harian, berkata, pihaknya akan mempertimbangkan dan meneliti alasan permohonan dari suami sebelum ia diluluskan atau sebaliknya.

"Lelaki yang mempunyai lebih dari satu isteri (masih) perlu memohon kebenaran polis jika mahu bergerak lebih 10km radius dari kediaman untuk melawat isteri-isterinya yang lain.

Noor Azam Jamaludin


 "Seperti prosedur operasi standard (SOP) yang digariskan dalam PKP, orang awam dibenarkan bergerak lebih 10km radius atas sebab tertentu termasuk hal kecemasan namun perlu menyertakan dokumen dan bukti.

"Kalau ada yang melawat isteri lain di kawasan berbeza, mereka perlu membuat permohonan di balai terdekat. Polis akan teliti permohonan berkenaan dan terpulang kepada mereka untuk meluluskan permohonan itu atau sebaliknya.

"Saya sebagai Ketua Polis Selangor tak pernah lagi berhadapan kes seperti ini (lelaki mohon nak melawat isteri lain), mungkin Ketua Polis Daerah ada (berhadapan kes sebegitu)," katanya pada BH, baru-baru ini.

Untuk rekod, kebenaran terbaharu itu diberikan kerajaan menerusi kemas kini Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020 mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988, yang diwartakan pada 29 April 2020.

Peraturan yang diterbitkan dalam warta kerajaan mengikut kuasa perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah itu, berkuat kuasa sehingga 12 Mei 2020.

Seksyen 4(1)(a)(ii) peraturan itu, membenarkan individu yang keluar membeli makanan, ubat, keperluan harian atau barangan lain disertai seorang anggota keluarga yang tinggal serumah dengannya.

Individu yang keluar ke klinik atau hospital untuk mendapatkan rawatan atau perubatan pula, dibenarkan untuk disertai mana-mana orang lain yang dianggap perlu secara munasabah, selaras Seksyen 4(1)(b)(ii) peraturan sama.

Masa sama, warta kerajaan itu mengekalkan peraturan sebelum ini, iaitu mereka yang mahu keluar membeli makanan, barangan keperluan harian, perubatan, rawatan dan lain-lain, hanya dibenarkan bergerak tidak melebihi 10 kilometer (km) dari kediaman masing-masing.

Namun, orang ramai diberi kelonggaran bergerak melebihi 10km jika keperluan itu tiada dalam lingkungan jarak berkenaan dari rumah masing-masing.

Berbeza bagi pelakon Ashraf Muslim, beliau yang berpoligami kini diuji dengan jangkitan Covid-19 dan ditempatkan di Hospital Sungai Buloh tanpa boleh dilawati oleh kedua-dua isterinya. - Foto ihsan Harian Metro


Seksyen 5 pula memperuntukkan orang ramai perlu mendapatkan kebenaran bertulis dari balai polis berhampiran kediaman masing-masing, jika mahu melakukan pergerakan jarak jauh atau bagi sebab selain keperluan harian dan perubatan.

Mana-mana pihak yang melanggar peraturan itu boleh didenda maksimum RM1,000 atau dipenjarakan sehingga enam bulan, atau kedua-duanya sekali. - KitaReporters

1
3
0
3
1

Copy Link: